Tuesday, March 27, 2018

Rais Yatim bidas Parlimen pula hari ini

Parlimen ‘mandul’ jika sekat isu dibahaskan, kata Rais Yatim
TMI · Diterbitkan pada 27 Mar 2018 2:02PM
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Dr Rais Yatim berkata jika isu ditahan daripada dibahaskan, ia akan mendatangkan bahaya kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018

INSTITUSI Parlimen akan dianggap generasi muda sebagai “mandul” jika speaker menahan sesuatu isu daripada dibahaskan, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Dr Rais Yatim.

Rais berkata jika berlaku, ia akan mendatangkan bahaya kepada negara.

”Di peringkat Parlimen, speaker tidak boleh menahan sesuatu isu daripada dibahaskan.

“Bila ia dibuat, pembangkang dan generasi pertengahan menganggap Parlimen sudah mandul dan ini bahaya untuk kita,” kata Rais dalam satu wawancara bersama Sinar Harian hari ini.

Rais mengulas sama ada Umno masih relevan untuk rakyat Malaysia pada masa kini.

Walaupun tidak mengulas isu secara spesifik, kenyataan Rais itu di keluarkan selepas semalam Dewan Rakyat menggantung tiga ahli Parlimen DAP selama 10 hari ekoran kenyataan mereka menuntut Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia meletak jawatan.

Tiga ahli Parlimen itu ialah Nga Kor Ming (DAP - Taiping), V Sivakumar (DAP - Batu Gajah) dan Ngeh Koo Ham (DAP – Beruas).

Mereka pada awal bulan ini menuntut Pandikar meletak jawatan kerana menolak satu usul pembangkang untuk meminta penjelasan Perdana Menteri Najib Razak.

Pembangkang meminta Najib menjelaskan alasan untuk tidak menuntut kapal layar mewah Equanimity, yang dirampas pihak berkuasa Indonesia pada 28 Februari lalu dan diserah kepada penyiasat Amerika Syarikat.

Rais menggesa Putrajaya agar bertindak agar tidak kelihatan seperti melindungi pesalah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kalau nampak dicairkan mudah bagi kita dah siasat, tapi tunggulah.

“Namun perspektif itu berbeza apabila dituduh sebagai pembangkang kerana kemukakan persoalan mengenai isu ini,” katanya.

Rais berkata Umno dan kerajaan akan rugi “apabila anda hilang orang yang mahu bertanyakan kebenaran dan pada ketika itu anda berada di tahap sangat tipis”.

“Hormat saya kepada perdana menteri dan sayang saya kepada Umno tidak berubah langsung kecuali saya ditendang keluar, saya cari arena lain pula,” katanya.

Rais sebelum ini mengkritik Putrajaya kerana dilihat terlalu melindungi ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low. – 27 Mac, 2018.

No comments:

Post a Comment