Mereka tidak dikasi tetapi sesuatu yang lebih penting kepada seorang insan dirampas; maruah dan harga diri mereka dirampas.
Oleh Zaid Ibrahim
Tatkala zaman maharaja memerintah empayar yang luas, orang suruhan yang dikasikan – iaitu, bebola testikel mereka dipisahkan daripada badan mereka digunakan maharaja itu sebagai pengawal istana mereka.
Maharaja itu memerlukan orang yang boleh dipercayai sepenuhnya untuk mengambil kisah dan memelihara gundik dan perempuan simpanan mereka – sesetengah daripada maharaja dulu mempunyai lebih 1,000 perempuan simpanan.
Maharaja itu tidak boleh mempercayai lelaki yang “lengkap” sebagai pengawal untuk memastikan perempuan simpanan mereka tidak dicabuli kehormatan mereka, ataupun menggunakan pengawal itu untuk memenuhi nafsu mereka. Oleh itu, kaum sida-sida ataupun “eunuchs” ini diciptakan untuk memenuhi keperluan maharaja itu.
Sida-sida ini dikasi sejak kecil lagi, dan disebarkan untuk bekerja di dalam kawasan dalaman istana. Oleh itu, kaum sida-sida ini mempunyai peluang menjadi rapat dengan maharaja mereka, gundiknya, dan juga penasihat kanannya.
Peluang ini digunakan sida-sida itu untuk mempengaruhi maharaja dan penasihatnya dalam perkara dasar kerajaan, malah sering kali juga campur tangan dalam hal kerajaan yang lain. Inilah sebabnya kenapa sida-sida ini akhirnya memegang jawatan penting di dalam empayar, dan juga mengaut harta banyak di samping menggenggam kuasa besar.
Saya menerangkan semua ini supaya senang untuk anda menerangkan kepada orang lain (terutama sekali warganegara asing) kenapa Datuk Seri Najib Razak masih lagi maha berkuasa.
Najib, maharaja tersohor abad ke-21 ini, berjaya melaksanakan apa yang hanya dapat diimpikan orang lain, iaitu beliau kini mengecap kejayaan sebagai perdana menteri terkaya di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Najib berjaya menahani publisiti buruk dari media global berbulan-bulan lamanya, dan meskipun tindakan Jabatan Kehakiman AS baru-baru ini (yang menerangkan secara terperinci modus operandi yang digunakannya untuk mengebas lebih USD3.5 bilion dari negara), beliau masih lagi menikmati sokongan penuh daripada ahli Kabinetnya, partinya, perkhidmatan awam, polis, pemberita media aliran utama dan bloggers, serta juga kehakiman dan ahli Parlimen.
Bagaimanakah fenomena ini dapat dijelaskan?
Kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya pihak pembangkang yang lemah dan huru-hara. Ia juga tidak adil untuk mengharapkan “kemarahan” rakyat biasa secukupnya sehingga mendorong mereka untuk berarak di jalan raya untuk mendesak agar Najib digantikan, pada kala ramai di antara mereka hanya menyara hidup dengan menjual nasi lemak atau bekerja sebagai buruh am.
Kehidupan harian untuk ramai rakyat Malaysia adalah susah. Mencari makanan dan duit tambahan untuk membayar tol seharusnya dianggap lebih penting daripada melibatkan diri dalam pergolakan politik.
Sebab sebenar mengapa Najib kekal sebagai perdana menteri, meskipun dengan segala yang berlaku, ialah kejayaannya mewujudkan barisan sida-sida yang panjang untuk melayaninya. Sida-sida ini berbeza daripada sida-sida negara pusat alam pada satu ciri – bebola testikel mereka masih bersatu dengan badan mereka –tetapi selain daripada itu sifat mereka sama.
Najib tidaklah mengkasikan mereka tetapi mengambil sesuatu yang lebih penting kepada seorang insan; beliau merampas maruah dan harga diri mereka. Dan meletakkan pula perasaan takut dan gentar ke dalam mereka sehinggakan mereka akur dan mencium tangannya dan berjanji untuk setia kepadanya, selamanya.
Mereka akan melakukan apa saja dan segalanya untuk beliau; mereka gerun akan diri beliau, dan merasakan diri mereka umpama kosong tanpa restu dan rahmatnya. Pembelaan beramai-ramai mereka untuk “maharaja” mereka memberikan mereka perasaan kekitaan, dan mereka diberikan ganjaran yang besar untuk semangat mereka itu.
Akan tetapi, sida-sida zaman sekarang memerlukan berjuta-juta ringgit untuk memuaskan kerakusan mereka, dan ada juga yang diberikan pingat dan gelaran yang biasanya dihadkan hanya kepada mereka yang berbakti kepada negara secara luar biasa dan untuk jangka masa lama.
Sida-sida ini tidak berkhidmat untuk kerajaan, atau berbakti untuk negara. Mereka tidak melihat perbezaan (mahupun memahami) konsep moden penceraian antara ketua kerajaan dan negara. Mereka tidak nampak perbezaan antara kebenaran dan kebatilan.
Mereka tidak melihat keperluan untuk ketua kerajaan bertanggungjawab ke atas tindak lakunya kepada sesiapa, kerana kepentingan maharaja itu dikirakan sinonim dengan keperluan negara, seperti dipraktikkan Louis XIV di Perancis. Oleh itu, hukum undang-undang adalah wajib, tetapi tidak boleh dikenakan kepada si maharaja jika ia membuatkan beliau lemah atau kerugian.
Sida-sida moden ini sentiasa bersedia untuk mati demi maharaja mereka, oleh itu ia perkara kecil untuk menipu, berhelah dan berlagak umpama dunia ini dipenuhi dengan manusia dangkal dan bodoh.
Persoalannya ialah, bagaimana dengan kita? Adakah kita menyayangi negara kita ini secukupnya, dan adakah kita mempunyai cukup kekuatan untuk berdiri menentang sida-sida ini tanpa gentar? Jika ya, maka masih ada lagi harapan, tetapi lebih cepat kita bertindak, lebih baik.
Kota London dimusnahkan oleh kebakaran, 350 tahun dulu, tetapi ia dibina semula dengan usaha hebat rakyat British.
Negara kita kini dimusnahkan juga, bukan dengan kebakaran tetapi dengan pengkasian. Saya berharap rakyat Malaysia akan bangun, untuk membina negara ini sekali lagi.
Datuk Zaid Ibrahim ialah bekas menteri undang-undang.
Lebai jebon pun dah jadi sida najib rupanya..
ReplyDeleteMasih banyak lembu dimalaysia..lembu mana tau yg mana betul atau salah..lembu mana tau kemaluan..lembu bukan orang beriman..orang beriman menetang kemungkaran..ulamak pun bukan mesti beriman..
Delete