Monday, March 26, 2018

Maslee Malik baru kenal realiti kehidupan setelah terjun dalam politik?

Teori politik tak berguna lagi di lapangan, kata Maszlee Malik
Radzi Razak · Diterbitkan pada 25 Mar 2018 2:58PM
Mazlee Malik berkata beliau menyertai parti politik kerana tidak lagi boleh menjadi neutral dalam keadaan sekarang, apabila negara berada dalam satu persimpangan yang menentukan masa depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2018

PENSYARAH Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik berkata beliau belajar menelan egonya apabila menjadi ahli politik dengan menyertai parti Bersatu dan bertemu masyarakat.

Pengamat politik yang memegang ijazah kedoktoran dalam tadbir urus kerajaan daripada United Kingdom berkata beliau juga kini beliau kini memahami bahawa teori politik tidak memadai untuk menjelaskan warna-warni kehidupan masyarakat.

"Perbezaan lepas jadi ahli politik? Pertama, waktu tak cukup 24 jam. Kedua ego terpaksa dikorbankan apabila kita lihat segala teori kita ajar selama ini bila turun ke lapangan, tak dapat digunakan.

"Bila kita turun ke lapangan realiti begitu rencam dan hidup manusia terlalu berwarna-warni. Kita hanya setitis air dalam lautan kehidupan manusia," kata beliau dalam temuramah bersama The Malaysian Insight.

Maszlee bagaimanapun teruja kerana dapat menggunakan pengalaman beliau ketika bergia dalam aktivisme kemasyarakatan untuk membantu beliau merintis pengalaman barunya.

"Ia satu nafas baharu dan satu peremajaan, seolah-olah saya baru dilahirkan semula. Walaupun kita ajar mahasiswa di universiti, kita dapati, hatta dengan orang di jalanan, petani, duduk di kedai kopi, mereka ada banyak perkara yang kita boleh pelajari.

"Pengalaman (aktivisme) terlalu membantu dalam membentuk empati, membantu lebih bersabar dan melihat perkara dalam beberapa lapisan dan tak jadi terlalu judgmental," kata beliau.

Bukan masa jadi neutral

Maszlee yang juga seorang pengamat politik menyertai parti yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu tidak sampai sebulan lalu.

Katanya, beliau menyertai parti politik kerana tidak lagi boleh menjadi neutral dalam keadaan sekarang, apabila negara berada dalam satu persimpangan yang menentukan masa depan.

Beliau turut memetik kata-kata seorang aktivis politik Amerika Syarikat, Howard Zinn bahawa seseorang tidak boleh bersikap neutral ketika menghadapi perubahan tetapi sebaliknya harus menyumbang dalam usaha tersebut.

Idea yang sama juga disampaikan oleh pemikir teknenal Eropah, Tariq Ramadan dan juga tokoh kemerdekaan Scotland, William Wallace, katanya.

"Bila negara kita sampai ke satu persimpangan persoalanya sama nak ada nak jadi penyaksi sejarah ataupun pencipta sejarah. 

"Saya terkesan kata-kata Tariq Ramadan masa saya temuramah beliau pada tahun 2011 bagi dokumentari untuk TV3, dia kata lebih baik mencuba dan gagal daripada tidak mencuba atau berbuat apa-apa dan gagal juga.

"Perang Stirling juga, bila William Wallace menginspirasi rakyat Scotland menentang tentera England yang lebih ramai dan terlatih secara gerila bagi mendapat kebebasan mereka," kata beliau.

Mengulas mengenai falsafah perjuangan parti Bersatu, Maszlee berkata hakikat politik negara ini ialah orang Melayu memerlukan satu payung politik yang boleh diyakini memberi perlindungan kepada mereka.

Bagaimanapun perlindungan itu bukanlah berkenaan hak istimewa seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, katanya.

Jelas pensyarah itu, idea Mahathir menubuhkan parti itu pada 2016 adalah hasil daripada kegagalan parti pembangkang menentang Umno dan BN sejak sebelum merdeka lagi.

"Parti Negara (yang ditubuhkan pengasas Umno) melawan realiti waktu itu. Dr Mahathir belajar daripada kesilapan dia. Orang Melayu tak bersedia. Ketakutan orang Melayu hilang dari segi survival, identiti dan tempat tinggal. Bukanlah hak istimewa itu.

"Sebab itu Tun Dr Mahathir masa tubuhkan PPBM (Bersatu), dia kata kena jadi parti Melayu untuk beri mesej bahawa orang Melayu akan terjaga," kata beliau.

Maszlee berkata keyakinan beliau dalam kemenangan PH amat berasas dan dapat dilihat daripada segi pengundi sendiri yang tidak lagi ramai secara jelas mahu menyokong BN.

Jelasnya, pengundi ini pula tidak menyatakan sokongan kepada pembangkang kerana bimbang tidak mendapat bantuan atau disisihkan dari masyarakat tempatan.

"Bila buat phone call atau interview ada dua jenis yang pertama dia akan kata belum buat keputusan. Sebenarnya dia kata begitu sebab dah buat keputusan dan yang kedua akan kata saya sokong kerajaan.

"Yang kata sokong BN, itu yang perlu dicurigai. Adakah dia cakap benar, atau itu ketakutan mereka. Waktu ini agak berbeza, (sokongan boleh) berubah," kata beliau. – 25 Mac, 2018. 

No comments:

Post a Comment