Saturday, March 24, 2018

Ini orangnya yang akan tumbangkan UMNO di Jeli......

Saya naikkan dia, saya akan turunkan dia, kata bekas pegawai ahli Parlimen Jeli
Sheridan Mahavera   -  Diterbitkan pada 11 Mar 2018 11:00AM
Dr Aminuddin Yaacob, bekas ahli Umno dan kini memimpin Bersatu Jeli berkata beliau akan menggunakan kaedah sama ketika memastikan kemenangan Mustapa Mohamad di kerusi Parlimen itu pada PRU sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Mac, 2018.

PADA pilihan raya umum (PRU) 1999, ketika kemuncak era reformasi, Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan yang sungguh memalukan apabila tewas di kerusi Parlimen Jeli di Kelantan.

Mustapa Mohamad, salah seorang bintang baharu paling bersinar dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad ditewaskan oleh calon PAS pada masa itu, Mohd Apandi Mohamad.

Mustapa kemudian merampas semula Jeli pada PRU 2004 dan insan yang menjadikan impiannya nyata itu adalah seorang doktor dari Kota Baru yang juga ahli Umno tetapi enggan menonjol.

Dr Aminuddin Yaacob, 53, bukan aktivis Umno yang biasa-biasa. Beliau yang mencipta gelombang menerusi beberapa kumpulan persatuan sivil pro Umno dan BN di Jeli yang akhirnya meletakkan Mustapa kembali ke Parlimen dan Putrajaya.

Mustapa atau lebih mesra disapa “Tok Pa” di kampung halamannya di Kelantan kini menteri kanan dalam pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak. Beliau juga menerajui kempen BN dan Umno untuk menawan Kelantan daripada PAS pada PRU14.

Sementara itu, Dr Aminuddin mengetuai Bersatu bahagian Jeli dan kempen Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu.

Beliau mahu menggunakan kaedah dan alat yang saya digunakan untuk membantu Mustapa, untuk menjatuhkan pemimpin yang pernah dibantunya untuk naik ke atas.

“Tok Pa tidak takutkan sesiapa pun di Kelantan, tetapi dia tahu bahawa saya yang bertanggungjawab membawa dia kembali,” kata Dr Aminuddin kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di rumahnya di Jeli – daerah yang tenang di sempadan Malaysia dan Thailand.

“Darah Umno mengalir dalam badan saya dan saya bantu letak Tok Pa di atas. Saya tidak buat kerana duit tetapi kerana sayang Umno. Tetapi sekarang orang Jeli sengsara dengan cara Najib kendali negara ini.

“Setiap hari pesakit di klinik saya merungut betapa sukarnya hidup ini untuk mereka. Jadi saya buat keputusan keluar Umno,” kata Dr Aminuddin.

Aktivis bawah tanah

Dr Aminuddin kali pertama menyertai Umno ketika mengetuai kelab Umno di Pakistan yang kebanyakannya diisi dengan pelajar Malaysia di luar negara.

Beliau kembali dan membuka klinik di Kota Baru dan tidak aktif dalam politik sehinggalah selepas PRU 1999, ketika Umno Kelantan mencari sukarelawan untuk membantu kempennya bagi PRU akan datang.

“Mereka minta saya bantu Tok Pa di Jeli dan saya jadi salah seorang aktivis ‘bawah tanah’ parti.”
Mustapa Mohamad, salah seorang bintang baharu paling bersinar dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad ditewaskan calon PAS, Mohd Apandi Mohamad pada 1999. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2018

Dalam kesnya, terma itu merujuk kepada aktivis akar umbi yang berkempen untuk parti menggunakan pelbagai penyamaran supaya kelihatan seperti bebas.

Beliau melakukannya dengan menubuhkan beberapa kumpulan persatuan sivil tempatan seperti skuad Sukarelawan Perubatan Jeli, kelab pemilik Kereta Antik Jeli dan persatuan masyarakat untuk membantu orang kurang upaya.

Kumpulan-kumpulan itu kemudian mengadakan program, mengagihkan bantuan, menyebarkan naratif pro Umno di seluruh daerah itu dan juga menjadi mata dan telinga parti.

