Showing posts with label artis. Show all posts
Showing posts with label artis. Show all posts

Thursday, March 29, 2018

RUU Antiberita Tidak Benar: Pelawak pun kena tempias juga

RUU Antiberita Tidak Benar turut jejaskan pelawak solo
Amin Iskandar · Diterbitkan pada 29 Mar 2018 4:55PM
Pelawak yang sering menjadikan isu semasa sebagai bahan jenaka dalam persembahan mereka akan turut terjejas dengan cadangan Putrajaya memperkenalkan sebuah akta untuk mengawal berita palsu yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018

PELAWAK yang sering menjadikan isu semasa sebagai bahan jenaka dalam persembahan mereka akan turut terjejas dengan cadangan Putrajaya memperkenalkan sebuah akta untuk mengawal berita palsu yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini.

Pelawak yang terlibat mengakui undang-undang itu akan memaksa mereka berjaga-jaga tetapi pada masa sama menganggapnya sebagai cabaran untuk berkarya.

Pelawak Ahmad Fadli Nazari atau nama pentasnya KC Nazari berkata, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar sekiranya diluluskan oleh Parlimen akan menyebabkan pelawak solo lebih berhati-hati dalam menulis komedi yang mengkritik kerajaan.

“Tetapi kekangan macam ini sebenarnya membuka ruang untuk mencabar komedian jadi lebih aktif dalam menulis komedi yang boleh menjentik kerajaan secara halus,” kata Fadli, yang pernah menyertai program Lawak Solo terbitan Astro Warna, kepada The Malaysian Insight.

“Sekat berita tidak benar, kami akan sebarkan berita sebenar dalam bentuk komedi kepada orang ramai.”

RUU untuk mengharamkan "berita palsu" yang dibentang di Parlimen pada Isnin mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi pesalah.

RUU ini hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di Dewan Rakyat. Ia kemudian akan dikemukakan di Dewan Negara untuk diluluskan, dan seterusnya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan untuk dijadikan satu undang-undang.

Para peguam melahirkan kebimbangan terhadap frasa RUU itu, khususnya dalam Seksyen 4(1) yang menyatakan "sesiapa sahaja, dengan sengaja membuat, menawar, menerbit, mencetak, mengedar atau menyebar sebarang berita palsu atau penerbitan mengandungi berita palsu, melakukan kesalahan dan boleh disabitkan, denda tidak lebih RM500,000 atau dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan".

Penerbit Eksekutif Rumah Anak Teater Faisal Mustaffa yang menganjurkan acara lawak solo #CeritaMalamJumaat di Petaling Jaya pula berkata, undang-undang baharu ini diperkenalkan ketika Malaysia sudah mempunyai pelbagai akta yang menyekat kebebasan.

“Akta baharu memberi sekatan kepada hak bersuara seolah-olah Akta Penerbitan Percetakan, Akta Hasutan dan sebagainya tidak mencukupi.

“Akta baharu ini adalah suatu undang-undang yang cuba melindungi pemerintah yang berhadapan dengan pelbagai kontroversi yang menggugat popularitinya,” katanya.

Beliau berkata, pelawak solo yang menggunakan isu semasa dan keresahan masyarakat dalam bahan lawak mereka sudah tentu akan terjejas.

“Ini kerana mereka menggunakan berita semasa yang memberi kesan dalam kehidupan seharian rakyat sebagai bahan dalam komedi,” katanya.

Badan bukan kerajaan Centre for Independent Journalism (CiJ) sebelum ini berkata, cubaan Putrajaya untuk wujudkan undang-undang bagi membanteras berita palsu akan mewujudkan ketakutan dan merupakan ancaman terbesar terhadap demokrasi.

Pengarah CiJ Sonia Randhawa berkata RUU itu jelas merupakan cubaan untuk menghalang ucapan politik, perbincangan serta penyelidikan dan laporan penyiasatan.

"Dalam perbandingan kepada eksekutif dan kerajaan, akhbar semakin lemah dan kurang mendapat akses kepada maklumat, terutamanya dengan kehadiran Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya kepada The Malaysian Insight.

"Apabila akhbar menyiarkan maklumat yang merupakan kepentingan awam, apakah jaminan mereka tidak akan dikenakan hukuman di bawah akta ini," soalnya. – 29 Mac, 2018.

Thursday, February 22, 2018

Kisah Ameng dihukum sebat: Aku ada keraguan sikit tentang sasaran sebat

* Walau pun aku tidak pernah dipenjarakan namun aku ada ramai rakan dari kalangan pegawai penjara. Apa yang diceritakan padaku oleh mereka, hukuman sebat tidak disasarkan pada tempat yang sama cuma diatur cukup rapat dengan tempat yang telah dirotan.

Kalau mereka bohong, maka bohonglah juga aku berkenaan itu. Harapkan pihak penjara berikan sedikit pencerahan tentang perkara ini

Apa pun aku ucapkan tahniah dan penghargaan di atas usaha beliau menginsafkan publik berdasarkan pengalaman beliau di penjara

Ameng tak bohong kisah dihukum sebat
Nadia Azam   -   Hari ini, 11:54 am
Ameng Spring mendedahkan dia terpaksa menanggung kesakitan amat perit selama 40 hari dan terlantar tanpa sebarang ubat mahupun pengawasan doktor selepas menjalani sebat 10 kali di penjara.

Itu semua adalah antara pengalaman ngeri yang sering diceritakan Ameng semasa memberi ceramah motivasi sama ada di sekolah-sekolah, institut pengajian tinggi, kolej mahupun masjid.

Tujuan penyanyi Sampai Hati itu cuma satu - supaya masyarakat sedar dan menjauhi sebarang aktiviti jenayah, selain mahu menimbulkan perasaan gerun sekiranya disumbat ke dalam penjara.

“Saya merayu-rayu kepada pegawai penjara minta diberikan ubat kerana tidak tertahan menanggung sakit manakala bahagian yang disebat luka dan makin membengkak.

