Sunday, March 18, 2018

Masalah Peneroka Felda masih tidak dapat ditangani oleh BN?

Selesaikan masalah kami, kata peneroka Felda
Gan Pei Ling · Diterbitkan pada 17 Mar 2018 7:00AM
Hampir 1,000 orang hadir ke ceramah Pakatan Harapan di Gunung Besout, Tanjung Malim malam tadi. Selepas mendengar tawaran pembangkang, mereka berbelah bahagi, yang pasti mereka hanya mahukan masalah mereka diselesaikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mac, 2018

HAMPIR 1,000 orang, kebanyakannya peneroka Felda di Gunung Besout, Tanjung Malim hadir di ceramah Pakatan Harapan (PH) malam tadi untuk mendengar tawaran pembangkang bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Selepas mendengar ucapan penceramah termasuklah Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, jelas terbukti yang pendirian peneroka kini berpecah.

Generasi yang lebih berusia telah memutuskan untuk mengambil sikap tunggu dan lihat, sementara generasi kedua dan yang lebih muda lebih terbuka kepada mesej perubahan dibawa PH.

Malah ada antara mereka yang memberitahu The Malaysian Insight, tidak penting siapa yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Kami, generasi kedua, tak kisah siapa menang, selagi mana mereka cari jalan untuk kurangkan hutang (penanaman semula) dan mengurangkan ketidakcekapan pengurusan Felda,” kata seorang peneroka yang hanya mahu dikenali sebagai Annuar berumur 31 tahun.

Kebanyakan peneroka yang ditemui meluahkan kekecewaan tentang jumlah besar hutang yang ditanggung mereka serta peningkatan kos sara hidup yang membebankan.

Annuar juga membangkitkan tentang peluang ekonomi untuk peneroka Felda hanya terhad kepada generasi muda.

“Mereka yang bagus hidupnya selalunya jalankan perniagaan (dalam penempatan). Ia tak membantu bila nilai ringgit jatuh,” kata Annuar yang mempunyai sebuah perniagaan menjahit dalam penempatan Felda.

Kebanyakan peneroka hanya berpendapatan RM20,000 setahun atau kurang RM1,700 sebulan selepas ditolak bayaran berkaitan. Kerana itulah mereka perlu ada kerja kedua.

Pemimpin utama PH mengunjungi Felda Gunung Besout 1 malam tadi bagi meraih undi peneroka Felda yang sangat penting dalam usaha pembangkang menang di Tanjung Malim buat kali pertama.

Tanjung Malim selama ini adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) tetapi lawatan terbaru perdana menteri dan timbalannya juga membayangkan yang pertempuran sengit bakal berlaku pada PRU14 di situ.

PH sedang berusaha mendapatakan perubahan undi Melayu sebanyak 5% di kawasan itu untuk menang. Jumlah peneroka Felda merangkumi setengah daripada jumlah keseluruhan pengundi Melayu di Tanjung Malim.
Pemimpin utama Pakatan Harapan termasuk Dr Mahathir Mohamad turun ke Felda malam tadi. Pembangkang dalam usaha mewujudkan perubahan 5% undi Melayu bagi membolehkan Barisan Nasional tumpas di Tanjung Malim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mac, 2018

Seorang lagi peneroka generasi kedua yang tidak mahu dinamakan berkata generasi pertama Felda masih tidak boleh menerima kritikan kepada pentadbiran BN walaupun mahu tidak mahu mereka terpaksa menerima kehadiran pembangkang di kawasan Felda.

“Dahulu kalau saya angkat tangan pada ahli PAS pun, orang tua dah marah. Sekarang mereka lebih relax.

“Ada banyak masalah dalam Felda: seperti hutang penanaman semula, pengurangan hasil tuaian disebabkan penyakit, kekurangan pekerja asing… tetapi mereka tak suka kami bincangkan perkara ini di depan mereka,” katanya.
Setelah sekian lama jadi deposit tetap Barisan Nasional, peneroka Felda kini mula menerima pembangkang. Malam tadi, ceramah Pakatan Harapan disambut baik, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan pembangkang sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mac, 2018

Tambahnya lagi, generasi kedua peneroka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun juga lebih terbuka fikirannya kerana mereka membaca berita dalam talian.

“Generasi pertama masih bergantung kepada televisyen, itupun kadang-kadang hanya satu saluran sahaja,” katanya.

Kebanyakan peneroka generasi pertama yang ditemui enggan bercakap dengan media. Mereka yang bersedia ditemubual pula enggan mendedahkan siapa yang akan mereka undi pada PRU14.

Zulkifli Mohamad, 58, dari Felda Gunung Besout 2 berkata selaku peneroka generasi pertama, dia masih merasa terhutang budi dengan BN.

“Kami masih rasa terhutang budi…(tetapi) terpulang kepada orang lebih muda untuk tentukan siapa mereka mahu undi,” katanya.

Pada 2017, Tanjung Malim mempunyai 68,634 pengundi terdiri daripada 55.5% Melayu, 25.6% Cina, 13% India dan Orang Asli sebanyak 5.86%.

Majoriti BN di kawasan itu berkurangan mendadak daripada 14,693 pada 2004 kepada 4,328 pada 2013. Malah wujud petanda yang marjin undi akan terus berkurangan pada pilihan raya umum akan datang. – 17 Mac, 2018.

1 comment:

  1. Yg pasti hanya satu. Jk umno kekal berkuasa masalah peneroka takkan selesai. Fikirkan

    ReplyDelete