Sebagai contoh, Dr Aminuddin mendakwa beliau meyakinkan Mustapa untuk menggunakan peruntukan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menubuhkan kolej komuniti dan cawangan Universiti Malaysia Kelantan di Jeli yang membantu merangsang ekonomi tempatan.

Berbanding dengan tempat lain di Kelantan, Jeli mempunyai jalan yang luas dan lancar walaupun ia daerah paling kurang penduduk – dan semuanya kerana jasa ahli Parlimennya yang kemudian menjadi menteri.

Kelangsungan aura seronok yang terhasil daripada projek itu mendorong kepada kemenangan Mustapa di Jeli – ia bukan sesuatu yang kecil kerana Kelantan kubu kuat PAS.

Pada 2004, Mustapa menewaskan calon PAS, Apandi dengan 7,353 undi. Pada 2008 dan 2013, beliau menang dengan majoriti masing-masing 4,436 dan 5,269 undi.

“Tetapi landskap negara sudah berubah. Kerajaan menampar semua orang dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) tanpa berfikir betapa teruknya ia menjejaskan rakyat.

“Kami daerah yang bersempadan dengan Thailand dan kami lihat betapa ringgit lebih kuat masa zaman Dr Mahathir, tetapi jadi lemah di bawah pentadbiran Najib,” kata Dr Aminuddin.

Masih disukai

Dr Aminuddin masih belum tahu sama ada beliau akan melawan Mustapa di Parlimen atau peringkat negeri. Beliau memenangi kerusi Air Lanas dengan majoriti nipis 47 undi.

“Jadi wakil rakyat DUN lebih mudah kerana populasinya kecil untuk dijaga. Tetapi kita lihat nanti. Kami pada masa ini sedang menyenarai pendek calon.”
Pemimpin Bersatu Jeli Dr Aminuddin Yaacob menunjukkan album lamanya ketika ditemu bual di rumahnya baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Mac, 2018

Selain Jeli, Bersatu diberikan tugas untuk bertanding dua kerusi DUN, iaitu Air Lanas dan Bukit Bunga yang juga dipegang BN.

Rakan kerjasama Bersatu iaitu PKR akan melawan Umno untuk kerusi di Kuala Balah.

“Setakat ini rakyat menerima PH. Kami ada peluang 50-50 tetapi kami perlu usaha lebih lagi,” katanya ketika bercakap tentang peluang partinya.

PH bergantung pada kemarahan rakyat tentang isu kos sara hidup untuk mengurangkan sokongan kepada BN. Sementara itu, rekod perkhidmatan kerajaan PAS yang teruk dijangka menyebabkan penyokong parti Islam itu beralih kepada PH.

Dr Aminuddin juga yakin jaringan luas yang dibinanya dengan masyarakat Jeli menerusi persatuan sivil akan membantu menyebarkan mesej PH.

Tetapi beliau tidak memandang rendah sokongan bekas ketuanya itu di Jeli.

“Tok Pa masih disukai kerana beliau orangnya jujur dan dihormati,” katanya, membandingkan Mustapa dengan pemimpin Umno Kelantan lain yang tercemar dengan skandal.

“Kami tidak boleh berkempen terhadap individu itu. Tetapi kami akan kempen terhadap pentadbiran BN dan isu nasional.

“Orang kata saya macam kacang lupakan kulit kerana saya berkempen menentang Tok Pa. Tetapi kenapa saya perlu rasa kekok jika saya mempertahankan kebenaran?,” katanya. – 11 Mac, 2018

3 comments:

  1. Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar setan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala.

    apa bintang baru ni buat untuk islam
    nak sokong hukum jinayah islam dikelate pun tak mau, ni bintang tak gunanya
    boroi perut sendiri n lombukan pengikut

    Allah jadikan bintang banyak gunanya

    ReplyDelete
  2. Its like you read my mind! You seem to know so much about this, like you wrote the book in it or something.
    I think that you can do with some pics to drive the message home a little bit, but other
    than that, this is great blog. A great read. I'll definitely
    be back.

    ReplyDelete
  3. Howdy! I know this is kind of off topic but I
    was wondering which blog platform are you using for this site?
    I'm getting sick and tired of Wordpress because I've had issues with hackers and I'm looking at alternatives for another platform.
    I would be great if you could point me in the direction of a
    good platform.

    ReplyDelete