36 tahun tanpa bekalan elektrik, air [METROTV]
asrizal.aris@hmetro.com.my
“BUI (bagi) masuk api (elektrik), air, bereh doh (sudah memadai)..,” kata Kalsom Ahmad, 57, yang terpaksa menjalani kehidupan daif bersama suami Ismail Omar, 65, di kediaman usang tanpa bekalan elektrik dan air sejak 36 tahun yang lalu.
Menyedihkan apabila di rumah yang gelap dan berbumbung bocor itu juga mereka membesarkan dua anak perempuan serta tiga cucu mereka.
Peristiwa banjir besar di Kelantan pada 2014, antara kejadian yang tidak boleh dilupakan keluarga ini selepas bencana itu mengakibatkan separuh daripada rumah usang yang terletak di Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, itu roboh.
Kalsom berkata, rumah itu dibina pada 1981 oleh suaminya sebelum mereka bernikah dan terletak di tepi sungai menyebabkan kawasan rumah mereka akan dinaiki air apabila tiba musim tengkujuh.
Keadaan suaminya yang kerap sakit sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan kehidupan mereka semakin tidak terurus.
Kalsom berkata, anak sulungnya, Siti Nurhidayah Ismail, 23, bernikah empat tahun lalu dan dikurniakan dua cahaya mata berusia tiga dan satu tahun.
Menurut Kalsom, menantunya, Muhammad Khairul Kamarul Izhan, 36, mencari pendapatan dengan mengutip tin dan plastik di kawasan pelupusan sampah untuk dijual.
"Pendapatan menantu tidak seberapa namun cukup untuk kami makan minum. Tetapi dua bulan lepas, menantu saya kemalangan dan koma dua minggu menyebabkan dia tidak boleh lagi bekerja kerana masalah fizikal.
"Kini kami hanya bergantung harap kepada anak bongsu berusia 21 tahun yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu kedai," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kota Bharu.
Menurut Kalsom, anak bongsunya, Nurul Fatin Fazilla, pernah berkahwin tujuh tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata namun bekas suami Nurul Fatin meninggalkan mereka ketika anak itu berusia enam bulan kerana tidak tahan dengan kehidupan yang daif.
Kata Kalsom, anak itu kini berusia enam tahun dan dibesarkan di rumah usang berkenaan sejak ditinggalkan oleh bapanya yang tidak pernah sekali datang menjenguk.
"Tujuh orang tinggal di rumah buruk dan sempit ini. Kami hanya mampu menagih simpati daripada beberapa individu prihatin yang ada memberi sumbangan makanan," katanya.
Anak sulung Kalsom, Siti Nurhidayah, berkongsi cerita keperitan hidupnya membesar dengan kehidupan yang serba daif serta terpinggir daripada masyarakat.
"Ketika bersekolah saya membuat ulangkaji dan kerja sekolah hanya bercahayakan pelita. Pernah juga beberapa kali api pelita menyambar rumah, tetapi Alhamdulillah tidak berlaku kebakaran serius.
"Sejak lahir saya dibesarkan di dalam 'kegelapan' dengan kehidupan yang daif di rumah ini tetapi saya bersabar kerana inilah syurga saya.
"Saya tidak akan meninggalkan ibu dan ayah saya yang kini sering jatuh sakit. Saya akan jaga mereka sehingga akhir hayat saya," katanya.
Menurut Siti, dia pernah beberapa kali memohon bantuan daripada pihak yang berkaitan namun permohonannya tidak pernah dilayan.
Katanya, bukan wang tunai atau bantuan bulanan yang dipinta, cukup sekadar menyambung bekalan elektrik ke rumah dan membina sebuah bilik air kecil untuk keselesaan ibu bapanya.
"Saya beberapa kali memohon untuk disambungkan bekalan elektrik ke rumah tetapi perlu membayar tapak sebanyak RM5,000 untuk membuat geran tanah.
"Sumber air pula hanya bergantung pada air telaga. Di situ juga bilik air kami yang ditutup dengan zink serta banting yang dikutip di tepi jalan dan di situ juga tempat kami membuang air besar.
"Meskipun ramai penduduk kampung yang menyedari kehidupan kami yang daif, hanya segelintir yang datang membantu," katanya.
Menurutnya, dia pernah terfikir untuk berpindah ke tempat lain bagi keselesaan ibu bapa dan anak-anak namun dengan keadaan yang kurang mampu memaksanya untuk harungi kehidupan itu dengan tabah.
Kisah keperitan hidup pasangan Ismail dan Kalsom tular di media sosial sejak 1 Disember lalu dan menerima kunjungan pelbagai pihak yang memberi sumbangan keperluan dapur.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menziarah rumah mereka di Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu atau menghubungi Siti Nurhidayah ditalian 013-3872916 (bergantung kepada bekalan bateri).
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 10:53 PM
Haha. Apa exco anuar tan buat? Maik? Yb takiyudin? Jkm? Membangun bsama islam? Atau membalak bsama olamak? Mb tmb pi mana? Hahaha.
ReplyDeleteSayu mendengar penderitaan keluarga ini. Apakah tiada ikhtiar penghulu atau ketua kampung atau seumpamanya untuk memberi bantuan jangka pendek dan juga panjang? Bagaimana pula dengan pihak baitulmal, apakah penjawat-penjawatnya hanya duduk di pejabat goyang kaki saja? Tak kan lah hanya menunggu fakir miskin datang sendiri, sedangkan mereka mungkin jahil tentang prosidur untuk mendapatkan bantuan. Maka di sinilah penghulu, ketua kampung, penggawa atau wakil rakyat perlu berfungsi. Sepatutnya badan-badan seperti baitulmal perlu lebih proaktif mencari warga yang layak diberikan bantuan dan bukan sahaja hanya pandai mengutip zakat, tetapi tidak cakna untuk menyalurkan wang kutipan zakat itu untuk bantuan kepada para asnaf.
ReplyDelete