Sunday, April 1, 2018

Kebimbangan kini jadi kenyataan

Mukhriz: Kebimbangan Dr M tentang Umno kini jadi kenyataan
Anne Mohammad dan Alyaa Azhar  |  Dikemaskini 23 Mac 2018, 10:03 pagi
WAWANCARA | Pakatan Harapan (HARAPAN) secara terang-terangan menuduh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai kleptokrat yang mencuri duit rakyat.

Bagaimanapun, kerajaan kleptokrat ini bukanlah perkara baru dan tiba-tiba berlaku.

Di sebalik terpalit berbagai dakwaan skandal, Najib cuma memegang jawatan perdana menteri hanya untuk sembilan tahun berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah mentadbir kerajaan selama 22 tahun, serta kini menjadi Pengerusi HARAPAN.

Timbalan Presiden parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui kerosakan dalam kepimpinan Umno bermula ketika bapanya menjadi perdana menteri.

Menerusi wawancara Malaysiakini bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir, beliau mengakui bapanya pernah menyuarakan berkaitan perkara itu ketika Perhimpunan Agung Umno pada pertengahan tahun 1990.
Mukhriz berkata Dr Mahathir pernah melahirkan kebimbangannya dalam Umno apabila beliau melihat parti Melayu itu tidak lagi terdiri daripada kalangan guru-guru sebaliknya penyertaannya berubah kepada ahli perniagaan.

Mukhriz berkata ketika Perhimpunan Agung Umno 1995, Dr Mahathir bimbang seolah-olah boleh melihat perkara itu dan telah pun menjangkakan situasi itu akan berlaku pada masa kini.

“Pada 1995, ketika ayah saya menyampaikan ucapannya di Perhimpunan Agung Umno, dia sebut sesuatu yang dengar aneh tapi sekarang kami faham dari mana dia datang.

“Dia cakap, dia risau dengan arah tuju Umno. Dia cakap, dia nampak Umno dah berubah dari partinya dulu yang datangnya dalam kalangan guru-guru dah berubah menjadi ahlinya banyak ahli perniagaan.

“Dia tak kata perkara ini tidak baik untuk parti, ini terjadi disebabkan masa tapi ini adalah penanda ekonomi berjalan dengan baik, bursa saham sedang berkembang pesat, semua orang cari duit, banyak pelaburan datang ke negara ini.
“Dia kata dalam ucapannya ini adalah kebimbangannya, dia takut perkara itu akan beri kesan tertentu kepada parti dan parti akan berubah serta mungkin hilang identiti atau prinsip untuk berjuang demi rakyat,” kata Mukhriz.

Mukhriz turut berkata pada tahun yang sama, Dr Mahathir turut membacakan sajak bertajuk 'Perjuangan Belum Selesai'.

Mukhriz berkata, ketika itu beliau cukup ingat orang ramai cakap 'kenapa dengan orang tua ni merungut' sedangkan semua berjalan dengan baik.

“Sekarang kita dapat lihat itulah yang berlaku,” katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata Umno kini telah berubah kerana ramai anggota partinya terdiri daripada golongan korporat yang tidak meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan sendiri.
“Mereka naik turun kementerian untuk bersaing dapatkan projek, pemberian (kontrak) secara langsung, tender dan menggunakan apa sahaja (termasuk) orang dalam untuk mendapatkan projek dan kontrak dan ini adalah Umno sekarang,” kata Mukhriz.

Beliau berkata Umno tiada kejujuran dan sengaja menggunakan retorik agama, bangsa dan tanah air supaya dapat menarik minat orang ramai.

Katanya, ketika berkempen untuk exco pemuda Umno, di mana-mana tempat mereka bercakap mengenai perjuangan dan apa yang perlu dilakukan untuk rakyat namun selepas semalaman mendapat jawatan, perkara pertama yang dilakukan adalah berkahwin lagi.

“Saya terkejut, saya tidak sedar ketika saya dalam exco Pemuda, masa itu seperti dalam kelab lelaki beristeri dua, tiga. Saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“(Kahwin lagi) macam dapat trofi dan tiba-tiba mereka bawa kereta mewah,” katanya yang menambah Puteri Umno juga dilihat turut berubah seperti itu.
Kata Mukhriz sebab itulah beliau tidak rasa menyesal diusir daripada Umno kerana parti itu tidak lagi sama seperti dahulu.

Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuang daripada Umno pada Jun 2016.

Dr Mahathir pula keluar daripada Umno empat bulan sebelum itu.

Pada tahun yang sama Dr Mahathir, Mukhriz dan Muhyiddin kemudiannya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Dr Mahathir pernah mengumumkan keluar parti pada 19 Mei 2008 kerana hilang keyakinan terhadap pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun kembali semula pada 2009 ketika Najib dilantik menjadi perdana menteri.

Mahathir juga pernah dipecat keahlian Umno pada September 1969 ketika zaman Tunku Abdul Rahman dan masuk kembali ke Umno pada 1972 setelah Tun Razak Hussein menjadi Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment