Thursday, December 28, 2017

Benarkah isu-isu ini akan menyumbang kepada BN ternyah dari Putrajaya?

Thursday, 28 December 2017
SELAIN 1MDB, ISU TANAH FELDA AKAN MEMUDAHKAN LAGI NAJIB TERSUNGKUR DARIPADA SINGGAHSANA PUTRAJAYA

Walaupun Najib Razak sudah sedia terbelit dengan pelbagai isu dan masalah sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, penolakan yang lebih besar terhadapnya bermula sebaik meletusnya skandal 1MDB dan pendedahan tentang kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya.

Sehingga sekarang pun, isu 1MDB dan derma RM2,600 juta itu terus menghantui UMNO dan BN serta membuatkan Najib masih dalam kesamaran sama ada mampu memenangi pilihanraya akan datang atau sebaliknya.

Isu itu secara umumnya membuatkan pengundi bandar, separa bandar, golongan pertengahan, orang muda dan bukan Melayu tidak lagi dapat menerima Najib sebagai Perdana Menteri untuk tempoh yang lebih lama.

Rata-ratanya  golongan tersebut sudah membuat keputusan siapa pilihan mereka dan hanya menunggu masa saja lagi untuk membuktikannya di kertas-kertas undi.

Dengan ketiadaan sokongan pengundi bandar, separa bandar, golongan pertengahan, orang muda dan bukan Melayu itu, satu-satunya penyendal yang tinggal buat UMNO dan BN daripada kuasa terus tertanggal ialah sokongan pengundi Melayu luar bandar dan peneroka Felda. 

Seperti biasa, umpan yang selalu digunakan untuk menjinakkan golongan ini ialah menakut-nakutkan mereka tentang DAP sambil menaburkan pelbagai habuan berupa wang atau imbuhan.

Tetapi, beban kenaikan kos sara hidup dan cukai GST sedikit-sebanyak mula melunturkan sokongan mereka kepada UMNO, BN dan kerajaan. 

Tambahan lagi janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST dan menstabilkan harga minyak sebaik mengambil alih Putrajaya dilihat suatu kelegaan kepada beban kos sara hidup yang mereka tanggung selama ini.

Bagi peneroka Felda pula, meskipun pelbagai skandal, kerugian dan kehilangan wang membabitkan agensi itu terus berlaku, UMNO selalu mempunyai kelebihan dalam mendapatkan sokongan mereka atas kedudukan sebagai kerajaan yang sedang berkuasa.

Selain menakut-nakutkan tentang DAP, pelbagai tawaran dan imbuhan adalah mainan yang selalu digunakan untuk menjinakkan sokongan golongan peneroka kepada UMNO dan BN.

Selebihnya, didendangkan juga bahawa kononnya hanya UMNO dan BN saja yang dapat menjaga kebajikan golongan peneroka berbanding Pakatan Harapan yang belum diketahui kemampuannya.

Namun demikian, kehadiran Tun Mahathir mula menarik lebih sokongan golongan peneroka kepada Pakatan Harapan. Dalam beberapa kunjungan dan ceramah Pengerusi Pakatan Harapan itu ke kawasan-kawasan Felda, ribuan hadirin yang hadir adalah bukti bahawa golongan peneroka sudah mula mencelikkan mata mereka.

Sebelum ini tidak pernah program Pakatan Harapan mendapat sambutan yang melimpah di kawasan Felda, tetapi sejak adanya Tun Mahathir bersama gabungan pembangkang, semuanya sudah mula berubah.

Isu tanah Felda yang terlepas ke tangan sebuah syarikat swasta dalam keadaan mencurigakan sebagaimana ia menjadi isu hangat sekarang adalah satu lagi kelebihan yang ibarat bulan jatuh ke riba bagi Pakatan Harapan. 

Ramai peneroka didapati marah dan kecewa kerana di sebalik UMNO dan kerajaan mendabik dada sebagai pembela mereka,  dalam masa yang sama merekalah juga yang penggadainpaling bahaya.

Skandal terbaru Felda itu kini memungkinkan 54 kawasan Parlimen yang selama ini ditentukan kemenangannya oleh undi peneroka mula bergoyang dan tidak lagi selamat.

Dalam hal ini, jika kita masih ingat dalam manifesto Pakatan Harapan yang dibentangkan pada Oktober lalu, antara komitmen yang dijanjikan ialah menubuhkan RCI berkaitan 1MDB dan Felda selepas 100 hari mereka berjaya mengambil alih kerajaan.

Meskipun ketika komitmen itu dibentangkan, isu tanah Felda ini belum muncul lagi, tetapi ia dengan sendirinya menunjukkan Pakatan Harapan benar-benar serius, bukan saja untuk menangani semua isu Felda, bahkan juga untuk mengembalikannya sebagai institusi penting kepada negara serta terus bermanfaat kepada peneroka.

Maka, dengan terus memanfaatkan isu tanah Felda ini dengan sebaik-baiknya, di samping tidak melupakan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta sebagai senjata utama menghadapi pilihanraya akan datang, Pakatan Harapan sebenarnya sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai kejayaan menyelamatkan negara ini.

Isu tanah Felda ini yang mula didedahkan oleh media kerajaan sendiri pada hakikatnya sedang merobek secara perlahan-lahan satu-satunya asas yang selama ini penyelamat kepada kedudukan UMNO dan BN. 

Jika 15 atau 20 daripada 54 kerusi Felda saja pun dapat beralih berikutan kekecewaan, kemarahan dan sakit hati peneroka berhubung isu tanah tergadai itu, ia sudah lebih daripada cukup untuk membuatkan Najib tersungkur lebih awal daripada persada kuasanya. (ShahbudinHusin 28/12/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 14:47 

No comments:

Post a Comment