Thursday, July 14, 2016

Berita Dari Mahkamah: Kes Nizar dan Tian Chua

14 Jul 2016
Dua berita Dari Mahkamah: Nizar Menang & Tian Chua Bebas Tuduhan Menghasut

Mahkamah arah TV3 bayar Nizar ganti rugi RM200,000
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) supaya membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana memfitnahnya berhubung laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni berkata, jumlah ganti rugi itu merangkumi ganti rugi teladan dan keterlaluan. Bagaimanapun tiada arahan mengenai kos.


Keputusan hari ini dibuat oleh Timbalan Pendaftar, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Antara lain, Fitri memberitahu pemberita, jumlah ganti rugi itu juga mengambil kira status Nizar ketika itu sebagai bekas menteri besar.

Pada 26 Februari 2014, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamad Arif Yusof, membenarkan rayuan Nizar, berkata plaintif berjaya membuktikan kes kebarangkalian yang seimbang.

"Perintah Mahkamah Tinggi adalah dengan ini mengenepikan dan kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi semula bagi penaksiran ganti rugi," katanya.

Arif berkata Mahkamah Tinggi yang menolak saman Nizar tidak boleh dikekalkan dan TV3 bertanggungjawab.

Beliau berkata pembelaan justifikasi gagal dan TV3 tidak berjaya membuktikan kebenaran atau sebahagian kebenaran dalam laporan mereka.

"Malah, ada niat jahat oleh defendan dalam laporan mereka," katanya.

Semasa itu, mahkamah turut memerintahkan bayaran RM30,000 sebagai kos.

BERITA 2

Tian Chua kekal bebas tuduhan hasutan pencerobohan Lahad Datu

Ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang kekal bebas daripada pertuduhan menghasut berhubung kenyataan yang dibuatnya berhubung pencerobohan Lahad Datu.

Ini berikutan keputusan pihak pendakwaan yang menarik balik rayuan terhadap pembebasan itu di Mahkamah Rayuan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya K Mangai memaklumkan panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimum Tuan Mat berhubung keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik rayuan mereka.

Sehubungan itu, panel hakim membatalkan rayuan berkenaan. Ini sepatutnya menjadi rayuan terakhir oleh pihak pendakwaan, kerana kes tersebut bermula di Mahkamah Sesyen.

Hakim lain yang bersidang sama hari ini adalah Datuk Zamani A Rahim dan Datuk Zabariah Yusof.

Chua, yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, diwakili peguam Eric Paulsen.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur empat bulan lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebaskan Chua daripada tuduhan menghasut, atas alasan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Chua mengeluarkan kata-kata yang didakwa berunsur hasutan.

Ahli Parlimen Batu itu didakwa pada tahun 2013 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan membuat kenyataan bahawa pencerobohan militan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang kerajaan pimpinan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Hakim Norsharidah Awang pada tahun 2014 tidak memerintahkan Chua membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

ULASAN GB

Tahniah DS Nizar dan Tian Chua.

Dicatat oleh Green Boc di 2:10 PTG 

2 comments:

  1. ALHAMDULILAH

    Dapat mahkamah TAKUT TUHAN untong kan Rakyat

    Syukur

    Masih ada takut SEKSA KUBOR

    ReplyDelete
  2. Ketelusan Para Hakim yg diredzoi Allah Swt, Semuga ditetapkan Iman (bagi yg beragama Islam) ke jalan yg lurus , dipermudahkan diakhirat nanti,.

    ReplyDelete