Thursday, March 29, 2018

Kajian PRU14: BN akan berkuasa lagi, hanya undi popular merudum!

Kajian dapati BN akan terus berkuasa, tetapi undi popular hanya 42%
Zulkifli Sulong · Diterbitkan pada 29 Mar 2018 7:00AM
Umno menerusi Barisan Nasional dijangka akan terus berkuasa walaupun undi popularnya akan jatuh sehingga hanya 42%. Rakan kongsi kuasanya yang lain- MCA, MIC dan Gerakan- pula dijangka jadi mangsa persempadanan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018

JIKA pilihan raya diadakan hari ini, Barisan Nasional (BN) dijangka akan kekal berkuasa walaupun undi popularnya merosot sehingga 42% sahaja, kata badan penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE).

Kajian terbaru IDE mendapati BN akan menang lebih banyak kerusi Parlimen melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, berbanding 133 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu .

"Dengan trend yang ada dan mengambil kira persempadanan semula kawasan pilihan raya, kajian ini mendapati BN akan terus kekal termasuk di Johor tetapi akan kalah di Kedah," kata Timbalan Pengerusi IDE Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman.

Kajian IDE itu juga mendapati parti gabungan lain dalam BN iaitu MCA, Gerakan dan MIC bakal menjadi mangsa utama persempadanan baru kawasan pilihan raya itu.

Redzuan menjangkakan rakan kongsi utama dalam BN itu akan hilang hampir semua kerusi yang mereka tandingi pada pilihan raya kali ini terutamanya kepada DAP.

"Isunya sekarang, bolehkah rakyat menerima keputusan sebegini. Umno untung besar, rakan kongsinya hilang semua, melalui manipulasi kawasan pilihan raya," kata Redzuan.  

Persempadanan baru kawasan pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam akan mewujudkan lebih banyak kerusi berasaskan kaum dengan mengasingkan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Pengkritik mendakwa persempadan baru itu akan mewujudkan lebih banyak bilangan kerusi Melayu, dengan andaian pengundi bukan Melayu tidak menyokong Umno lagi.
Bersatu dipimpin Muhyiddin Yassin di Johor dijangka akan kecundang. Pengaruh bekas timbalan perdana menteri itu belum cukup untuk merempuh kubu kuat Umno itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018

Kajian di seluruh Semenanjung Malaysia yang melibatkan lebih 5,000 responden dengan menggunakan 95 enumerator yang tamat 26 Mac itu mendapati, pengundi Melayu di Johor kekal bersama Umno.

"Yang pasti, mengikut kajian ini, PH khasnya Amanah berjaya kalahkan PAS di Kelantan, manakala di pantai barat, PAS berjaya sebabkan PH tidak menang," kata Naib Canselor Unisel itu.  

Beliau juga menjangkakan PAS akan gagal mempertahankan Kelantan, negeri yang dikuasainya sejak 1990, apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.

"PAS akan dapat beberapa kerusi tetapi akan gagal mempertahankan kerajaan negeri," kata Redzuan.

Kajian IDE juga mendapati pengundi Melayu di Johor akan kekal mengundi Umno walaupun mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran Najib di Putrajaya.

"Pengaruh Muhyiddin tidak cukup kuat untuk menarik penyokong Umno kepada PH tetapi pengaruh Dr Mahathir dan Mukhriz cukup untuk menarik penyokong Umno di Kedah menyokong PH.”

Kempen PH di Johor diketuai oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga bekas timbalan presiden Umno dan pernah jadi menteri besar negeri itu.
Gandingan Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir dijangka cukup kuat untuk merampas Kedah daripada BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018

Dr Mahathir Mohamad, yang dinamakan calon perdana menteri Pakatan Harapan, dan anaknya Mukhriz disebut-sebut akan bertanding di Kedah.

"Itu kajian pada hari ini, lainlah kalau berlaku gelombang selepas pembubaran Parlimen nanti," kata Redzuan.

Kajian itu juga mendapati PH akan terus memerintah Selangor dan Pulau Pinang tetapi Umno dijangka akan menjadi parti individu yang paling banyak mendapat kerusi di Selangor.

"Umno dijangka akan menang sehingga 20 kerusi di Selangor melalui persempadanan baru pilihan raya yang dibuat, tetapi kerjasama dalam PH akan menyebabkan kerajaan negeri yang ada kekal," kata Redzuan merujuk kepada Dewan Negeri Selangor yang mempunyai 56 kerusi itu.

PAS dijangka akan hilang semua kerusi yang dimenanginya di Selangor apabila hanya mendapat tidak sampai 1% undi Cina dan sekitar 14% undi Melayu sahaja, berbanding 18% undi Melayu sebelum ini.

"Nampaknya PAS datang dalam keadaan dagang di Selangor dan akan menjadi dagang juga dalam pilihan raya akan datang," kata Redzuan, merujuk kepada naratif yang selalu digunakan PAS.

IDE dijangka akan membentangkan secara terperinci kajian ini dalam satu seminar yang akan diadakan awal bulan depan. – 29 Mac, 2018

* Cukupkah lebih 5,000 responden yang digunapakai untuk mewakili keseluruhan pengundi yang berdaftar?
Benarkah Amanah akan menguburkan PAS Kelantan dan Amanah akan berkuasa bukannya UMNO yang ditolong oleh PAS itu?
Johor yang totok UMNO tu takleh nak kata apalah, 'biar kebulur asal tak lebur' itulah pegangan orang Johor agaknya?

Jadi adakah kajian ini bertujuan membakar semangat kerja kuat PH atau satu peringatan kepada pengundi? 

No comments:

Post a Comment