Friday, December 1, 2017

'Budaya Sampai': Ratu Gucci dan Ratu Birkin

Ratu Gucci dan Ratu Birkin
HISHAMUDDIN RAIS

Kalau kita telah sampai bagaimana kita nak beri tahu kepada orang lain yang kita telah sampai? Sampai yang telah sampai tapi tidak diketahui berkemungkinan menjadi satu pekara yang merumitkan.

Kalau kita makan semeja bersama tetamu apabila kita telah kenyang maka kita berhenti makan. Jika dipelawa untuk ditambah kita berterima kasih sebelum menolak. Tanda ini cukup jelas. Tapi kalau kita dah sampai? Siapa akan tahu kita dah sampai?

Sampai ini apa maknanya? Apa yang sampai? Sampai dari mana ke mana?

Sebelum saya menjawab pertanyaan ini benarkan saya bertanya. Pernah atau tidak para pembaca melihat gambar kumpulan penyanyi kulit hitam yang bernama Nigger WIth Attitude?

Atau melihat gambar Mat Rap atau Mat Reggae yang memakai rantai leher sebesar tali sauh kapal? Atau memakai cincin di jari sebesar nyiru?

Badan Mat Rap ini disalut dengan baju merah bergemerlapan lagi berkelip-kelip. Dengan tali pinggang Gucci mengikat seluar yang sengaja dilondehkan. Kemudian mereka menayangkan rantai dan cincin sambil bergambar depan kereta yang panjangnya menjalar seperti lori.

Jika pembaca pernah terlihat gambar atau pernah menonton klip YouTube seperti yang saya kisahkan maknanya para pembaca tahu apa itu 'sampai'.

Kerana semua ini adalah tanda-tanda sampai. Penyanyi itu telah sampai. Tetapi Mat Afrika ini sampai dari mana ke mana?

Teori semiotik

Sebelum saya menjawab - benarkan saya bertanya lagi. Pernah atau tidak para pembaca melihat gambar Rosmah Mansor bertanduk dengan rantai dan anting-anting berselirat di leher dan di dada?

Pernah atau tidak pembaca melihat gambar Rosmah Mansor dengan cincin permata sebesar telur ayam terselit di jari? Atau gelang intan berlian di lengan? Atau terlihat gambar Rosmah menyandang beg Birkin sebesar guni beras?

Pernah atau tidak para pembaca melihat gambar pemimpin PAS berdiri bangga di sebelah kereta Audi dan Vellfire?

Apa sebenarnya semua ini? Apa makna di belakang imej-imej yang saya tulis ini?

Untuk pencerahan sekali lagi saya bawa pembaca mengulang ingat dan mengulang pakai teori semiotik dan teori psikoanalisis. Dua teori ini akan dapat memberi pencerahan tentang yang ingin saya kisahkan di sini.

Awal wahid mari kita pergi jauh ke Afrika. Lebih tepat lagi ke Zimbabwe. Negara ini sedang dalam krisis. Tapi bukan politik Zimbabwe atau persolaan 37 tahun kepimpinan Presiden Mugabe yang ingin saya lakar. Apa yang saya ingin ceritakan ialah tentang kisah mak janda yang telah sampai.

Mak janda mana pula yang telah sampai?

Mak janda yang telah sampai bernama Grace Ntombizodwa Marufu. Para feminis jangan silap faham kalau saya menulis ‘mak janda’. Ini bukan berniat menghina mak janda.

Dalam teori psikoanalisis, janda, dara, teruna atau duda ini amat penting. Kerana ini berkait rapat dengan keberahian jantina - keinginan seksual - seperti yang telah ditulis oleh mahaguru psikoanalis Sigmund Freud.

'Budaya sampai'

Mak janda Grace ini asalnya hanya seorang jurutaip yang berkerja di pejabat kerajaan. Tapi pada satu ketika Mak Janda ini telah dilihat oleh Presiden Mugabe. Awalnya mak janda menjadi gundik kemudian sesudah isteri rasmi Mugabe meninggal dunia mak janda dan Mugabe berkahwin.