“Tapi memang tidak ada ubat, malah tak ada doktor disediakan untuk merawat banduan yang disebat. Ini semua bagi memberi pengajaran dan supaya kami serik melakukan kesalahan," katanya.

Menurut Ameng dia disebat dengan rotan dan memang sifat bahan itu tumpat dan amat menyakitkan.

Katanya rotan itu juga mempunyai ruas yang memang tidak dibuang.

Setiap sebatan katanya disasarkan pada tempat sama.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail ditemui pada sidang media pengumuman Live Showcase Kumpulan Spring di Kuala Lumpur semalam.

Konsert mini berkenaan akan diadakan pada 9 Mac bertempat di Restoran D’ Saji Titiwangsa Kuala Lumpur.

Penyanyi yang turut popular dengan lagu Bourgenvilla dan Kerana Budi Ku jatuh Hati itu dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas kesalahan penyalahgunaan dadah oleh Mahkamah Sesyen Melaka.

Dia dibebaskan pada 14 Jun 2016 selepas berkelakuan baik.

Namun pembebasan dari penjara itu tidak mengakhiri kisah buruk yang disasarkan kepadanya.
Ameng turut dituduh segelintir pihak cuba mensensasikan kisahnya menanggung azab disebat berkali-kali tanpa henti.

Beranggapan tidak semua orang perlu menyukai dirinya, Ameng sedikit pun tidak gusar dengan tuduhan cuba memperbesar-besarkan peristiwa hitam di dalam penjara itu.

Sebabnya, dia yakin berada di pihak yang benar, manakala kisah yang disampaikan kepada masyarakat itu tidak ditokok tambah.

“Saya tidak berbohong. Orang yang menuduh itu, ini itu tidak pernah masuk penjara, jika mereka masuk tahulah bagaimana situasi sebenar.

“Kehidupan dalam penjara lebih teruk daripada apa yang boleh dibayangkan. Kisah ini tiada yang benar melainkan benar belaka,” katanya.

Wednesday, February 21, 2018

Hayati orang Thai nyanyi lagu joget (Dikir Puteri)

Wala yahuh walau dekat

Kalau diri kita nak berubah, kenapa dijual dan hadiahkan baju yang bawa dosa tu?

Shima jual baju seksi
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bh.com.my
Rabu, 21 Februari 2018 | 9:51am
IMEJ terbaharu Shima sekembalinya daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci. Shima bertekad terus berhijab pada usia 49 tahun. - Foto Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock popular era 1990-an, Shima, 49, menjual dan menghadiahkan semua baju seksi dalam koleksinya, selepas berhijrah.

Bertekad berubah sebaik menjejakkan kaki ke Tanah Suci mengerjakan umrah, akhir bulan lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Teringin dan Luka Dilukai itu merasakan tiada gunanya lagi menyimpan semua baju seksi itu.

"Saya menyanyi sejak berusia 19 tahun, jadi terlalu banyak baju seksi terutama ketika menyanyi di kelab malam yang masih disimpan.

"Bagaimanapun, buat apa saya menyimpan baju itu, sedangkan saya sudah berubah imej bertudung. Selain memenuhi ruang almari, ia pun tidak muat untuk dipakai lagi.

"Jadi, lebih baik saya jual dan hadiahkan kepada teman-teman yang memerlukan. Saya mula menjual baju ini ketika mengikuti program Umrah Bersama Penggiat Seni di Tanah Suci lagi.

"Alhamdulillah, ramai yang mahu membelinya kerana saya jual murah," katanya kepada BH Online.

Shima yang memiliki sembilan album itu berkata, almarinya dikosongkan beberapa hari selepas pulang ke tanah air.

"Bukannya mahu membuang kenangan baju itu, tetapi biarlah memori itu tersemat dalam hati saja. Saya percaya ramai penyanyi baharu yang memerlukan baju, tetapi tidak mampu membeli baju yang mahal harganya.

"Saya akui, baju yang dijual antaranya jenama pereka fesyen yang diketahui mahal, tetapi saya sudah tidak mahu menggunakannya lagi.

"Daripada baju itu buruk dan hanya tersangkut dalam almari, lebih baik saya jual dan sedekah... Semoga ada pahala untuk saya," katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Shima buat pertama kali mengadakan persembahan selepas berhijrah melalui program Memori Indah Bersama Shima Teringin dan Kumpulan Eva Bulan Cinta di Restoran Rebung, di sini, pada jam 9 malam, Jumaat ini.

Wednesday, January 17, 2018

Siti, Peminat dari Brazil dan tatu

Peminat dari Brazil cacah tatu nama, wajah Siti Nurhaliza
Astro Gempak |  Diterbitkan pada Januari 12, 2018 23:39 MYT
Peminat yang dikenali dengan nama Pedro itu membuat ucapan sempena hari lahir Siti yang berlangsung pada Rabu di laman Twitter dan Instagram miliknya, @philosopop

KERANA terlalu meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza, peminat dari negara Brazil sanggup mencacah tatu yang mempunyai nama dan wajah Siti.

Peminat yang dikenali dengan nama Pedro itu membuat ucapan sempena hari lahir Siti yang berlangsung pada Rabu di laman Twitter dan Instagram miliknya, @philosopop.
"Selamat hari lahir Datuk Siti Nurhaliza. Saya meminati anda ketika kali pertama mendengar lagu Kesilapanku, Keegoanmu. Semenjak itu, saya 'membawa' anda dalam hati dan kulit saya. 

"Saya gembira melihat anda dalam keadaan baik dan sihat bersama suami tercinta. Saya ucapkan selamat maju jaya," tulisnya.

Bersama ucapan tersebut, Pedro memuat naik foto lengan yang menampakkan tatu gambar dan nama Siti.

