Thursday, March 29, 2018

“Bapa Berita Palsu”: Dr. Mahathir sekolahkan Nur Jazlan

‘Banding epal dengan epal’, kata Dr Mahathir pada Nur Jazlan
TMI · Diterbitkan pada 29 Mar 2018 9:52AM
Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Nur Jazlan Mohamed ketika beliau menjadi perdana menteri, Umno pernah diharamkan walaupun parti itu merupakan tunggak kerajaan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menyelar Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed, mengatakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) hanya bertindak terhadap parti pembangkang tetapi tidak kepada Umno.

Dr Mahathir mengingatkan Nur Jazlan, ketika beliau menjadi perdana menteri, Umno pernah diharamkan walaupun parti itu merupakan tunggak kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sekarang RoS hanya mengganggu parti lawan. Dapatkah RoS haramkan Umno? Ada kes bagi Umno diharamkan.

“Jika kerajaan yang didirikan Umno RoS haramkan baharulah sama dengan apa yang terjadi di zaman saya.

“Baru ada bandingan antara dulu dengan sekarang, antara epal dengan epal,” kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaru di blognya chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Nur Jazlan baru-baru ini yang menggelarnya sebagai “Bapa Berita Palsu” kerana berterusan menyalahkan kerajaan dan RoS berhubung masalah yang dihadapi oleh partinya, Bersatu.

Jazlan berkata Dr Mahathir harus ingat peristiwa yang menyebabkan Umno diisytiharkan haram pada 1988 ketika beliau menjadi perdana menteri, menteri dalam negeri dan presiden parti itu.

Awal bulan ini, peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla mendakwa Umno melanggar perlembagaan parti yang hanya memperuntukkan tarikh mesyuarat cawangan mereka hingga April tahun ini dan RoS sepatutnya menguatkuasakan dengan saksama peraturan di bawah Akta Pertubuhan.

Dr Mahathir berkata hari ini, beliau tidak pernah lupa tentang peristiwa Umno diharamkan ketika beliau memimpin parti itu dan menjadi perdana menteri pada 1988.

“Nur Jazlan yang tidak faham dan membuat bandingan antara epal dengan limau dan berpendapat epal dengan limau adalah sama. Sekarang (Perdana Menteri) Najib (Razak) pula kata masalah air di Selangor lebih dahsyat daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Masalah 1MDB menghasilkan dakwaan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat bahawa AS$4 bilion dicuri oleh perdana menteri, yang cuba dibersihkan oleh anak tirinya dan Jho Low (Low Taek Jho).

“Sekarang media seluruh dunia membuat dakwaan yang sama. Tidak ada tindakan saman malu dari Najib,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003. Bapa kepada Nur Jazlan, Mohamed Rahmat merupakan orang kuat Dr Mahathir dan pernah berada dalam Kabinetnya sebagai menteri penerangan.

PH yang dipengerusikan Dr Mahathir masih belum dapat didaftarkan kerana RoS mengatakan terdapat masalah dengan parti komponennya, DAP dan Bersatu.

Bulan lalu PH memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya RoS menjawab permohonan pakatan untuk didaftarkan sebagai sebuah pakatan rasmi.

Ketua Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo yang mewakili PH berkata, RoS terdahulu berkata ia tidak dapat mendaftarkan pakatan itu kerana terdapat dua isu utama yang masih belum diselesaikan.

Beliau berkata isu pertama pemilihan jawatankuasa kerja pusat DAP yang katanya masih belum diselesaikan dan kedua adalah Bersatu masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan parti.

Gobind berkata PH menghantar surat kepada RoS pada 6 Februari.

"Semua ini sudah diselesaikan. Tetapi kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada RoS.

“Dan kami meminta mahkamah untuk memaksa RoS menjawab surat kami (pada 6 Februari)," kata Gobind kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu. – 29 Mac, 2018.

No comments:

Post a Comment