Tuesday, April 25, 2017

Wang dari siapa untuk bayar ni?

Tuesday, 25 April 2017
BAYAR GUNA WANG SIAPA?
Sepertimana yang dimaklumkan kepada Bursa Saham London, 1MDB dan IPIC akhirnya telah  berjaya mencapai penyelesaian berhubung pertikaian antara mereka yang melibatkan jumlah wang berbilion dolar.

Yang dipersetujui ialah 1MDB akan membayar AS$1.2 bilion atau RM5,300 juta sebagai bayaran awal  kepada IPIC dalam dua kali pembayaran iaitu pada Julai dan Disember 2017.

Selain itu, 1MDB dan Kementerian Kewangan turut bersetuju memikul tanggungjawab terhadap dua bon bernilai AS$3.5 bilion atau RM15,000 juta beserta faedah yang akan matang pada tahun 2022.

Selain itu, jumlah faedah keseluruhan perlu ditanggung oleh 1MDB pula adalah berjumlah kira-kira RM4,500 juta.

Jumlah keseluruhan kasar ialah hampir RM25,000 juta.

Persetujuan penyelesaian itu ialah berikutan sebelum ini IPIC telah membawa 1MDB ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa untuk menuntut bayaran keseluruhan AS$6.5 bilion atau hampir RM28,000 juta atas kegagalan memenuhi obligasi kontrak yang telah dipersetuju berkaitan terbitan bon antara kedua-dua syarikat.

Jika kita masih ingat, bayaran untuk terbitan bon AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS inilah yang telah dilencongkan kepada sebuah syarikat klon bernama Aabar Investment PJS Ltd atau dikenali juga sebagai Aabar BVI kerana ia didaftarkan di British Virgin Island.

Daripada wang yang dilencongkan itulah wujudnya pelbagai pendakwaan dan hukuman berkaitan penipuan dan penggubahan wang haram di Singapura, juga kemungkinan pendakwaan di Switzerland serta saman sivil yang diambil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk merampas pelbagai harta dan kekayaan melibatkan Jho Low serta anak tiri Najib, Riza Aziz.

Dalam kertas siasatan Jabatan Kehakiman juga disebut bahawa daripada AS$3.5 bilion yang dilencongkan itu turut disalurkan ke dalam akaun peribadi Malaysian Official 1 dengan jumlah keseluruhan AS$731 juta atau lebih RM3,200 juta.

Dengan persetujuan membuat bayaran baru serta memikul tanggungjawab itu, bermakna bayaran  kepada IPIC dibuat sebanyak dua kali.

Bayaran pertama sudah hilang kerana dilencongkan dan kini, bayaran kedua dipersetujui untuk dilaksanakan.

Duit daripada mana untuk membayar semua RM25,000 juta itu?

Kalau bukan duit pembayar cukai atau duit kita semua sebagai rakyat, adakah ia akan dikutip melalui 3.5 juta ahli-ahli UMNO di seluruh negara atau adanya bantuan daripada Negara China misalnya?

Kemudian, apa jadi kepada AS$3.5 bilion atau RM15,000 juta yang dilencongkan sebelum ini?

Lesap begitu saja?

Sebelum ini Menteri Kedua Kedua, Johari Abdul Ghani ada menyebut bahawa kerajaan akan lawan proses timbang tara di mahkamah London itu kerana yakin akan memenanginya berdasarkan dokumen-dokumen yang dimiliki.

Kenapa sekarang mengalah dan setuju membuat pembayaran?

Dua tiga hari lalu, Johari sekali lagi mengulangi bahawa Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam penyelesaian dengan 1PIC kerana ia katanya, dilakukan oleh 1MDB dan pegawai dari Pejabat Perdana Menteri?

Kenapa Kementerian Kewangan tidak dilibatkan dalam sebarang rundingan sedangkan 1MDB itu sendiri terletak di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan?

Tidakkah dengan melibatkan Pejabat Perdana Menteri dalam rundingan penyelesaian itu,  ia boleh dianggap wujudnya konflik kepentingan dan bertujuan untuk melindungi bukan saja Perdana Menteri, tetapi juga Jho Low dan Riza Aziz?

Tidakkah juga dengan setuju membuat pembayaran itu bermakna suatu pengakuan daripada 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri bahawa memang wujud kehilangan wang yang digembar-gemburkan di seluruh dunia sebelum ini?

Sementara Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland sudah dan sedang mengambil tindakan, sebaliknya di negara kita semua kes berkaitan 1MDB seolah-olah dilindungi dan diberikan keistimewaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan malam tadi berkata, perkembangan penting ini menunjukkan kemajuan positif berterusan dicatatkan oleh 1MDB yang kini hampir menyelesaikan program rasionalisasinya.

Hebat kan? Barangkali inilah tafsiran baru "Malaysia Boleh" dalam era transformasi sekarang ini, malah terpaksa bayar dua kali pun masih lagi dikata sebagai kemajuan positif!!

Seorang kenalan berketurunan Arab dalam reaksinya sambil minum-minum malam tadi hanya mampu berkata, "Beb...ini betul-betul harami punya kerja." (ShahbudinHusin 25/04/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 09:34

No comments:

Post a Comment