Terharu dengan tindakan peminatnya, Siti mengucapkan terima kasih kepada Pedro menerusi kemas kini di laman Instagram miliknya.
BACA: Siti sahkan bakal timang bayi perempuan

Sunday, January 14, 2018

Hilangkah peminat Aishah kerana lantang bersuara?

Aishah lantang bersuara, tak kisah hilang peminat
NORHIDAYYU ZAINAL - 13 JANUARI 2018
Penyanyi Aishah bersama suaminya

SUSULAN memperjuangkan hak artis bersuara mengenai isu rakyat, penyanyi terkenal, Aishah tidak kisah akan kehilangan peminat.

Bahkan, penyanyi berusia 53 tahun ini mengakui perkara tersebut adalah sesuatu yang boleh dijangkakan.

"Biasalah tu. Ia benda yang boleh dijangka lebih-lebih lagi bila kita bersuara mengenai perkara tersebut.

"Macam-maca saya terima feedback. Ada yang tak kisah, still dengar lagu saya, minat saya tapi ada yang juga kata cancellah, tak minat dah (ketawa).

"itu expected la kan. Kalau kita nak orang hormati kita, kita pun kena hormat juga kalau itu keputusan mereka," katanya pada Sinar Harian ketika ditemui di majlis meraikan kelab peminatnya, Aishah Fan Club, hari ini.

Terdahulu, juara program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ini begitu lantang memperjuangkan hak artis bersuara isu rakyat menerusi ucapannya di Konvensyen Pakatan Harapan, baru-baru ini.

Tegasnya, kelantangannya dalam bersuara bukanlah bertujuan untuk menghentam sesiapa.

"Saya cuma mengharapkan agar tidak ada diskriminasi supaya semua orang boleh appear on TV.

"Tak kiralah apa pandangan atau pendirian mereka. Lagipun, ini negara demokrasi jadi kita kena hormat pandangan masing-masing," katanya.

Bahkan, pelantun lagu Janji Manismu ini menyifatkan semua artis perlu ada pendirian dan pandangan masing-masing.

"Bila artis bersuara ia menunjukkan artis itu prihatin kepada apa yang berlaku. Saya cuma nak artis ada pendirian dan jangan kata artis, kalau menyanyi nak kena menyanyi saja,  sebaliknya kita mesti ada pendirian.

"Saya rasa ia tak salah. Kalau di luar negara pun, semua open dengan pendirian dan peminat juga ada yang sokong.

"Dan...sebenarnya, kita juga kena belajar ada kematangan dalam hidup," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Tak terima undangan menyanyi sejak masuk politik

Saturday, January 13, 2018

Farid Kamil: Dari cerita Ben Ali

Farid Kamil minta tolong melalui Whatsapp: Ben Ali
MEEN TAHRIN 13 JANUARI 2018
Ben Ali menceritakan kisah pada malam kejadian Farid Kamil dibawa ke balai polis. Foto: FB

SUSULAN kes penahanan pelakon Datuk Farid Kamil, rakannya yang juga merupakan seorang pelakon, Ben Ali telah tampil memberikan penjelasan panjang lebar mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada malam sebelum Farid ditangkap.

Berikut merupakan cerita Ben Ali sendiri yang ditulis di Facebook miliknya.

Kisah DFK:

Susulan penahanan Dato Farid Kamil dua hari lepas . Ramai yang mengecam beliau dan melemparkan kata-kata berbaur cacian, makian dan sebagainya . Saya berpeluang untuk mengenali beliau secara dekat sejak baru baru ini sahaja . Sebelum ini cuma kenal di kaca TV .

1. Pada hari kejadian, DFK ada menghantar pesanan suara kepada saya melalui aplikasi Whatsapp dengan meminta tolong . Beliau berkata bahawa beliau sudah dua hari tidak berjumpa anak beliau dan beliau berada di kawasan gelap dan amat menakutkan.

2. Kemudiannya beliau menghantar satu lokasi di mana beliau berada, tempat tersebut ialah Balai Polis.

3. Pada mulanya saya agak pelik dan hairan . Tidak juga saya tahu bagaimana untuk saya memberikan reaksi balas terhadap pesanan beliau itu. Jadi saya mengambil pendekatan untuk tidak membalas apa-apa sejurus selepas menerima Whatsapp tersebut.

4. Namun sejurus selepas berita berkenaan DFK ini tular di media sosial , saya terus bergegas ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk cuba membantu apa yang terdaya.

5. Tidak dinafikan, apa yang dikatakan oleh adik beliau saudara Fadzil Zahari adalah benar. Berkemungkinan DFK menghadapi tekanan perasaan sejak dua menjak ini.

6. Kisah ini bermula semasa beliau menjalani penggambaran mega drama Lafazkan Kalimah Cinta yang digandingkan bersama Nelydia Senrose.

7. Melalui seorang teman rapat saya yang juga terlibat sama dalam proses pembikinan drama terbabit . DFK pada awalnya begitu komited dan professional dalam melakukan tugasnya sebagai pelakon drama terbabit.

8. Namun menjelang ke pengakhiran penggambaran tersebut, beliau mula kelihatan runsing. Bermula dengan isu di mana beliau meninggalkan set drama tersebut kerana khabarnya pihak produksi tidak menjaga hal ehwal pelakon terutamanya nya diri beliau sendiri. Sehinggakan beliau dikejarkan ke Hospital akibat masalah gatal di badan beliau.

9. Dan sejurus selepas kes tersebut, beliau tampak sedikit berubah dari segi cara percakapan dan pertuturan dengan orang ramai. Jika dilihat di instagram baru-baru ini anda boleh lihat bagaimana beliau bertindak balas di ruangan comment beliau ataupun dia ruangan comment orang lain.

10. Bagi yang mengenali beliau secara dekat, pasti seakan tidak percaya akan tindakan yang beliau lakukan ini. Kerana beliau bukanlah seorang yang ganas atau baran sehinggakan sanggup menampar orang awam apatah lagi pegawai polis .

