Friday, December 1, 2017

Wayang sebuah siasatan dan akan menikam diri sendiri

Wayang sebuah siasatan
The Malaysian Insight · Diterbitkan pada 1 Dec 2017 10:30AM
RCI kerugian forex Bank Negara ditubuhkan ketika pentadbiran Barisan Nasional merasakan Dr Mahathir Mohamad jadi pengacau kepada kerajaan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2017

TIDAK akan licin katak puru, walau berhujan selama mana pun. Ertinya, kalau hodoh, disolek macam mana sekali pun, hodoh juga.

Biar diikat kemas, dipasang kulit yang nampak rasmi dan tebalnya 830 muka surat, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kerugian forex Bank Negara Malaysia pada 1990-an tidak lebih hanya satu usaha meraih sokongan politik, yang nampak menyedihkan.

Lebih sedih lagi begini: mereka yang mungkin takjub dengan laporan yang tidak ada apa-apa itu ialah:

A) anggota RCI yang tidak berpengaruh yang menyiapkan laporan itu;

B) Perdana Menteri Najib Razak dan tukang angguknya;

C) media arus perdana;

D) orang politik Umno dan pengampu mereka;

E) semua yang di atas.

Berikut adalah beberapa kesimpulan daripada RCI itu:

1) Suatu ketika dulu, RCI ditubuhkan sebagai usaha kerajaan mencari kebenaran dengan serius. Di negara yang institusinya sudah terhakis dan pemimpinnya hilang kredibiliti, langkah menubuhkan sebuah RCI sering diterima pada asasnya sebagai usaha menyiasat dengan jujur.

Tetapi siasatan ini terpalit lumpur dari awal lagi kerana kerajaan Najib menubuhkannya untuk menyelesaikan pertelingkahan dengan seorang individu tertentu yang jadi masalah pada pentadbirannya.

Skandal forex di Bank Negara Malaysia ini berlaku berpuluh tahun dulu. Biarpun tahun demi tahun pembangkang menggesa agar dibuat siasatan untuk mengetahui apa yang sebenarnya terjadi, kerajaan Barisan Nasional langsung tidak menguit. Sampailah sekarang.

Kenapa sekarang? Sebab Dr Mahathir Mohamad sudah jadi pengacau kepada kerajaan Najib.

Jadi dalam hendak membunuh musuh politiknya, Najib pergi kepada satu platform yang masih ada saki-baki kredibiliti.

Dengan berbuat begitu, beliau meneruskan tradisi pemimpin Umno yang merosakkan apa saja yang mereka pegang di negara bertuah ini.

2) Melampaui keraguan munasabah. Tidak ada keterangan dengar cakap. Bukti yang ada sokongan. Tanggapan tidak bersalah.

Ini semua adalah prinsip perundangan jenayah yang diamalkan di seluruh dunia dan dipatuhi dengan ketat di negara benar-benar demokrasi.

Anehnya siasatan itu tidak memberikan perhatian kepada prinsip-prinsip tersebut tetapi berani mengenakan pertuduhan jenayah ke atas Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Dan kita juga menasihati negara-negara Afrika tentang kedaulatan undang-undang, sistem keadilan dan tadbir urus?

3) Nor Mohamed Yakcop sudah menjangka keputusan ini. Beliau bertanggungjawab atas kerugian besar itu kerana beliau bertindak semberono.

Tetapi sekurang-kurangnya beliau berani mengakuinya semasa siasatan tersebut. Sebelum siasatan itu, beliau menerima banyak pesanan daripada beberapa orang yang menasihatinya apa yang patut beliau cakap dan buat untuk mengekalkan kedudukannya di Khazanah Nasional Berhad.

Tekanan itu sungguh besar tetapi beliau akhirnya memilih untuk mendengar suara hatinya.

Tidak lama selepas siasatan itu, beliau letak jawatan. Beliau hilang segala-galanya termasuk "kawan-kawan".

Apa ada hal?

Hati nurani yang bersih dan mengakui kesilapan jauh lebih bernilai pada bila-bila masa pun berbanding dengan mengenakan orang lain untuk menyelamatkan diri sendiri.

4) Apa yang patut rakyat Malaysia buat dengan laporan RCI itu?

Campakkan ke bakul sampah sejarah.

Semua badut yang terlibat siasatan itu pun, sama juga. – 1 Disember, 2017.

BN berdepan reaksi negatif jika Dr Mahathir didakwa
Sheridan Mahavera · Diterbitkan pada 1 Dec 2017 7:00AM
Masih ramai percaya RCI kerugian forex BNM ditubuhkan selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi pengkritik tegar Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2017

JIKA Barisan Nasional (BN) meneruskan tindakan untuk mendakwa Dr Mahathir Mohamad berkaitan kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) 30 tahun lalu, ia dijangka akan mencetuskan tindak balas negatif daripada rakyat yang akan memburukkan lagi BN.

Ini kerana, kebanyakan rakyat percaya bahawa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian itu, hanyalah berunsurkan politik, kata penganalisis.

Mereka berkata RCI itu ditubuhkan selepas Dr Mahathir menjadi pengkritik tegar Perdana Menteri Najib Razak.

Mereka berkata sementara pentadbiran Najib sibuk menyiasat kerugian urus niaga wang asing bank pusat itu yang berlaku bertahun lalu, ia lembap pula dalam siasatan terhadap kehilangan berbilion ringgit menerusi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang timbul dua tahun lalu.

