Tuesday, April 3, 2018

PAS zaman Fadzil Noor dan Hadi Awang

PAS zaman Fadzil Noor dan Hadi Awang, dari mulut Faiz Fadzil
oleh Izmil Amri  -  Pada 2 April 2018

Nama Faiz Fadzil muncul di saat PAS sedang giat membersihkan parti daripada golongan yang dipanggil ‘jebon’ atau ‘Anwarinas’. Hakikatnya mereka ini semuanya adalah anak didik Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan merupakan kepimpinan pemuda PAS pada zaman Reformasi, sehinggalah Almarhum menghembuskan nafas terakhir pada 23 Julai 2002.

Anak mantan presiden PAS itu, berserta seluruh keturunan ‘jebon’ disingkir dalam muktamar PAS yang membuka ruang untuk parti itu kini bersekedudukan dengan UMNO secara terang-terangan menjelang hari-hari terakhir sebelum Parlimen dibubarkan untuk memberi ruang kepada Pilihanraya Umum ke-14.

Saya duduk bersembang dengan Faiz beberapa lama dahulu, ketika belum ada bunyi langsung tentang rakaman didakwa suara Nik Abduh, tentang kerjasama UMNO-PAS dan bagaimana para ‘jebon’ disingkirkan dengan bermodalkan dana yang disumbangkan oleh UMNO.

Sebagai orang yang lahir dan membesar dalam PAS, saya hanya mahu tahu dari mulut Faiz sendiri; apa yang sangat berbeza dengan PAS di zaman Almarhum Ustaz Fadzil, dengan PAS di zaman Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang?

Pertama, PAS tidak lagi berada di barisan depan menentang Barisan Nasional, malah menyokong kepimpinan Najib Razak; walaupun berhadapan pelbagai skandal. PAS menjadi tongkat dan benteng terakhir kepada kekuasaan UMNO.

Kedua, PAS tidak lagi mencerminkan sebuah parti Islam yang relevan dalam negara, dengan menggunakan sentimen agama dan perkauman sebagai hala tuju politik mereka. Sedangkan isu yang real hari ini adalah isu kos sara hidup, yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus UMNO dan Barisan Nasional. Tiada cara lain selain mengubah kerajaan yang ada, bukan menjadi penasihat.

Kalau PAS mengambil sikap menasihati kerajaan yang ada sudah pasti GST sudah dimansuhkan, dan rasuah yang haram di sisi agama telah berkurangan. Sikap PAS kini seolah-olah ia bukan lagi parti yang memperjuangkan Islam yang mematuhi kehendak syariat, kehendak siasah dan juga realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Ketiga, PAS sememangnya bukan sebuah parti perkauman, ia tidak mengehadkan keahlian hanya kepada orang Melayu. PAS cuba keluar daripada kepompong parti pak lebai dan membuat engagement dengan pihak dan organisasi bukan-Muslim.

Tetapi sekarang PAS memainkan sentimen kaum dan agama, menunjukkan PAS menutup ruang engagement tersebut.

Keempat, PAS telah terkebelakang daripada halatuju politik yang sepatutnya selama ini untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional dengan memperkukuhkan coalition yang ada. Sebenarnya PAS yang mendepani coalition. PAS yang mencipta Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif serta memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Perjuangan PAS selama ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik (pembangkang) dengan tujuan ‘merampas’ kuasa  daripada UMNO dan BN

Apabila PAS mengambil langkah untuk berpecah daripada rakan-rakan parti pembangkang, menunjukkan bahawa PAS tidak mahu mengambil kuasa daripada UMNO-BN.

1990, PAS kuasai Kelantan; 1999 Terengganu. Tahun 1999 adalah rekod pencapaian terbaik PAS di peringkat Parlimen, 27 kerusi dan kemudian merosot kepada hanya 7 dalam PRU ke-11. Kalau PAS keluar daripada Pakatan, ia akan kembali merosot.

Sikap ekstremisme yang ditunjukkan oleh PAS telah kembali ke zaman sebelum Tuan Guru Yusof Rawa. Di zaman Ustaz Fadzil, ia menunjukkan sikap terbuka. Di zaman sekarang ini, ia menunjukkan sikap takfiri, ekstremis, cepat melabel, bermusuh dengan semua orang; seolah-olah mahu kembali ke zaman Amanat Hadi.