11. Saya percaya pasti ada punca kepada permasalahan yang berlaku ini. Diharap netizen tidak terus mencemuh beliau sebaliknya menunjukkan sokongan moral kepada beliau.

12. Saya ingin menggesa Seniman selaku badan yang mewakili penggiat seni untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan isu ini sekiranya ianya mula timbul di set penggambaran drama terbabit.

13. Perkara ini amatlah serius, jika benar ianya berpunca daripada tekanan yang dihadapi di set penggambaran tersebut . Satu kajian yang mendalam dan menyeluruh perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan ianya berlaku pada orang lain pula.

14. Tidak boleh dinafikan , cara perlaksaan industri seni di negara ini perlu diperbaiki dan dikaji semula . Tempoh jam berkerja di sesuatu set penggambaran juga perlu diteliti kerana ada sesetengah set menjalankan penggambaran sehingga jam 6 pagi.

15. Bagi pihak produksi dan juga penggiat seni khususnya yang berada di dalam dunia lakonan , perkara ini mungkin kedengaran agak biasa.

16. Namun, sebagai hak seorang manusia , kita tidak sepatutnya dikerah berkerja sehingga 20jam . Kadang kala ada yang mencecah 24 jam masih di set penggambaran.

17. Sesuatu perlu dilakukan segara agar masalah-masalah seperti tekanan perasaan yang mungkin bermula di set penggambaran dapat diselesaikan.

18. Tidak dilupakan juga kenyataan yang dikeluarkan Presiden Seniman , Saudara Zed Zaidi tentang lebih kurang 300 Artis menghadapi tekanan akibat berhutang dengan “Along”.

Diharap pihak yang berwajib khususnya pihak kementerian dapat mengambil tindakan sejawarnya tentang masalah-masalah yang dihadapi para penggiat seni sejak kebelakangan ini.

Sekadar Menulis,
Ben Ali,
13 Januari 2018

Monday, January 8, 2018

Artis dinafikan hak bersuara?

Artis bersuara demi cinta kepada tanah air, kata Aishah
Mohd Farhan Darwis, Radzi Razaki · Diterbitkan pada 7 Jan 2018 2:45PM
Penyanyi Aishah berkata beliau bersyukur terdapat sekumpulan artis yang berani menyuarakan pendapat mereka secara terbuka terutamanya membabitkan soal kos kehidupan yang semakin meningkat. – Gambar Instagram, 7 Januari, 2018

ARTIS berhak menyuarakan pendapat mereka tentang isu semasa kerana suara mereka itu diluahkan atas rasa cinta kepada negara, kata penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin.

Menurut Aishah, artis berhak menyuarakan pendapat mereka terhadap situasi semasa kerana golongan itu bersuara atas rasa kecintaan terhadap negara.

Juara rancangan hiburan Gegar Vaganza itu berkata, beliau bersyukur terdapat sekumpulan artis yang berani menyuarakan pendapat mereka secara terbuka terutamanya membabitkan soal kos kehidupan yang semakin meningkat.

"Saya bersyukur bila ada artis berani bersuara...itu maknanya artis ada sel-sel yang berhubung  , kita sepatutnya hormati pendapatnya...dia tanya pasal kos kehidupan sahaja," katanya ketika berucap di Pentas Rakyat ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam hari ini.

Mewakili golongan artis, penyanyi yang popular dengan lagu "Pulanglah" itu turut mengingatkan PH agar tidak hanya menggunakan khidmat artis untuk membantu mereka ketika tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) semata-mata.

Aishah yang merupakan ahli Amanah berkata, golongan artis seharusnya terus diberikan perhatian oleh PH sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14.

"Janganlah hanya masa kempen sahaja ajak artis, bila sudah memerintah ada bajet, lupakan kami.

"Kami bersuara bukan kami benci tapi kami sayangkan tanah air, kami ingin lihat semua rakyat di Malaysia menikmati hasil di bumi bertuah ini, jangan lupa para artis bila sudah memerintah," katanya di hadapan perwakilan PH yang berhimpun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam.

Selain itu, Aishah turut berkata keberaniannya juga membolehkan beliau bertahan dalam dunia hiburan selama 30 tahun walaupun tidak bersama kerajaan.

"Saya tak berani nak kata wakili golongan artis...tapi saya wakili diri saya yang menjadi artis selama 30 tahun, dah lama artis ini tidak muncul di kaca TV hanya kerana berani," katanya.

Penyanyi Shiela Majid dan pelakon Fathia Latiff sebelum ini diselar kerana mengkritik peningkatan kos sara hidup dan tadbir urus kerajaan.

Shiela melalui akaun media sosialnya menggesa kerajaan membetulkan kembali hala tuju negara ke landasan yang betul.

Selain Aishah, turut berucap di pentas rakyat adalah wakil Naib Ketua Pemuda PH Arul Kumar; Pengarah Pilihanraya Wanita PH Haniza Talha mewakili golongan wanita; dan Kapten (B) Zainal Abidin Naus yang mewakili bekas anggota tentera.

Zainal Abidin dalam ucapannya turut menggesa agar PH mengkaji semula perjanjian perdagangan dengan China sekiranya mereka memerintah negara.

"Sebelum komunis meletak senjata pada 90-an, tentera dan polis dikerah ke hutan. Hari ini dijemput pula berniaga secara terbuka di negara kita.

"Kami rasa sangat terhina dengan apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional ketika ini. Jika PH dapat tubuhkan kerajaan, kami veteran berharap perjanjian yang dibuat sekiranya boleh dibatalkan perjanjian tersebut," katanya.

Selain itu, turut berucap di pentas rakyat adalah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman mewakili golongan bekas penjawat awam; Abdul Rahman Ramli mewakili peneroka Felda; dan Mohd Rosdi Yahaya mewakili golongan petani.