Ia adalah kenduri kahwin teragung, terbesar dan teranggun di Afrika. Macam yang warga Malaysia pernah terbaca dan terdengar tentang kenduri kahwin di KLCC pada tahun 2015 dahulu.

Kisah mak janda berkahwin dan kemudian mengkahwinkan anak ini selalu berulang-ulang. Hebat memang hebat.

Apa hubungan penyanyi rap, kereta Audi, rantai emas, cincin berlian dan baju merah bergemerlapan dan seksualiti?

Dari segi segi semiotik dan psikoanalis semua ini saling berhubung. Semua ini kait-berkait. Imej-imej ini adalah manifestasi dari 'budaya sampai'.

Apa dia 'budaya sampai'?

'Budaya sampai' atau arriviste culture - ini adalah istilah asal dalam bahasa Perancis. 'Budaya sampai' membawa makna bahawa mereka telah sampai. Telah sampai dimanifestasikan dengan kaya-raya. Dalam 'budaya sampai' kaya-raya ini datang dengan sakelip mata.

Kekayaan 'budaya sampai' bukan kerana usaha atau kerja. Bukan datang dari kekayaan turun-temurun. Bukan harta pusaka tinggalan datuk nenek moyang. Bukan duit lama tapi dedak baru.

Bayangkan - tetiba CD penyanyi rap kulit hitam Nigger With Attitude meledak naik ke carta pertama di semua stesen radio di Amerika. Jualan CD melintasi satu juta keping. Duit masuk mencurah-curah. Hakikatnya mereka telah sampai. Tapi bagaimana nak beritahu dunia bahawa mereka ini telah sampai?

Maka jalan paling senang ialah membeli rantai emas sebesar dawai sauh kapal. Membeli cincin sebesar payung untuk dipakai. Ini semua bertujuan untuk menyatakan kepada dunia bahawa - kami telah sampai.

Sampai dari mana ke mana?

Satu ketika dahulu kami adalah anak cucu-cicit hamba abdi. Kami merempat di Harlem New York. Kini kami telah sampai ke Los Angeles. Kami berupaya membeli rumah tepi laut di Malibu. Kami ada jet pribadi. Kalau tidak percaya lihat sahaja rantai, gelang dan cincin di badan kami. Ini emas tempawan yang benar lagi tulen. Ini bukan dari kedai emas Ting Long Seng di Jalan Chow Kit. Ini kami tempah dari Jacob & Co New York.

Kisah seorang jurutaip

Bila dan bagaimana pula dengan mak janda Grace? Sudahkah mak janda ini sampai?

Kini mak janda Grace dikenali di Zimbabwe sebagai Grace Gucci. Ini tidak ada bezanya dengan yang di Malaysia.

Grace Mugabe akan memesan apa-apa sahaja produk Gucci untuk memberi tahu dunia bahawa dirinya telah sampai. Kini Grace bukan lagi jurutaip. Grace telah sampai.

Bagitu juga dengan Rosmah Mansor. Rosmah mungkin akan memesan koleksi terbaru beg kulit Birkin. 

Ini bertujuan untuk memberitahu dunia bahawa aku sudah sampai. Aku bukan lagi menumpang di rumah jiran ketika aku nak berkahwin. Aku telah memiliki mahligai dengan 44 buah bilik.

Dari segi sejarah - Grace hanyalah seorang jurutaip. Rosmah pula dikatakanb hanyalah seorang pegawai syarikat perumahan. Dari segi psikoanalisis kedua-dua mereka mempunyai persamaan.

Kini Grace menjadi wanita pertama Zimbabwe. Kini Rosmah menjadi 'wanita pertama' Malaysia. Dua-dua mereka telah sampai.

Ustaz dan Vellfire

Bagaimana pula dengan kisah kereta Audi? 

Kisah Audi lebih menarik. Malah pada hemat saya kisah isteri kedua menerima hadiah kereta Audi ini sama gempak dengan berita rantai berlian merah jambu hadiah dari di tembam bernama Jho Low.