“Jadi, dengan membawa Dr Mahathir ke mahkamah, BN akan berdepan tindak balas dalam pilihan raya  kerana beliau masih sangat dihormati di negara ini atas jasanya membina Malaysia moden,” kata penganalisis politik bebas Dr Andrew Aeria yang juga bekas profesor madya Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Adakah BN mahu mengambil risiko dengan menjadikan Dr Mahathir seorang syahid?”

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata RCI itu kelihatan seperti ada unsur politik kerana tidak ada tindakan diambil terhadap skandal 1MBD.

“BN tidak boleh menggunakan RCI itu sebagai amunisi. Ia amunisi yang tidak ada kesan,” kata Hisommudin.
Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata RCI mengenai kerugian BNM itu kelihatan seperti ada unsur politik kerana kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap skandal 1MBD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2017

Dan jika BN mahu menggunakan dapatan RCI untuk mengenakan gabungan saingannya, Pakatan Harapan (PH) – di mana Dr Mahathir pengerusinya – ia akan lebih makan diri, kata Dr Faisal Syam Hazis.

“BN sudah hilang kewajaran untuk bercakap tentang tadbir urus yang baik ketelusan dan rasuah,” kata Faisal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Terlalu banyak tuduhan terhadap orang di dalam kerajaan tetapi masih tidak ada tindakan terhadap mereka. Tetapi bila ia membabitkan pembangkang, tindakannya cepat dan cekap,” katanya.

RCI yang cepat

RCI itu membentangkan laporan 524 halaman di Parlimen semalam di mana ia mendapati Bank Negara Malaysia (BNM) kerugian RM31.5 bilion dalam urus niaga mata wang asing antara 1992 dan 1994.

RCI itu turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Setiausaha RCI Dr Yusof Ismail membuat laporan polis di Putrajaya berhubung syor suruhanjaya itu.

Pengkritik mempertikaikan begitu pantas dan cekap kerajaan menyiasat kerugian forex itu berbanding kerugian dalam 1MDB dan agensi kerajaan lain seperti Mara dan Felda.

Siasatan terhadap kerugian forex bermula dengan pasukan petugas khas pada Februari. Pada April, mereka mengesyorkan supaya pentadbiran Najib menubuhkan RCI.

Pendengaran RCI dijalankan pada Jun dan 25 saksi termasuk Dr Mahathir, Anwar, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan penasihat Bank Negara Nor Mohamed Yakcop dipanggil.

Laporan siasatan itu diserahkan kepada Yang di Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 13 Oktober, dan dibentangkan di Parlimen semalam – kira-kira tujuh bulan selepas ia bermula.

Ia berbeza dengan kes 1MDB, di mana polis masih belum melengkapkan siasatan mereka walaupun pendedahan berlaku penipuan dan pengubahan wang haram mula timbul pertengahan 2015.

Peguam Negara Mohd Apandi Ali mengumumkan tidak ada bukti mencukupi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang sama ada wang diselewengkan dari syarikat pelaburan negara itu, atau tidak.

Kekurangan tindakan menghukum di Malaysia berhubung 1MDB sangat berbeza dengan Singapura, yang memenjarakan pegawai bank dan menutup cawangan dua bank asing kerana menguruskan wang 1MDB.

Sementara itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat membekukan dan memohon untuk merampas hartanah dan karya seni bernilai lebih AS$1 bilion dipercayai dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.

Satu kajian dibuat banda anti rasuah terhadap urus niaga dan kerugian 1MDB mendapati syarikat itu ditubuhkan untuk mencuri berbilion ringgit daripada rakyat Malaysia.

Menikam diri sendiri

Faisal dari UKM berkata RCI itu mungkin menjadi salah satu isu yang akan digunakan ketika pilihan raya umum semakin hampir bagi membolehkan BN mempertikaikan kredibiliti PH.

Najib perlu mengadakan PRU14 sebelum Ogos tetapi petanda daripada pentadbiran kerajaan menunjukkan ia mungkin akan diadakan pada Mac atau April.

“Dr Mahathir ada banyak isu sepanjang 22 tahun memegang kuasa, seperti Ops Lalang. Jadi sudah pasti kita akan melihat banyak lagi isu seperti itu dibongkar,” kata Faisal.

Aeria berkata walaupun jika kerugian forex itu dijadikan isu, PH boleh pusing dan menggunakannya melawan BN.

“Kes mahkamah juga akan membuka ruang untuk PH mempersoalkan kepada Najib tidak boleh disoal di mahkamah tentang 1MDB.”

Hisommudin dari Ilham Centre berkata sebarang cubaan untuk mendakwa Dr Mahathir akan menarik undi simpati daripada pengundi atas pagar, yang membentuk 30% hingga 40% daripada daftar pengundi.

“RCI itu tidak ada daya tarikan dalam kalangan rakyat ketika kami menjalankan kaji selidik di Kuala Selangor, Sungai Besar dan Tanjong Karang.


“Kerana ia isu yang kompleks dan berlaku terlalu lama dulu, jadi rakyat tidak rasa dekat dengan isu itu,” katanya. – 1 Disember, 2017.

1 comment:

  1. Lukman berkata): "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

    kerajaang manusia bicara manusia
    nanti kerajaan Allah bicara semua manusia
    itu jam taula sapa paling cilako

    1emdibi 1toya bila mau buat rci
    ramai duk tunggu

    ReplyDelete