Konvensyen PH hari ini juga dijangka akan mengumumkan calon perdana menteri mereka sekiranya PH memenangi pilihan raya umum akan datang. – 7 Januari, 2018.
Turut berucap di pentas rakyat adalah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman mewakili golongan bekas penjawat awam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

Monday, December 18, 2017

Aishah juara

Aishah juara GV 4
Astro Awani |  Disember 18, 2017 00:03 MYT
Aishah juara GV 4
Aishah dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir program Gegar Vaganza musim keempat (GV 4). - Gambar Astro Gempak
ISKANDAR PUTERI: Penyanyi Aishah dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir program Gegar Vaganza musim keempat (GV 4) yang diadakan secara langsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor malam ini.

Pelantun lagu Camar Yang Hilang itu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi.

Selain itu, Aishah itu turut membawa pulang sebidang lot tanah banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas dan baucer membeli belah.
Malah, persembahan memukau beliau turut menyentuh hati salah seorang juri tetap, Hetty Koes Endang hingga menitiskan air mata.

BACA: Air mata bonda buat Aishah di GV 4

Bagi persembahan battle pula, Aishah bergandingan bersama Liza Hanim juga tidak mengecewakan apabila mendapat pujian juri tetap, Datuk Ramli MS.

Tempat kedua pula, dimenangi oleh Liza Hanim yang menerima wang tunai sebanyak RM50,000 manakala Lan Solo di tempat ketiga dengan membawa wang tunai RM30,000.

Sementara tempat keempat dimenangi oleh Hazami (RM20,000), tempat kelima dimenangi Firman (RM15,000) dan tempat akhir dimenangi Tia Jinbara (RM10,000).

Aishah adalah juara keempat selepas Ayai Ilusi, Siti Nordiana dan Azharina yang berjaya bergelar juara tiga musim terdahulu.

Diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV 4 bersiaran secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios selain disiarkan secara langsung Astro Ria (saluran 104) serta Astro Ria HD (saluran 123).

KaitanGV4: "Aishah memang dia legend. Suara power. Selayak juara"

Wednesday, November 29, 2017

Di sebalik nama Sudirman yang mungkin anda belum tahu - Dari cerita Habsah Hassan

Akhirnya Terbongkar!!allahyarham Sudirman Haji Arshad Dan Rahsia Kematiannya
November 29, 2017 admin
KELUARGA Allahyarham Sudirman membuat keputusan untuk ‘menyembunyikan’ Penghibur Nombor Satu Negara itu mengenai penyakit dan punca kematiannya kerana tidak mahu peminat sukar menerima hakikat mengenai keadaannya yang sangat menyedihkan.

Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap penyakit Aids, tetap mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan karib Sudirman yang juga penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan berkata, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keluarga penyanyi itu seperti sudah bersedia untuk bercerita dan merungkai rahsia sebenar mengapa mereka bertindak ‘menyorokkannya’.

“Selepas bertahun-tahun, barulah rahsia itu terungkai. Keluarganya tidak mahu mendedahkan atau memberi peluang masyarakat Malaysia melihat Sudirman pada waktu itu kerana mereka tidak mahu melihat keadaan sebenar Sudirman yang sangat menyedihkan. Mereka sudah biasa tengok Sudirman dalam sentiasa ceria dan ‘cute’.

Al-Fatihah

“Secara perubatan, Sudirman disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna. Tapi sebenarnya, ada punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana pada waktu itu, Sudirman sedang menghadapi pelbagai perkara aneh.

“Saya akui, ia juga disebabkan ajalnya memang sudah sampai. Tetapi Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi oleh Sudirman sehingga membawa kepada kematian,” katanya.

Habsah berkata demikian ketika menjadi tetamu siri Pesona Seni Aswara – Mengenang Sudirman: Program Kecil Berjiwa Besar di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini.

Program yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Aswara, Datuk Omar Awang itu menampilkan Mohd Kamarulzaman Taib sebagai moderator.

Habsah berkata, berdasarkan keakrabannya dengan penyanyi itu, beliau mendapati Sudirman ialah seorang pemerhati, ada pandangannya sendiri, memiliki ilmu dan pengetahuan am yang sangat baik.

Katanya, hal ini boleh ditemui menerusi kebanyakan lagu nyanyiannya kerana itu ia menjadikan Sudirman satu-satunya penyanyi yang berani tampil dengan lagu mencakupi pelbagai tema kehidupan.

“Saya secara peribadi berasakan apa yang dibuat oleh Sudirman belum boleh digantikan oleh penyanyi sekarang. Saya bukanlah hendak melebihkan Sudirman kerana rapat dengan Allahyarham, tetapi anda boleh kaji sendiri lagu nyanyiannya, tulisannya, komik yang pernah dihasilkannya. Anda akan dapat apa saja daripada soal isu semasa, kerjaya, kemasyarakatan sehinggalah kepada soal hati.

“Memang soal hati amat mengusik perasaan kerana Sudirman yang saya kenali lebih daripada seorang yang romantis,” katanya.

Katanya, Konsert Jalanan yang dibuat oleh Sudirman pada tahun 1984 adalah konsert terbesar yang berjaya menarik lebih 100,000 orang untuk menyaksikannya dan ia adalah antara bukti penyanyi itu mempunyai kesungguhan dalam kerjayanya.
“Untuk memastikan konsert itu berjaya, dia tidak menyerahkan semua urusan 100 peratus kepada orang lain. Sebab itu, Sudirman menguruskan banyak perkara termasuklah mendapatkan permit polis,” katanya.

Habsah berkata, Sudirman juga tidak menafikan dia bukanlah seorang penyanyi yang mempunyai suara berkualiti, fizikalnya pendek dan tidak tampan seperti kebanyakan penyanyi lain dan itu semua dianggap dirasakan sebagai kekurangan pada dirinya.

Katanya, Sudirman juga sangat berani dalam menentukan lagu yang hendak dirakamkan dalam albumnya tanpa mempedulikan sama ada ia boleh diterima oleh peminat dan pendengar.

