Monday, March 26, 2018

RUU Anti Berita Tidak Benar: Soalan panas punggung dari Rais

Bagaimana jika kerajaan buat berita palsu, soal Rais Yatim
TMI · Diterbitkan pada 26 Mar 2018 9:17AM
Rais Yatim mempersoalkan tindakan yang sepatutnya diambil sekiranya kerajaan yang menyebarkan berita palsu menjelang pembentangan Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2018

MENJELANG pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat minggu ini, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Rais Yatim mempersoalkan bagaimana sekiranya pihak pemerintah yang membuat berita palsu.

Penasihat bertaraf menteri itu membincangkan tajuk RUU yang paling sesuai dibentangkan Barisan Nasional (BN) minggu ini melalui laman sosial medianya.

“Cuba anda pilih yang mana tajuk paling sesuai sempena BN membentangkan RUU berita palsu:

1. Rang Undang Undang Berita Palsu

2. Rang Undang Undang Anti Berita Palsu

3. Rang Undang Undang Pencegahan Berita Palsu. Saya pilih no.3

“Pendapat anda? Kalau kerajaan buat berita palsu macm mana?,” soal Rais di akaun Twitter @DrRaisYatim lewat malam tadi.

Minggu lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata kerajaan akan membentangkan RUU itu minggu ini selepas Kabinet meluluskannya.

Azalina berkata bacaan kali pertama RUU itu akan dilakukan di Dewan Rakyat pada minggu ini.

Pemimpin pembangkang berpandangan, RUU ini bertujuan untuk melenyapkan kritikan terhadap kerajaan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka berkata, sekiranya benar berita berkenaan 1MDB yang disiarkan media antarabangsa itu palsu, Putrajaya seharusnya menyaman mereka.

Minggu lalu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Johari Jailani yang berkata semua maklumat mengenai 1MDB yang tidak ada dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah berita palsu.

Katanya, kes ini sudah disiasat pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada PAC yang diwakili ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. 

"Cadangan PAC diterima penuh dan dilaksanakan kerajaan sepenuhnya. 

"Proses rasionalisasi juga dilakukan dengan baik, sehubungan itu pihak kerajaan berpandangan selain dari maklumat yang disahkan pihak yang berkuasa yang disebutkan tadi, apa-apa maklumat yang selain darinya akan diiktiraf sebagai maklumat palsu," kata ahli Parlimen Hulu Terengganu itu di Dewan Rakyat minggu lalu. – 26 Mac, 2018.

1 comment:

  1. I really like what you guys are up too. This sort of clever work and reporting!
    Keep up the excellent works guys I've added you guys to my own blogroll.

    ReplyDelete