Tuesday, December 19, 2017

Zombi Melayu di zaman moden

Menjadi zombi Melayu di zaman moden
Muhammad Syafiq Azmi      Hari ini, 12:41 am
ULASAN | Melayu bukanlah dikenali sebagai bangsa yang mundur dari segi pemikirannya. Kejumudan itu memang benar meliputi sebahagian besar Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

Persoalannya apakah mereka sendiri yang sebenarnya mahu menjadi bangsa terkebelakang dalam pengamalan semua cabang tidak kira ekonomi, politik dan sosial?

Jawapannya pasti tidak mudah untuk kita jawab walau sejak azali kita lahir sebagai Melayu. Kematian minda Melayu ini hakikatnya telah berlaku sekian lama.

Kelesuan pemikiran Melayu menatijahkan pelbagai kesan yang menjadi bukti persoalan yang penulis lontarkan seperti tajuk awal. Melayu yang berdiri hari ini lebih suka disuap hingga mereka menjadi zombi alam Melayu di zaman moden.

Penulis beranggapan bahawa perubahan pemikiran Melayu hanya mampu berlaku bila mana taqlid yang diaplikasikan secara mutlak oleh namanya bani Melayu beransur lenyap.

Peranan taqlid

Memang benar bahawa agama itu sesuatu yang penting dalam menggerakkan kehidupan manusia. Oleh yang demikian, jika reformasi institusi mahu dilihat berlaku seperti mana yang pernah dilalui Islam suatu ketika dahulu, maka tinggal hanya satu cara iaitu perlu berlakunya pengishlahan dalam erti kata yang menyeluruh dengan mengubah cara umat hari ini berfikir.