“Sudirman seorang yang tidak kisah sama ada peminat mahu terima atau tidak. Baginya, sebagai penyanyi, bukan masyarakat yang berhak menentukan pilihan lagu yang hendak dinyanyikannya. Sudirman berasakan dia yang berhak tentukan dan memang banyak lagunya berjaya.

“Seingat saya, Sudirman adalah satu-satunya penyanyi di negara ini yang berani bercakap pasal patriotik. Dialah penyanyi yang merakamkan album yang semua lagunya bertemakan patriotik.

“Dia bukan sekadar seorang yang tidak takut mencuba tapi memang tidak takut untuk buat. Dan, Sudirman juga penyanyi yang ada jati diri cukup kuat. Dia buat album lagu Melayu seperti deli, joget, asli. Sememangnya dia seorang berfikiran jauh seolah-olah tahu dan yakin dia tidak hidup lama,” katanya.

Tambahnya lagi, Sudirman juga mahu membuktikan sesuatu iaitu sekiranya dia sudah tiada di dunia tetapi namanya tidak mudah dipadamkan dalam sejarah kerana penyanyi ini meninggalkan jejak yang sukar diganti.
“Dia seorang yang kerja kuat. Mungkin pelik tetapi untuk mendapatkan tenaga, Sudirman suka makan telur mentah,” jelas Habsah lagi.

Dalam diskusi itu, Mohd Kamarulzaman atau Che’ Kem yang kini dikenali sebagai Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957: Hati Malaya, mengemukakan beberapa persoalan kepada Habsah berhubung dengan beberapa seni kata tulisannya yang cukup menyentuh jiwa apabila dinyanyikan oleh Sudirman seperti lagu Terasing, Merisik Khabar, Jauh Di Sudut Hati dan Salam Terakhir.

Mengulas perkara itu, Habsah menjelaskan, dia menulis seni kata secara tidak dirancang dan kebanyakannya disiapkan pada saat akhir iaitu ketika Sudirman sedang bersiap sedia untuk memulakan rakaman suara.
“Misalnya lagu Terasing. Lagu dan melodinya sudah disiapkan oleh Manan Ngah. Dia dan Sudirman sudah berada di studio untuk memulakan rakaman. Manan juga sudah menyiapkan liriknya tetapi Sudirman menolak. Manan kemudian menghubungi saya minta tulis lirik untuk Sudirman.

“Saya rasa dalam masa tidak sampai dua jam, lirik Terasing disiapkan dan Sudirman terus merakamkannya. Tapi disebabkan keakraban saya dengan dia menjadikan sedikit sebanyak memang boleh memahami perasaannya,” katanya.

Tambah Habsah, keakraban itu menjadikan Sudirman dianggap sebagai adiknya dan penyanyi itu sering bercerita mengenai harapan, impian dan cita-cita serta bebas menelefon pada bila-bila masa saja.

“Nasib baik suami sudah memahami sangat hubungan saya dengan Sudirman. Ada suatu ketika dia menelefon saya dalam keadaan sedih, sayu dan menangis. Dia memang berterus terang dengan apa yang tersimpan di hatinya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan suruh dia bersabar dan banyak beristighfar.
“Lagu Merisik Khabar dinyanyikan Sudirman dengan penuh perasaan kerana liriknya memang satu luahan dalam dirinya pada waktu itu,” katanya.
25 tahun sejak pemergiannya, ada sepuluh perkara tentang Allahyarham yang menjadikan beliau insan yang cukup bernilai untuk diingati.

1. Sudirman Hj. Arshad telah dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik. Selepas menolak biasiswa pengajian perubatan, beliau telah mengambil ijazah sarjana muda dari Universiti Malaya dalam bidang undang-undang. Beliau sudah pun praktis sebagai peguam sebelum membuat keputusan menjadi seorang penghibur.

2. Beliau merupakan yang pertama dalam banyak perkara. Sudirman merupakan penyanyi Malaysia pertama yang membuat persembahan di The Paddock, Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada 1983. Beliau adalah duta nyanyian pertama bagi Proton, Malaysia Airlines dan Honda Cup. Beliau menjadi ahli kehormat kad pioneer Bank Hong Leong dan beliau juga artis Malaysia pertama yang menjadi muka depan majalah “Malaysian Business” dan “Asian Business”.
Sedutan filem “Kami”

3. Selain menyanyi, Sudirman juga berlakon dalam sebuah filem sahaja yang berjudul “Kami” pada tahun 1982. Sudirman turut menghasilkan runut bunyi bagi filem berkisar tentang dua anak yatim di jalanan Kuala Lumpur ini dan diberi judul “Pelangi Petang”. Lagu tersebut diangkat sebagai sebuah lagu ikon dalam industri muzik Malaysia.

4. Sudirman akan melakukan apa saja buat orang yang disayanginya. Beliau telah menerbitkan album buat anak saudara kesayangannya, Razman Azrai (Atai) di bawah Sudirman Productions pada tahun 1985. Pada bulan April 1983, Sudirman juga telah menyanyikan sebuah lagu bertajuk “Mama” buat Allahyarhamah Puan Sri Saloma. Sebelum pemergiannya, Saloma menyatakan rasa terharunya atas kesudian Sudirman menciptakan lagu buatnya.

5. Pada 15 April 1986, Sudirman telah menjadi artis pertama yang mengadakan konsert terbuka di Jalan Chow Kit dan menarik seramai lebih 100,000 peminat. Konsert tersebut telah menyebabkan kesesakan jalan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda ke Jalan Raja Alang. Beberapa orang peminat pitam, ada yang sesak nafas dan terpaksa digegaskan ke hospital. Namun ia menjadi konsert paling bersejarah di Malaysia.
Orang ramai membanjiri konsert terbuka Sudirman di Jalan Chow Kit pada tahun 1986

6. Sudirman telah memenangi gelaran ‘Penghibur Terbaik’ pada Anugerah Muzik Asia 1989 yang diadakan di Royal Albert Hall, London. Beliau telah menewaskan pesaing hebat seperti Leslie Cheung (Hong Kong), Anita Sarawak (Singapura), Epo (Jepun), Kuh Ledesma (Filipina) dan ramai lagi.
Sudirman bukan sahaja aktif dalam nyanyian, tetapi pandai menulis.

