Thursday, April 12, 2018

Tapi itulah... kita ini jenih bodo blake. Jenis senang diperkuda

Kalau dah jenis 'bodo blake'
Abdullahjones  |  Dikemaskini 8 Apr 2018, 8:55 pagi
Mulanya terfikir nak tulis tentang bagaimana lucunya berita mengenai kerajaan sebuah negeri di Malaya ini mahu memperdengarkan ayat ayat al-Quran kepada lembu pedaging supaya daging yang dihasilkan lembut seperti lembu pedaging yang katanya diberi minum bir di Jepun.

Al-Quran diturunkan sebagai pembimbing dan rahmat kepada manusia.

Hari ini ayat ayat yang maha mulia itu dijadikan komoditi. Segala macam makanan dan minuman yang 'disuntik' dengannya menjadi barang dagang. Jadi alat untung.

Bukan sedikit mereka mereka yang rajin mengkomersialkan komoditi ini hanya untuk keuntungan yang sedikit.

Benar, selain memberi bimbingan ayat-ayat al-Quran juga adalah sejenis syifa, namun mencari untung dengannya adalah satu perbuatan yang amat tidak menghormati kesucian ayat itu sendiri.

Malu adalah sebahagian daripada iman, dan mungkin apabila kita malu untuk memperniagakan ayat-ayat Allah maka ia akan menjadikan kita beriman.

Menangi hati dengan ihsan

Tapi tak jadi nak tulis mengenai perkara tersebut kerana takut kena marah dek orang agama. Dan tentu sekali di Malaya ini yang paling mahu dianggap pejuang yang satu-satunya menegakkan agama ialah partai yang itu.

Alahhhh... partai yang kalau disebut namanya dalam apa juga tulisan adalah dosa yang tak terampun kecuali kita menyokong mereka.

Terasa mahu juga memberitahu mereka agar berhemah dalam perjuangan dan cubalah memenangi hati insan dengan ihsan, tetapi itulah... kita ini menulis di sini - portal paling kafir di dunia. Siapalah yang mahu mendengarnya... sigh.
Kemudian ada juga terfikir untuk menulis mengenai betapa penyokong Juventus berdiri beramai-ramai memberi tepuk hormat kepada Cristiano Ronaldo kerana menjaringkan gol yang cantik walaupun ia bermakna merugikan mereka.

Kononnya, dalam tulisan itu nanti mahu kami beritahu bahawa kita ini bertanggungjawab untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang ternyata mahu membaiki kerosakan dalam negara tanpa perlu dibebankan dengan memikir mereka dari partai mana.

Kita sudah lama diperbodohkan dengan paksa untuk mempertahankan kejahatan. Diugut dengan perbagai cara. Dipujuk dengan segala macam benda.

Tapi tak jadi juga menulis mengenai itu kerana kami ini - setelah hampir seluruh pasukan Malaya dihukum kerana menjual perlawanan suatu masa dulu - berhenti mengambil tahu.

Kami sangat suka Azizol Abu Haniffah.
Hari ini kami langsung tidak mengenali pemain bolasepak negara dan tidak berasa rugi apa-apa.

Lain-lah kamu - bergaduh, masuk gua, bergaduh, masuk gua.

Lalu apabila cerita rendang rangup menjadi tular, kami sebagai orang yang berasa pandai, ingin juga bercerita mengenainya.

Kali ini kita bersatu kuat menentang apa yang kita rasa adalah salah. Mana mungkin kulit ayam rendang dimasak ranggup? Ini adalah kesalahan besar dan senusantara bersatu menghukum bangsa penjajah jahat itu.

Siapa buka KL

Bagus sebenarnya kita ini jika bersatu membenamkan kesombongan. Kemudian kita lihat bagaimana penjajah yang bangga itu akhirnya lari dengan ekor di celah kangkangnya.

Jika kita boleh lakukan ini kepada mana-mana politikus jahat, mungkin kita tidak saling memusuhi sekarang ini.

Memecah-belahkan kita adalah kerja hakiki politikus. Tapi malang sekali kita sangka bahawa kita adalah cinta nombor satu mereka.