Walau pun si ustaz ini bukan mak janda. Kisahnya menjadi menarik kerana si ustaz ini telah berjaya menghadiahkan sebuah Audi.

Si ustaz ini pada awalnya adalah berlagak warak lagi zuhud. Tiba-tiba dedak terlambak di hadapan mata. Maka bagaimana agaknya hendak diberitahu kepada semua nelayan bahawa aku telah sampai?

Dulu si ustaz ini dikatakan berjalan kaki berdakwah dari masjid ke masjid mencari makan. Isteri di rumah buat nasi kerabu untuk jual di Pasar Payang. Kini si ustaz bukan lagi jalan kaki malah memiliki kereta Vellfire yang mahal. Yang pada satu ketika dahulu tidak pernah dimimpikan.

Si Ustaz ini dikatakan telah berjaya menggunkan Audi untuk mendapat perempuan. Dalam budaya ustaz-ustaz, memiliki lebih dari seorang isteri adalah tanda sang ustaz telah sampai.

Kelakuan dan perangai mak janda, mat Afrika atau si astaz adalah menifestasi 'budaya sampai'. Kereta, rantai, cincin berlian, rumah tersergam, bini bertambah - dalam bahasa semiotik membawa makna si pemilik telah sampai. Semua ini adalah manifestasi amalan 'budaya sampai'.

Objek-objek dan harta benda ini dari pandangan semiotik memiliki nahu untuk bersuara. Kereta Audi atau Vellfire itu sedang bercakap kepada orang ramai. Doa aku telah dimakbul. Kerana aku zuhud maka Allah telah memberi aku dedak dan beberapa orang isteri.

Pendatang baru

Menayangkan beg Gucci, menayangkan beg Birkin atau memandu Vellfire dari segi psikoanalisis adalah tanda pemisah. Rantai di leher mat Afrika adalah garis pemisah zaman miskin ke zaman lumayan.

Mereka sedang menjerit. Mereka sedang melaung.Kenapa mereka menjerit dan melauang?

Mereka menjerit dan melaung agar mereka diterima. Kekayan yang mereka tonjolkan itu mereka harapkan akan menjadi tiket untuk mereka diterima dan dihormati.

Diterima dan dihormati oleh siapa?

Diterima dan dihormati ini adalah kunci dalam 'budaya sampai'. Semua harta kekayan yang ditayangkan semuanya dengan niat agar diterima. Bukan sahaja diumumkan telah sampai. Telah sampai juga diumumkan dengan harapan untuk diterima.

Mat Afrika berharap mereka diterima setaraf dengan masyarakat berkulit putih. Mereka mahu diterima masuk dalam ‘kelab elit putih’. Mereka telah menayangkan garis pemisah yang mereka tidak lagi duduk dirumah setinggan di Harlem.

Grace dalam jiwanya dia sedar bahawa dirinya bukan elit. Jauh sekali dari masyarakat berkulit putih iaitu kumpulan elit Zimbabwe. Rosmah tahu dirinya bukan dari golongan elit ekonomi. Rosmah sedar dirinya bukan dari keluarga bangsawan.

Justeru untuk diterima dan dihormati para pendatang baru ini akan berintan dan berberlian. Mereka akan ber-Gucci dan ber-Birkin. Mereka ber-Audi dan ber-Vellfire dengan niat untuk diterima.

Dan sila lihat - sila baca - berita terakhir dari 'budaya sampai'. Si Grace Gucci masih berjuang untuk diterima kini berniat untuk menjadi presiden untuk menggantikan Mugabe.

Rosmah Mansor seakan melaungkan kepada 30 juta warga Malaysia bahawa Rosmah telah sampai - si Rosmah telah mula bersuara memberi tanda bila PRU14 di Malaysia. 

* HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

1 comment:

  1. Hi! I could have sworn I've visited your blog before but after
    browsing through some of the articles I realized it's new to me.
    Nonetheless, I'm certainly pleased I found it and I'll
    be bookmarking it and checking back often!

    ReplyDelete