7. Selain menyanyi dan berlakon, Sudirman juga mempunyai bakat menulis dan melukis. Beliau telah menulis autobiografinya, “Dari Dalam Sudir” selain melukis beberapa kartun dan penulisan kolum dalam beberapa majalah dan akhbar seperti Karangkraf. Beliau juga seorang wartawan dan kolumnis yang hebat dan antara ahli politik yang pernah beliau temuramah adalah Tun Ghaffar Baba.
Sudirman bersama air karbonat Sudi menjadi muka hadapan majalah Mastika edisi April 1991.

8. Sudirman adalah penyanyi pertama Malaysia yang berjaya mempromosi air karbonat popular Sudi bersama majalah perniagaan dan program televisyen dari Australia hinggalah ke Hong Kong. Dalam masa enam bulan, Sudi berjaya menembusi pasaran air karbonat sehingga lima peratus. Kemudiannya dia telah membuka kedai pakaian francais Sudi Shoppe dan restoran Sudi.
Sudirman (empat dari kiri) bersama pesaingnya di Anugerah Muzik Asia 1989.

9. Syarikat rakaman EMI London pernah membawanya bekerjasama dengan trio penerbit British, Stock, Aitken & Waterman yang pernah bekerjasama dengan Kylie Minogue, Jason Donovan dan Rick Astley untuk pasaran antarabangsa dengan lagu berjudul “Love Will Find A Way”. Dia pernah dibawa ke studio rakaman Abbey Road Studios yang pernah digunakan oleh The Beatles untuk merakamkan album, tetapi meninggal dunia tidak berapa lama kemudian.
10. Sudirman telah dinamakan sebagai ‘Duta Nyanyian Malaysia’ oleh Kementerian Pelancongan Malaysia (MTDC). Dia juga adalah suara di sebalik lagu MTDC, “To Know Malaysia Is To Love Malaysia” yang direka oleh penyanyi, penulis lagu dan calon Anugerah Grammy, Emmy dan Oscar, Carol Connors. Dia juga turut dilabel sebagai ‘Dinamit Nyanyian’ oleh wartawan Singapura.

Nyanyiannya turut mendapat tepukan gemuruh dan penghormatan di Australia, Jepun, Kuwait dan juga Amerika Syarikat. Pengurus kepada kumpulan penyanyi George Michael, Wham!, Simon Napier-Bell pernah mengatakan bahawa Sudirman adalah ‘institusi kepada industri muzik Malaysia’. Dia juga turut dikenali sebagai ‘Peguam Yang Menyanyi’, ‘Penyanyi Orang Ramai’ dan juga ‘Elvis Malaysia’. - sumber

Tuesday, November 14, 2017

Korang percaya ker lukisan misteri berhantu?

KOLEKSI LUKISAN MISTERI. YANG KUAT SEMANGAT BOLEH TENGOK. NO 7 TU JANGAN TENUNG LAMA-LAMA!!

SUKAN SENTRAL 14 NOV 2017 20:01:41

Lukisan-lukisan ini diperolehi dari seluruh dunia. Jom tengok sejarah lukisan misteri ni. Korang jangan tenung lama-lama..
1. LUKISAN OEI HUI LAN

Beliau adalah puteri kesayangan dari pengusaha gula ternama Semarang, Indonesia Oei Tiong Ham yang kekayaannya terkenal di seluruh Asia hingga Eropah.

Oei Hui Lan menikah dengan Wellington Koo, salah satu duta besar China dan akrab dengan keluarga bangsawan Eropah dari Ratu Victoria hingga Ratu Belgium. Bukan itu saja, fotonya dipamerkan dalam muzium kerajaan di England.

Oei Hui Lan mati pada tahun 1992 semasa usia 93 tahun. Sebelum kematiannya, Oei Hui Lan sempat menulis dan menerbitkan buku berjudul No Feast Last Forever yang menceritakan perjalanan hidupnya yang luar biasa. Salah satu peninggalan Oei Hui Lan adalah potret dirinya yang terdapat di Hotel Tugu, Malang. Tidak diketahui siapa pelukisnya, tapi yang jelas penampakan diri Oei Hui Lan dalam lukisan tersebut amatlah menyeramkan.
2. THE CRYING BOY

Lukisan yang diberi nama The Crying Boy ini merupakan buah karya seorang pelukis Itali, Bruno Armadio. Dalam lakaran kanvas ini, Bruno melukis sebuah potret anak yatim piatu yang ditinggal orang tuanya dalam sebuah tragedi kebakaran. Misterinya, setelah lukisan ini siap kanak-kanak dalam lukisan itu dilaporkan mati dalam satu kebakaran, dan disusuli dengan studio si pelukis juga terbakar.

