Pengundi Johor tak peduli PRU, tapi BN kekal, kata forum Singapura
Ia rentetan daripada keletihan karenah ahli politik, menyebabkan 55% tidak memutuskan parti yang akan disokong.
PETALING JAYA: Pengundi di Johor tidak lagi peduli parti mana akan mewakili mereka selepas pilihan raya umum nanti, di sebalik kekecewaan terhadap politik tempatan, menurut kajian yang dibentangkan di sebuah forum anjuran Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) Singapura.
Ia terutama dirasai di Parlimen Gelang Patah, kubu kuat BN yang dimenangi pemimpin DAP Lim Kit Siang selepas menewaskan menteri besar ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Othman.
“Sentimen yang lazim di Gelang Patah nampaknya siapa sahaja yang menyediakan bantuan dan pemberian kepada penduduk akan mendapat undi mereka.
“Malah, sesetengah pengundi merasakan mereka mungkin tidak mahu bersusah payah membuang undi sekiranya hujan,” lapor Channel News Asia memetik kajian itu.
Kajian itu mendapati pengundi mengadu ahli politik dan pertubuhan politik tidak lagi turun padang, sementara sudah bosan dengan skandal sekitar 1MDB dan hampa dengan permainan politik yang menyaksikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke politik untuk mengemudi bahtera pembangkang.
Kajian berdasarkan kepada perbincangan kumpulan berfokus secara mendalam dan temubual dengan penduduk di beberapa kawasan luar bandar di Johor dan Kedah.
Forum dimaklumkan ramai pengundi belum memutuskan parti pilihan mereka, kerana BN dan pembangkang nampaknya gagal memberikan sebab yang kuat untuk memilih mereka.
“Ini adalah trend seluruh negara yang nampaknya sedang berlaku di Johor,” kata penyelaras program pengajian Malaysia di ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Francis Hutchinson.
Tinjauan pengundi Johor pada 2017 menunjukkan BN masih menikmati sokongan kuat 35% responden berbanding 10% yang akan mengundi parti pembangkang, namun sebahagian besar responden – lebih 55% – belum membuat keputusan atau tidak menyatakan kecenderungan mereka.
Forum mengambil maklum kesetiaan pengundi kepada Umno menunjukkan kemerosotan, kerana gerakan akar umbi dan hubungan antara Umno dan pimpinan setempat di kawasan luar bandar berkurangan sejak kebelakangan ini.
Di Mersing, kajian mendapati ada jurang yang semakin meluas antara pengundi tua yang memiliki tanah dan pengundi muda yang bekerja di bandar.
Pengundi tua menghargai manfaat yang diterima dari Felda, dan rasa terhutang budi kepada Umno, sementara pengundi muda pula tidak berpuas hati dengan kekurangan peluang pekerjaan dan terpaksa “bergelut setiap bulan”.
Profesor perbandingan politik, Dr Meredith Weiss dari Universiti New York, berkata ekonomi menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia sejak 2013 lagi, dan tinjauan Merdeka Center mendapati 15% responden memilih untuk tidak makan semata-mata mahu mencukupkan keperluan bulanan.
Pakar berkata walaupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan KDNK tahun ini antara 5%-5.5%, gaji tidak selalunya dapat menyaingi kenaikan kos taraf hidup dan kadar inflasi mencecah paras tertinggi tahun ke-8 pada Mac, iaitu 5.1%, kerana kenaikan kos bahan bakar.
“Bayaran BR1M digunakan oleh golongan termiskin untuk perbelanjaan harian tetapi tidak banyak membantu mengurangkan ketidaksamaan,” kata Weiss.
BN tak tumbang
Meskipun begitu, Hutchinson tidak yakin BN akan tumbang di Johor.
“Sokongan kepada Umno dan BN mungkin merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini, susut dari 70% kepada 65% pada 2008 dan 55% pada 2013, tetapi mereka masih kuat.”
Beliau menambah BN bagaimanapun berdepan risiko terutamanya di kerusi bandar di Pulai (Datuk Nur Jazlan Mohamed), Pasir Gudang (Datuk Normala Abdul Samad) dan Tebrau (Datuk Khoo Soo Seang).
Felo pelawat di ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Serina Abdul Rahman berpendapat dalam konteks itu, kerabat diraja Johor mungkin mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan.
“Rakyat menyokong mereka kerana mereka laksana kata-kata mereka,” kata Serina, malah sesetengah penduduk merasakan keadaan akan jadi lebih baik jika Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris, menjadi perdana menteri.
Hutchinson berkata Johor secara tradisinya melakar dinamik politik yang berlainan daripada seluruh Malaysia.
“BN menunjukkan rekod yang cemerlang di Johor selama berdekad. Bagaimanapun, dalam banyak cara, corak pengundian di Johor beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan normalisasi dengan trend umum di Malaysia.”
Kenyataan tak berdasar fakta sebenarnya ada lah penipuan Kroni umno saja
ReplyDeleteJika berani buat temuramah orangramai
A motivating discussion is worth comment. I do think that you need to
ReplyDeletepublish more on this subject, it may not be
a taboo subject but usually people do not discuss these subjects.
To the next! Cheers!!