Thursday, July 21, 2016

Ambil tindakan terhadap AS jika dakwaan tidak benar

Ambil tindakan terhadap AS jika dakwaan tidak benar - Shafie Apdal 
Astro Awani |  Julai 25, 2016 11:32 MYT
Ambil tindakan terhadap AS jika dakwaan tidak benar - Shafie Apdal
Mohd Shafie berharap laporan audit negara tentang isu 1MDB dapat didedahkan kepada umum. - Gambar fail
KOTA BELUD: Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan Amerika Syarikat (AS) dalam isu melibatkan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak benar, kata bekas naib presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Saman pihak kerajaan Amerika Syarikat sekiranya dakwaan mereka tidak benar,” kata beliau sambil menambah, Peguam Negara Malaysia bukan hanya perlu menafikan dakwaan itu malah harus mendedahkan hasil laporan audit negara mengenai 1MDB kepada umum.

Mohd Shafie berkata, walaupun penjelasan telah disampaikan oleh Peguam Negara namun perlu ada tindakan susulan kerana semua tuduhan AS itu menjejaskan imej negara jika tidak ditangani segera.

"Saya harap laporan (audit negara) itu didedahkan kepada umum dan apa yang penting kepada kita adalah tindakan susulan terhadap perkara ini. Ia bukan hanya (hal) kehilangan duit, (malah) memalukan imej negara di pentas dunia," ujar beliau yang meminta semua tuduhan AS itu dipandang serius.

Tambah beliau lagi, Peguam Negara mempunyai hak untuk pergi ke AS untuk menjalin kerjasama bagi menyelesaikan isu dakwaan tersebut, seterusnya membersihkan nama negara.

BACA: Laporan DOJ: SPRM jalin kerjasama dengan FBI

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud pada petang Ahad.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 penduduk Kota Belud itu turut dihadiri Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin dan beberapa pemimpin pembangkang negeri Sabah yang lain temasuk parti PAS.

Dalam majlis itu juga, Biro Agama UMNO Bahagian Kota Belud, Hanjan Samit dan beberapa ahli UMNO Kota Belud mengumumkan keluar UMNO di hadapan Mohd Shafie.

Mengulas lanjut mengenai ura-ura penubuhan parti baharu di bawah kepimpinan Mohd Shafie cuma menjawab: "Tunggu dan lihat."

ARTIKEL BERKAITAN:

BACAKurang komunikasi dengan 1MDB timbul tanda tanya - Tunku Abdul Aziz
BACA: 1MDB: Tiada lagi perkara yang disembunyi - Salleh Said Keruak

BACA1MDB: Tiada tuntutan tindakan salah laku jenayah dalam laporan DOJ - PM

No comments:

Post a Comment