Sejak kejadian itu, misteri sumpahan lukisan ini terus berlanjutan. Menurut berita yang diterbitkan The Sun, sebuah rumah di Rotherham, South Yorkshire, England hangus terbakar kerana lukisan ini. Yang peliknya, didalam kerosakan teruk akibat kebakaran tersebut, lukisan The Crying Boy tetap tergantung rapi tanpa cacat sedikit pun.
3. POGO THE CLOWN

Merupakan lukisan yang mengambarkan John Wayne Gacy, seorang pembunuh bersiri dalam sejarah US, Gacy telah membunuh kira-kira 33 orang lelaki dan remaja.
Dalam lukisan ini, beliau melukis watak POGO si badut pembunuh, iaitu dirinya sendiri yang dilukis dalam penjara.. setelah Gacy dihukum mati, pihak penjara melelong lukisan beliau dan ada laporan dari pemilik menyatakan sering dihantui si badut ketika menatap lukisan ini. Pemilik terbaru lukisan ini adalah keluarga mangsa bunuh Gacy dan lukisan ini dikhabarkan telah dibakar oleh keluarga tersebut.
4. THE NIGHTMARE

Merupakan karya dari pelukis yang bernama John Fuseli. Lukisan ini sangat terkenal hingga Fuseli mengambar beberapa versi cerita dari lukisan ini. Pada lukisan ini dapat dilihat makhluk syaitan sedang menggoda seorang perempuan yang sedang tidur.
5. STUDY AFTER Velzquezs Portrait of Pope Innocent X

Merupakan lukisan yang dicipta oleh pelukis terkenal pada abad 20, Francis Bacon. Gaya lukisannya terkenal, berani dan memiliki unsur gelap dalam bentuk figure-figure atau watak tertentu, lukisan ciptaannya terjual dengan harga sangat tinggi. Bacon menggambarkan seorang paderi sedang menjerit dalam lukisan ini.
6. LUKISAN DIOMEDES DEVOURED

Lukisan ini mengambarkan kuda pemakan manusia dari mitologi Greece kuno yang di lukis oleh Gustavo Moreau. Lukisan ini bercerita tentang Hercules ditugaskan mencuri empat ekor kuda dan ternyata kuda kuda itu adalah kuda pemakan manusia. Di akhir cerita Diomede si pemilik kuda tersebut dimakan oleh kudanya sendiri. Berdasarkan laporan pengunjung muzium yang memerhatikan lukisan ini, mereka selalu gelisah dan ketika tidur mereka akan bermimpi buruk.
7. LUKISAN MISTERI NYI RORO KIDUL

Percaya atau Tidak
Bila seseorang merenung lukisan Nyi Roro Kidul selama 15 minit, maka akan terasa kehadiran sesuatu yg susah untuk diungkapkan dgn kata-kata. Ada yang pernah merasakan bulu tengkuk meremang dan tercium harum bunga melati selama beberapa saat. Ada juga yg melihat lembaran kain berwarna hijau disertai sayup-sayup kedengaran bunyi ombak ketika menatap lukisan ini.

Dan hingga ke hari ini 3 orang yang berani melukis potret Nyai Roro Kidul telah meninggal dunia, diantaranya Basuki Abdullah yang terbunuh dirumahnya sendiri, Suhardjo meninggal kerana penyakit misteri dan yang terakhir Didik Suardi meninggal setelah seminggu menyiapkan lukisan tersebut.
8. LUKISAN BERNADO DE GALVEZ

Bernardo de Galvez adalah seorang General Sepanyol yg membantu koloni Amerika dalam perang kemerdekaan melawan British. Potretnya ketika ini digantung di Hotel Galvez, Texas. Aura misteri menyelimuti lukisan si General terutama bagi para pelancong yang berselfie di dengan lukisan tersebut. wajah si General dalam potret tiba-tiba berubah menjadi tengkorak!

Pekerja Hotel shift malam juga melaporkan, jari-jemari tangan kiri General pada lukisan tersebut bergerak-gerak.
9. LUKISAN PEMBUNUHAN JUDITH, HOLOFERNES

Dalam bible old testament dikisahkan tentang Judith dan Holofernes, adegan di lukisan ini menggambarkan bagaimana Judith memenggal kepala Holofernes.
Mereka yang melihat lukisan ini di Muzium akan bermimpi buruk. Lukisan ini hasil karya oleh pelukis renaissance Artemisia Gentileschi (1593 1656).
10. LUKISAN BERHANTU PENARI LEGONG

Yusuf Dwiyono yg melukis Penari Legong mengaku tidak percaya jika lukisannya itu berhantu. Namun banyak pengakuan sebaliknya dari mereka yang pernah melihat lukisan ini. pernah juga dibahas di program Percaya tidak Percaya di stesen tv ANTV. Penari Legong yang dipotretkan ini dapat bergerak-gerak sendiri dan menakutkan sesiapa saja yang melihatnya. Cuba korang tenung lama-lama
11. THE ANGUISH MAN, GAMBAR PENDERITAAN

Nenek kepada Sean Robinson mewariskan rumah dan semua isinya pada Sean ketika meninggal. Pada waktu Sean masih kecil, neneknya selalu bercerita tentang lukisan tsb berhantu dan ia hanya berani menyimpannya di loteng. Rupanya Sean tidak pernah percaya dengan cerita-cerita hantu. Setelah mewarisi semua harta neneknya, beliau menggantung lukisan Anguish Man di ruang tamu.

Dari situlah kejadian-kejadian aneh mula terjadi. sering sekali terdengar suara jeritan dan tangis dari dalam rumah. Akhirnya Sean menyimpan kembali lukisan ini di loteng. Meski pun banyak tawaran untuk membeli, Sean tidak bermaksud menjualnya, beliau hanya mepamerkan lukisan ini di youtube.
12. LUKISAN HANTU MAKAN BUDAK

Lukisan ini menggambarkan Cronos (Saturn) memakan anaknya sendiri kerana takut si anak bakal merampas kekuasaannya. Jangan melihatnya sendirian di malam hari nanti korang dihantui oleh Cronos.
13. THE SCREAM

Lukisan ini dilihat sederhana, namun jika korang melihatnya pada malam hari akan meremanglah bulu tengkuk. Lukisan ini adalah hasil karya Edvard Munch, seorang pelukis asal dari Norway.

Sesuai dengan ilustrasi gambar, lukisan ini diberi nama The Scream. Lukisan ini dibuat pada tahun 1893-1980, dimana lukisan ini menggambarkan kesakitan seorang anak kecil dengan latar belakang langit yang cerah. Jika lama-lama menatap lukisan ini, maka akan terlihat semakin seram. Ishhh!!

- Sumber