Amanat Hadi adalah lambang kepada ekstremisme dalam pemikiran pemimpin PAS. Dengan mempertahankan amanat itu sampai sekarang, PAS mahu menjadi parti ekstrem yang tidak mahu berkawan dengan mana-mana parti lain kecuali dengan UMNO.

Kelima, PAS tidak tahu apa yang harus diperjuangkan dalam konteks realiti di Malaysia. Dulu mereka memperjuangkan hudud, kemudian di zaman Ust Fadzil ia memfokuskan negara berkebajikan, hari ini kembali kepada hudud kononnya; dalam hal RUU355 dan akhirnya ditipu oleh UMNO.

Apa faktor ‘turning point’ bagi PAS sehingga ia menjadi seperti keadaannya hari ini?

Perbezaan pemikiran. Merasakan bahawa bersama dengan UMNO ini adalah jalan mudah untuk mereka mendapat kuasa dan tempat dalam kerajaan, sedangkan mereka ditipu oleh UMNO.

Untuk memerintah, tidak ada jalan lain selain menukar rejim yang ada. Kita boleh bersama dengan rejim. Keinginan PAS untuk bertanding 100 lebih kerusi adalah cara tertutup PAS bekerjasama dengan UMNO, iaitu bertanding di kerusi-kerusi yang dapat membantu UMNO menang.

60 tahun wujud sebagai parti politik, tiba-tiba dia nak bersama dengan kerajaan UMNO-BN.

PAS kini dikuasai pemimpin baru. Mereka yang berjuang selama ini bersama arwah Ustaz Fadzil telah ditendang keluar. G18 yang ditendang keluar dalam muktamar itu adalah pemimpin-pemimpin yang diasuh oleh Ustaz Fadzil di zaman kepimpinannya dan bersama dengan beliau ketika itu.

Datuk Mahfuz, Mat Sabu, Salahuddin, Husam; semuanya adalah kepimpinan pemuda ketika itu.

Lahirnya kepimpinan baru sekarang, adalah mereka yang mempunyai pemikiran baru iaitu untuk bersama dengan rejim UMNO-BN.

Pemimpin PAS yang ada sekarang bukannya pemimpin PAS yang berjuang di zaman dahulu. Mereka pemimpin baru yang tidak memahami, tidak melalui segela keperitan yang telah dilalui oleh PAS.

Haji Hadi kini diracuni pemikirannya, kononnya kerajaan Melayu perlu diselamatkan, walaupun korup, dia jadi ekstrem dan membenci semua parti pembangkang dan menyayangi parti pemerintah.

Boleh ulas sedikit tentang kandungan dokumen pembelaan Clare Rewcastle?

Defence Statement yang boleh diakses orang awam ini adalah ringkasan fakta yang perlu diplidkan untuk dibuktikan. Sejauh mana bukti itu wujud, kita perlu tunggu dan lihat. Tetapi fakta itu diplidkan dan dipaparkan kepada seluruh orang awam.

Apa yang menimbulkan persepsi negatif ialah apabila nama-nama itu disebut, tidak ada seorang pun yang menafikan. Setakat hari ini tidak ada tindakan undang-undang dimulakan oleh mereka yang dinamakan dalam pembelaan terbabit.

Paling penting, Clare mendakwa bahawa duit-duit ini dibayar untuk memastikan PAS berpecah daripada Pakatan Rakyat. Sama ada ia dibayar atau tidak, itu kita tunggu bicara nanti. Tapi faktanya ialah, PAS telah berpecah dari Pakatan Rakyat.

Hadi sendiri mengusahakan supaya perpecahan ini berlaku.

Sebagai pemimpin, kita tidak boleh membiarkan organisasi yang kita pimpin itu berpecah. Dia yang menghalau, mencabar, menggunakan hudud sebagai punca perpecahan. Kesannya hari ini, kita lihat RUU355 pun dah hilang entah ke mana.

Adakah Amanah bakal jadi “Parti Fadzil Noor”?

Kalau kita berpegang kepada prinsip demokrasi, Islam yang berteraskan realiti, fiqh Malaysia, waqi’ Malaysia, dan bergerak ke arah menubuhkan kerajaan yang adil kepada rakyat; kita akan berjaya membawa pemikiran Ust Fadzil.

Pemikiran Ust Fadzil ialah untuk memastikan Malaysia diperintah oleh sebuah kerajaan yang adil dan bersih.

Hakikatnya. ahli PAS juga mahukan perubahan, mereka juga merasakan keperitan. Jadi tidak ada jalan lain selain mereka menyokong Pakatan Harapan

No comments:

Post a Comment