Wednesday, March 28, 2018

"Jelas sekali kerajaan bekerjasama dengan SPR menafikan kuasa undi rakyat"

* Hairan juga, ketika pembangkang dok sibuk dan bising, di mana PAS dan gagasan sejahteranya?
PAS ni parti kerajaan atau pembangkang?
PAS nak sejahterakan rakyat atau kerajaan yang memerintah sekarang?

Weh...terlupa pulak aku, sekarang PAS dah matang. Yang dok sibuk dan bising-bising ni adalah golongan yang belum matang, masih kebudak-budakan! 

Pembangkang selar laporan sempadan pilihan raya sebagai tidak berperlembagaan
Kamles Kumar · Diterbitkan pada 28 Mar 2018 5:04PM
Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya "merompak" rakyat Malaysia daripada menjalankan hak mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2018

AHLI Parlimen pembangkang mendakwa laporan persempadanan semula pilihan raya yang dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen hari ini sebagai tidak berperlembagaan.

Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya "merompak" rakyat Malaysia daripada menjalankan hak mereka. 

"Jelas sekali kerajaan bekerjasama dengan SPR untuk menjalankan proses persempadanan semula yang tidak berperlembagaan yang menafikan kuasa undi rakyat," katanya. 

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai turut mendakwa pilihan raya akan datang akan dicetuskan melalui undi pos di atas proses persempadanan semula.

"Peningkatan lebih daripada satu juta undi pos menjadikan pilihan raya umum akan datang dirancang secara undi pos oleh BN dan SPR," katanya. 

Charles Santiago daripada DAP berkata proses persempadanan semula menjadikan Malaysia kembali kepada zaman penjajah yang mana Britih mengamalkan "pecah dan perintah".

"Pada pendapat saya keseluruhan proses persempadanan adalah memberi kelebihan kepada BN. Terdapat jurang besar antara Melayu dan Cina. Ini perkara tidak baik. 

"Ini kembali kepada pecah dan perintah. Kembali kepada zaman penjajahan British. Masyarakat Cina dan bukan Melayu tidak mempengaruhi kerusi kontroversi," katanya kepada The Malaysian Insight. 

Tambah Ahli Parlimen Klang itu, Pilihan Raya Umum ke 14 bergantung sepenuhnya kepada perubahan undi Melayu. 

"Akan berlaku kebangkitan dan tsunami Melayu. Kini masyarakat Melayu akan memutuskan masa depan negara."

Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata, laporan itu bukan sahaja memberi kesan kepada negerinya tetapi seluruh pengundi di Malaysia. 

"Bukan hanya di Selangor. Cadangan yang dibentangkan itu bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan. 

"Kamu nafikan hak mereka untuk diwakili di Parlimen dan di sidang Dewan Undangan Negeri. Ini tidak boleh diterima," katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR turut menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya dan mendakwa tindakan suruhanjaya berkenaan juga tidak berperlembagaan dengan memecahkan semua hubungan tempatan di Selangor.

"Mereka melanggar semua hubungan tempatan. Di sana terdapat kawasan Cina dan kawasan Melayu. Ini tidak boleh diterima.

"Malah SPR menentang undang-undang asas yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Sementara itu, pemimpin Amanah Hanipa Maidin berkata, SPR melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan "Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang."

"Mereka tidak benar-benar mengikut perlembagaan pengagihan pengundi yang sama rata. Prinsip asas dalam demokrasi juga tidak diikut, iaitu Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, "katanya.

Perdana Menteri Najib Razak hari ini membentangkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya berdasarkan laporan persempadanan SPR. 

Ketika ucapannya, Najib berkata kritikan bahawa cadangan itu hanya memberi kelebihan kepada kerajaan tidak berasas. – 28 Mac, 2018.

Berkaitan: DUN Selangor lulus usul kecam SPR, hantar surat kepada speaker Parlimen

No comments:

Post a Comment