Tak jadi juga menulis rendang kerana kami ini adalah pakar dalam masak air sahaja. Bimbang dikata orang tahu blake-lake...
Hari itu ada cerita mengenai sebuah buku yang menceritakan bahawa Sultan Puasa adalah orang pertama yang membuka Kuala Lumpur.

Melalui komen-komen mengenai hal itu kami ternampak betapa ketaranya rasa tidak puas hati antara satu bangsa dengan bangsa lain di Malaya ini.

Yang berbangsa Cina dengan sinis mengatakan betapa hari ini Melayu mahu memadam sejarah sumbangan bangsa mereka untuk membuka Kuala Lumpur.

Bertelagahlah mereka dalam hal tersebut sehingga beratus-ratus komen.

Lelaki tua wanita muda 

Kita semua lupa bahawa yang membangunkan sesuatu negara adalah penduduknya. Tidak mengira apa bangsa sekali pun, pasti ada tenaga dan buah fikir yang mereka sumbangkan sehingga satu-satu petempatan itu menjadi makmur... atau mundur.

Menganggap bahawa hanya bangsa kita sahaja yang paling patut diiktiraf sebagai juara adalah kesialan yang nyata.

Yap Ah Loy mungkin membangunkan Kuala Lumpur tetapi bukan hanya beliau yang berkerja kuat untuk itu. Tentu sekali beliau mendapat pertolongan daripada semua bangsa yang hidup pada zaman itu.
Jika kita semua mahu terbuka tanpa sibuk mahu menjadi Melayu, Cina, India, Kadazandusun dan sebagainya tentu kita ini kebih senang dibawa duduk semeja dan berpakat mengulingkan kejahatan.

Tapi itulah... kita ini jenih bodo blake. Jenis senang diperkuda.

Kamu kemudian hairan apabila melihat ada perempuan muda dan cantik rela dikahwini lelaki tua yang kaya, padahal mereka sudah bersetuju untuk mendapat apa yang mereka inginkan.

Perempuan itu mahukan kekayaan, dan dia mendapatnya daripada lelaki tua itu. Lelaki itu pula setuju untuk memperkayakan perempuan cantik berkenaan dengan syarat dia rela diperisterikan.

Mereka menang bersama-sama.

Begitu juga dalam hal kejahatan berniaga. Rasuah diberikan sebagai tanda setuju untuk saling mengguna.

Ingat mahu menulis mengenai perkara di atas dan mengenai Sultan Puasa bersama Yap Ah Loy tapi bimbang ia hanya akan membuka pekung di dada semua bangsa. Lalu kami pun lupakan saja.

Jadi untuk kali ini kami tidak menulis apa-apa, dan khabarnya parlimen sudahpun dibubarkan.

Selamat mengundi kepada semua.

Nanti jika sudah ada pemenang, yang kalah diharap diam sementara. Biarkan si menang melaksanakan janji pilihan rayanya sehingga pilihan raya yang akan datang.

Jangan sibuk meroyan mengadu malang. Dikhianati, ditipu - berdiri. Dah kalah, tunggu pilihan raya dan lawan lagi.

Yang menang, lantik mereka yang betul untuk bidang yang betul. Yang sukan, jaga sukan. Yang berakhlak mulia jaga agama, atau yang berhemah tinggi diberi tugas jaga budaya.

Baca Mengapa tak boleh masuk kepala?

Jangan semberono memberi jawatan hanya kerana terhutang budi. Hak kami - rakyat - kamu sila hormati.

Jangan pula hari ini kalah/menang, esok sudah sibuk berkempen pula. Kami ini bosan dengan huru-hara politik. Bosan dengan pertelingahan partai.

Bosan dengan muka-muka yang itu-itu asyik mencebik dan menjelir pada musuh politik mereka.

Bukan banyak yang kami minta. Kami cuma mahu duduk aman tanpa bersengketa sesama sendiri dalam agama dan kaum yang berbeza.

* ABDULLAHJONES seorang pengembara, penulis, penyair, jurufoto, pelukis dan ninja yang sedang sepi dan lara pun mengusik jiwa.

1 comment:

  1. Najib dan umno/bn dok sibuk beli rakyat dgn wang ringgit. Jk rakyat kita semudah dan semurah itu boleh dibeli maka tak ada apa lg kita boleh harapkan utk masa depan. Tunggu kehancuran saja

    ReplyDelete