Thursday, March 1, 2018

Sempat lagi berbohong, kalau baca laporan dokter forensik ni......semua budak ni berjiwa setan!

* Aduii......bagaimanalah perasaan ibubapa budak-budak ni agaknya?
Ibubapa mangsa pula rasanya dah kering air mata

Tertuduh beritahu doktor kesan lecur Zulfarhan akibat letupan masa latihan 
TMI · Diterbitkan pada 28 Feb 2018 7:55PM
Sebahagian daripada tertuduh kes bunuh Zulfarhan Osman ketika dibawa ke mahkamah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2018

EMPAT daripada enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dituduh membunuh dan bersubahat membunuh Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu seorang doktor bahawa kesan lecur dan terbakar yang dialami Zulfarhan Osman disebabkan letupan ketika latihan di kem tentera.

Pegawai Perubatan Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi, Selangor Dr Azfar Hussin, 34, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau dimaklumkan demikian ketika Zulfarhan Osman dibawa empat rakannya ke klinik berkenaan antara jam 12 tengah hari dan 1 tengah hari, 27 Mei 2017, lima hari sebelum Zulfarhan Osman meninggal dunia pada 1 Jun 2017.

Saksi ketujuh pihak pendakwaan itu berkata Zulfarhan Osman yang memakai baju kemeja batik lengan panjang berwarna merah coklat dan berkain pelikat yang kelihatan agak kotor dibawa oleh empat rakannya bagi mendapatkan rawatan kerana kecederaan terbakar dan mereka memaklumkan mereka adalah pelatih tentera di kem Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Bila melihat kes tersebut, saya kata kes ini perlukan rawatan di hospital kerana klinik As-salam klinik biasa sahaja namun pesakit meminta saya buat rawatan cucian (dressing) dan saya kata saya akan bawa ke Hospital Serdang kerana jarak yang dekat (dengan klinik), tetapi pesakit dan kawannya merayu untuk buat rawatan asas dahulu bagi memudahkan pergerakan pesakit.

“Saya juga bertanya macam mana (kecederaan) boleh berlaku dan kawan pesakit kata berlaku letupan ketika latihan di Port Dickson dan mereka telah dapatkan rawatan di klinik di Port Dickson,” katanya yang memberitahu ketika itu pesakit duduk di atas katil, dikelilingi kawan-kawannya dan sebahagian bajunya telah terbuka di bahagian hadapan.

Dr Azfar yang merupakan pemilik klinik itu demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada hari kedua perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman hari ini.

Katanya beliau kemudian bertanyakan kenapa  pesakit tidak terus mendapatkan rawatan di Port Dickson kerana jarak ke Bangi jauh dan Zulfarhan Osman yang ketika itu dalam keadaan stabil memberitahunya kerana  untuk menjaga reputasinya sebagai pelatih tentera.

“Saya tanya adakah penyelia di kem tahu mengenai kejadian letupan itu, salah seorang kawannya beritahu kes itu berlaku ketika latihan dan tiada penyelia yang tahu,” katanya menambah Zulfarhan Osman turut memberitahu kejadian itu berlaku lima atau enam hari sebelum dia datang ke klinik tersebut.

Dr Azfar berkata setelah selesai membuat rawatan iaitu cucian di seluruh bahagian badan dan membalut bahagian atas badan pesakit, beliau kemudian bertanyakan Zulfarhan Osman perlukah beliau menghubungi ambulans dan rakannya memberitahu tidak perlu kerana mereka datang menaiki kenderaan.

“Saya bertanya pesakit sendiri adakah keluarganya tahu kecederaan itu kerana saya ingin menghubungi keluarganya dan dia berkata ‘doktor jangan telefon keluarga saya di Johor sebab mak saya tengah sakit’,” katanya yang kemudian membatalkan hasratnya untuk menghubungi keluarga mangsa lalu membuat surat rujukan ke hospital.

Kepada soalan Othman, kenapakah Dr  Azfar membuat surat rujukan ke hospital, beliau berkata kerana Zulfarhan Osman mengalami kesan lecur terbakar lebih daripada 10 peratus di keseluruhan badan termasuk di skrotumnya yang memerlukan rawatan di hospital dan turut menyifatkan kecederaan yang dialami Zulfarhan Osman adalah teruk.

Menjawab soalan siapakah keempat-empat rakan yang menemani Zulfarhan Osman di klinik itu dan adakah mereka ada di mahkamah hari ini, Dr Azfar kemudian menoleh ke kandang tertuduh dan berkata mereka ialah tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; tertuduh kedua Muhammad Azamuddin Mad Sofi; tertuduh keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat; dan tertuduh keenam, Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Terdahulu, saksi keenam pihak pendakwaan, Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang,  Dr Salmah Arshad, 37, berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan, termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.

Katanya kesan luka lecur itu adalah pada kategori tahap satu, tahap dua dan tahap tiga yang didapati dari pangkal leher sehingga ke kaki mangsa termasuk bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali.

“Daripada 90 kesan lecur di tubuh mangsa itu, dua kesan adalah pada tahap satu, 59 kesan tahap dua dan 29 kesan tahap tiga,” katanya yang telah bertugas sejak 2016 sebagai pakar forensik dan bertanggungjawab menjalankan bedah siasat terhadap mayat Zulfarhan Osman.

Beliau berkata selain kesan luka lecur, hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan lebam pada kelopak mata dan calar pada kening mangsa.

Kepada soalan Othman apakah yang boleh menyebabkan kesan lecur pada tubuh si mati, Dr Salmah berkata sesuatu objek yang panas dan mempunyai corak yang spesifik, iaitu bintik-bintik dalam susunan dua barisan yang sedikit melengkung dan ia seperti disebabkan oleh tekapan seterika wap.

Menjawab soalan Othman adakah Dr Salmah boleh membezakan kecederaan yang diakibatkan orang lain atau mangsa sendiri, saksi itu berkata berdasarkan pengalamannya, beliau boleh membezakan melihat kepada lokasi luka dan berdasarkan kesan luka lecur pada badan si mati, beliau berpendapat ia adalah disebabkan pihak lain.

“Luka berada hampir di keseluruhan badan (si mati) termasuk belakang badan yang mana sukar untuk dicapai oleh tangan sendiri. Ini merupakan luka akibat bahan panas yang tidak akan terjadi sebanyak ini jika dilakukan oleh mangsa sendiri kerana ia menyebabkan kesakitan selain lukanya juga terlalu banyak untuk dilakukan sendiri,” jelasnya.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem mengaku tidak bersalah etrhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azman Abdullah bersambung 28 Mac.– Bernama, 28 Februari, 2018.

2 comments:

  1. Laporan perbicaraan selalunya tidak pernah mengulas tentang motif pembunuhan. Kenapa?

    ReplyDelete
  2. nyawa bayar nyawa itu yang Allah suruh
    untuk jaga keamanan hidup manusia di dunia ni
    kecuali waris mangsa maaf dan dibayar ganti rugi
    cilaka lah sang penguasa ynag engkar perintah Allah ni
    merampas hak waris mangsa dalam kes bunuh
    tanggunglah dosa

    ReplyDelete