Di dalam Surah Ar-Ra'd ayat ke-11, Allah berfirman:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
Maka jelas ayat diatas menuntut untuk manusia itu tidak hanya berserah diri atau meredhakan segala penindasan tidak kira dari sisi fizikal, emosi dan spritual terhadap diri kita secara khusus dan umumnya kepada komuniti yang kita menjadi ahlinya.
Sudah tentu tuhan yang maha pencipta adil pada hambanya yang berusaha. Bukan terus menyerah segala kejadian sama ada baik atau buruk kepada tuhan.
Ketika inilah taqlid akan dimainkan peranannya. Setiap kejadian dan kerosakan akibat tangan segelintir daripada kita akan terus diletakkan musibah tersebut datangnya dari tuhan.
Coretan sejarah
Kemandulan pemikiran lahir kerana sifat takut yang ditanam berabad lamanya. Segalanya perlu digantungkan kepada bahu orang lain dan sifat-sifat inilah yang akan membawa umat serta kemajuan ke tahap yang semakin rendah.
Tidak ada yang boleh menggaru gatal kulitmu,
Sama seperti kuku tanganmu sendiri;
Sebab itu buatlah olehmu sendiri,
Segala kerja tanggungan dirimu. 
Begitulah nukilan rangkap syair Arab yang diabadikan Za'ba di dalam bukunya. Tambah Za'ba lagi sesuatu bangsa itu maju kerana diri mereka itu dimajukan terlebih dahulu.
Apabila diri kita berjaya, maka seluruh bangsa tersebut akan terus mencipta ketamadunan mereka yang akan dibaca sebagai coretan sejarah generasi mendatang. Dan begitulah juga sebaliknya.
Mungkin sebahagian pembaca meyakini mereka sudah awal dan berada di laluan yang betul seperti apa yang penulis kongsikan. Namun penulis juga menyedari dan menginsafi bahawa kita sebenarnya masih tidak bersedia mencipta zaman Islam yang melalui reformasi dari sudut intelektualismenya.
Di mana kegemilangan Islam?
Sikap yang diawalnya telah disebut sebagai taqlid itu bakal menggagalkan segala rencana untuk Islam kembali kezamannya yang mahsyur dengan nama seperti Al-Farabi, Al-Batani, Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan ramai lagi.
Dari kalangan nama yang dinyatakan atau tidak, mereka ini menjadi pelopor dalam bidang seperti matematik, ilmu alam, teologi, ilmu politik dan kenegaraan, ilmu astronomi, ilmu perubatan dan banyak lagi.
Ketika itu Islam dilihat gah menerusi kajian yang dibangunkan oleh cendiakawan yang dikenali sebagai muslim oleh masyarakat di era tersebut.
Hebatnya mereka sekaligus menaikkan martabat Islam itu ke suatu tahap yang tinggi hingga menjadi rujukan kepada bangsa dan agama lain dan ilmu penemuan mereka diguna pakai hingga saat ini.
Tapi di mana kegemilangan Islam yang mampu kita banggakan dewasa ini? Seringkali kita ini lantas ditakrif oleh sekelompok manusia digelar sebagai pengganas.
Apabila berlaku pengeboman berani mati atau tidak cukup gampang jari telunjuk mereka menuding ke arah yang namanya Islam. Salah siapa? Mereka atau kita? Atau kita tetap memilih untuk redha dan menganggap ini adalah takdir Allah yang kita tidak mampu mengubahnya.
Sudah-sudahlah kita menunggang agama Allah sewenangnya, tidak cukup itu kita semudah-mudahnya meletakkan salah itu juga dengan menjual kalam ini memang dikehendaki Allah sedang tangan kita ini yang merosakkannya.
Kematian minda Melayu
Itu belum lagi kita telusuri perihal kewujudan ajaib dan mistik untuk membuktikan keabsahan agama dalam kehidupan bani Melayu. Sikap dan pemikiran berserah tanpa kesungguhan usaha akan membiarkan masyarakat terus ditipu dan dilalaikan dengan rekayasa mereka yang berkepentingan.
Dengan hanya menyebut sedikit basmalah dan ayat agama masyarakat akan percaya dengan tanpa bertanya. Bak kata seorang kenalan penulis, kasihan jin yang ada kerana nama mereka ditunggang dan difitnah oleh manusia.
Oleh sebab itu penulis mahu mengajak para pembaca untuk berfikir apakah dunia muslim dan melayu ini akan berakhir dengan sikap kita yang beku, lesu dan malas untuk bergerak ke arah perubahan yang lebih baik.
Kita sering untuk bersandar kepada doa orang lain walhal ketakwaan kita itu dihitung bersendirian. Kitalah yang harus menanggung segala pekerjaan baik dan buruk kita didunia sebelum pulang ke kampung abadi kelak.
Minda Melayu menjadi mandom diatas banyak sebab dan antaranya adalah penyerahan minda itu kepada mereka kononnya berada ditingkat yang lebih tinggi daripada yang lain.
Kematian minda itu membawa makna tiada lagi daya upaya si pemilik otak itu untuk berfikir dengan sendirinya. Sikap taqlid buta bukan saja mampu membutakan mata minda, malah ia akan mematikan juga mata jiwa kesan daripada penyerahan hak minda untuk berfikir secara fitrahnya.
Penulis optimis bahawa akan ada dalam kita dalam alam Melayu ini akan menjadi penerobos kepada pemikiran yang berani, kritis dan segar sebagai pemacu yang namanya melayu untuk tidak layu dan kaku kerana tiada dosanya untuk kita menerajang pimpinan bangsa yang menarik kita bersama menzalimi masa depan kita semua.
* MUHAMMAD SYAFIQ AZMI ialah setiausaha politik Pengerusi AMANAH Melaka.

2 comments:

  1. If yyou wish for to grow your experience only keep visiting
    this web site and be updated with tthe newest news update posted here.

    ReplyDelete
  2. kalau pemimpin berjiwa besar n ingin tengok rakyatnya negaranya kuat n maju maka segala kuasa yang ada akan digunakan untuk sepenuhnya merancang membina segala kemudahan ke arah itu.
    bukan asek nak cari pengaruh untuk pertahankan kuasa saja hingga snaggup jadi pengkhianat amanah rakyat ynag dminta masa pru
    ada melayu snaggup lagi ditipuuu dapat sikit dedak tidur nyenyak
    lupa sang penguasa sedang mensyihirkan ramai ornag denagn slogan n wang
    cerita sejarah melayu banyak yang gagah berani tapi nak ubah dalam pru penakut
    bangnunlah dari tidur nyenyak bnayak sangat
    ingatlah dalam soal siasah setiap oarang ada haknya untuk menentukan hala tuju negara ke arah ynag diredoi Allah

    ReplyDelete