Thursday, March 22, 2018

'Lidah biawak' menutur kata.......

Mudahnya kita menghalalkan yang haram
Fa Abdul · Diterbitkan pada 22 Mar 2018 7:00AM
Gambar hiasan

AKU ada seorang saudara bau-bau bacang yang dulunya bertugas di salah sebuah pejabat besar. Orangnya cukup alim, sembahyang lima waktu tak pernah tinggal, apa lagi aktiviti amal jariah.

Tapi ada satu benda yang saudara aku ni buat yang mana aku cukup tak berkenan – dia suka gunakan kedudukan dalam pejabat untuk meraih keuntungan bagi dirinya sendiri.

Pernah sekali kencenderungannya makan suap ditegur oleh ahli keluarga yang kurang senang dengan kegiatannya itu. Namun, alasan yang diberikannya tetap sama – pihak atasan yang sudah biasa menerima “hadiah” tidak akan melayan pihak bawahan yang enggan menerima “hadiah”, maka terpaksalah dia turut serta.

Mulanya aku kesian juga dengan saudara aku ni. Apa tidaknya, orang alim yang terpaksa berbuat dosa demi menjaga periuk nasi – kalau dia ketegaq, siapa lagi nak bagi makan anak bini serta kucingnya yang sebanyak lima ekor?

Tapi makin lama aku tengok, makin hebat pula gaya hidupnya. Kekayaannya makin melimpah-ruah – bukan saja rumah setingkat menjadi dua tingkat dan kemudiannya sebiji banglo, malah kereta tempatannya pula sudah lama ditinggalkan demi kereta import yang pada sangkaan aku hanya mampu dimiliki oleh golongan profesional.

Kalau nak dihitung, gaji bulanannya kalau digandakan tiga sekalipun takkan mampu memberikannya kehidupan yang semewah itu. Pada firasat aku, saudara aku itu pastinya sudah terbiasa dengan suapan sehinggakan mampu memiliki gaya hidup sedemikian.

Tempoh hari, aku terserempak dengan saudara aku itu, lalu kami pun duduklah berbual kejap.

Celoteh punya celoteh, keluarlah cerita pasal isu politik semasa.

“Pilihan raya tak lama lagi,” kata saudaraku memulakan cerita. “Harap-harap BN dapat ditumbangkan.”

Aku tersenyum sinis melihatnya yang berkobar-kobar menyokong barisan pembangkang.

“Kenapa sokong PH dan bukan BN, bang?” aku buat-buat bodoh.

“Takkanlah nak sokong pihak yang menyebabkan negara kita ni makin kucar-kacir, sampaikan dah heboh satu dunia bercakap pasal salah guna kuasa dan korupsi dalam kerajaan. Buat malu betul,” ujarnya.

Aku tersenyum lagi, tak tertahan mendengar kata-kata hipokratik dari mulut saudara ku.

“Dari segi Islam, berdosa besar kalau kita sokong pemimpin yang tidak beramanah serta lalai menjaga kebajikan rakyat, tau? Jika kita masih mahu memilih pemimpin yang sedemikian, ia adalah seolah-olah menyokong segala salah-lakunya juga,” bentaknya lagi.

Lucu aku mendengar luahan saudaraku yang berlidah biawak itu, seolah-olah terpadam sudah segala aktiviti pecah amanah yang dia sendiri lakukan sejak bertahun lamanya. Agaknya pada firasat saudaraku itu, ibadat haji serta umrah yang dijalankan berulang-kali menggunakan hasil kekayaannya itu sudah mampu menjernihkan hartanya yang bergelumang dengan dosa.

Sesungguhnya, ramai lagi makhluk-makhluk seperti saudara aku di bumi Malaysia ini. Begitu gah serta lantang bersuara kononnya mahu menumbangkan kerajaan korup, tapi semuanya kes tak sedar diri lantaran mereka sendiri juga korup satu ketika dahulu.

Pemimpin pembangkang pun tak jauh bedanya. Dahulu ketika di bawah ketiak BN, hebat mendukung papan tanda “Saya Sayang PM” sambil asyik tumpang sekaki menghirup kekayaan, tapi bila sudah ditendang keluar, barulah sibuk nak mengumpat tentang keburukan mereka.

Tapi Alhamdulillah, beruntung mereka semua kerana masyarakat kita ni berjiwa besar, segala kesalahan lampau mudah saja dimaafkan. Asal saja sesiapa menyokong pembangkang dan menentang kerajaan, segala dosa yang lampau dimaafkan dengan sekelip mata.

Patutlah saudara aku tu pun rilek sahaja mengutuk pemimpin korup tanpa mencermin diri sendiri. Baginya, segala kegiatan haramnya sudahpun dihalalkan masyarakat dek terlampau obses mahu mengubah pupuk kepimpinan negara.

Atas alasan yang sama jugalah aku selalu mendengar celoteh segenap lapisan masyarakat kita yang gemar menegakkan benang yang basah.

“Eleh, dia ambik sejuta je. Mana nak sama dengan 2.6 billion?”

“Eleh, dia nak tolong sedara mara dia je tu. Mana nak sama dengan NFC?”

“Eleh, dia dapat motosikal free sebiji je. Mana nak sama dengan kapal layar mewah?”

Aduhai. Mudahnya kita menghalalkan yang haram. Dan dalam masa yang sama, kita berterusan pula membebel tak nak menyokong pihak yang menjurus ke jalan haram.

Bunyinya memang macam lidah biawak bukan?

Sedihnya, jika beginilah perancangan kita untuk membina Malaysia baru, kita sudah pun tewas sebelum menang.

Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam. Mungkin kita sudah terlalu lama bergelut lumpur sehingga lumpur pun kini kelihatan seperti manikam. – 22 Mac, 2018.

4 comments:

  1. Tak de hal. Ayah chik kata boleh. Tak caya tanya abdoh. Membangun bersama dedak.

    ReplyDelete
  2. Org nak berubah apa salahnya, kenapa nak biarkan negara ni terus dipimpin penyamun? Kalau mcm tu angapan penulis, semua ahli umno kena terus sokong umno selamanya. Dosa itu antara dia dgn Allah, tapi jgn biarkan pemimpin zalim & penyamun terus berkuasa. Apa penulis ni merasakan dirinya suci spt parti yg mengaku suci & ahli syurga tu?

    ReplyDelete
  3. Penulis merasakan dia dari awal dan konsisten dlm memerangi kebatilan menakala warihnya baru sekarang nak sedar setelah lama kenyang makan hasil haram. Penulis lebih menyampah bila warihnya pula yg lebih2 meyuarakan keburukan pemimpin sedangkan dia yg lebih lama menentang rasuah.

    ReplyDelete
  4. Awas propaganda secara halus spt ini utk alih perhatian drp kebobrokan perasuah utama negara. Entah betul entah tidak ceritanya

    ReplyDelete