Friday, December 1, 2017

Begitukah yang kita mahukan?

Cenderung kepada Saudi beri kesan buruk kepada amalan sederhana agama, kata prof

  | December 1, 2017
Penganalisis politik itu berkata aliran Islam Arab Saudi akan terpalit pada orang Melayu yang mendekati agama secara sederhana.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik khuatir akan usaha Putrajaya mengukuhkan hubungan dengan Arab Saudi, dan berkata ia memberi kesan buruk jangka masa panjang ke atas bagaimana orang Melayu melihat agama mereka.
Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata hubungan rapat pentadbiran Datuk Seri Najib Razak itu berlaku di sebalik pelbagai bukti mengaitkan aliran Islam seperti diikuti di Arab Saudi dengan peningkatan ekstremisme di kalangan umat Islam.
“Orang Melayu kebanyakannya mengamalkan Islam secara mudah tanpa mengkaji agama secara terlalu mendalam, jadi walaupun Najib mungkin terima sokongan kewangan dari Saudi, dalam jangka masa panjang ia akan memberikan kesan serius,” kata Fauzi kepada FMT.
“Ramai orang mengatakan amalan kebanyakan orang Melayu menjurus ke arah yang lebih keras dan orang Melayu adakala melakukannya tanpa sedar kerana itulah jenis Islam yang ditunjukkan kepada mereka dan disokong ulama kerajaan.”
Julai lalu, Putrajaya mengumumkan keputusan kerajaan memperuntukkan sebidang tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), susulan lawatan raja Saudi itu ke Malaysia pada Mac dan penyertaan Najib dalam sidang kemuncak di Riyadh dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Raja Salman boleh memilih negara lain untuk membina pusat itu tetapi baginda, yang juga penjaga kepada dua kota suci Mekah dan Madinah, tetap memilih Malaysia,” kata Najib.
Bagaimanapun, idea itu dikritik sesetengah pihak, termasuk pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin, yang mempersoalkan kelayakan Arab Saudi melawan terorisme.
Pengaruh Arab Saudi juga tidak disenangi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang secara terbuka mengutuk dasar kerajaan negara itu yang menurutnya membiakkan sengketa antara mazhab Sunni dan Syiah.
Bagi Fauzi, pendirian itu bukan sahaja menunjukkan keinginan Hadi memastikan partinya tidak kehilangan penyokong, tetapi pada masa sama menunjukkan beliau semakin matang dalam politik antarabangsa.
“Hadi pernah jadi seorang Salafi seperti yang dibuktikan oleh Amanat Haji Hadi yang bersifat takfiri,” kata Fauzi, merujuk istilah Salafi yang lebih gemar digunakan oleh pengikut Wahabi bagi menjelaskan aliran Islam itu.
“Tetapi itu Hadi zaman 80-an,” tambahnya.
“Masa berlalu dan Hadi semakin matang apabila dia sedar PAS adalah himpunan pelbagai pemikiran dan pandangan. Dia sedar dia tidak boleh kekalkan tafsiran Islam yang keras jika dia mahukan sokongan daripada semua spektrum yang membentuk penyokong PAS.”
Fauzi berkata ada dalam kalangan penyokong itu adalah mereka yang mengikut ajaran Syiah.
“Dalam kalangan penyokong PAS ada golongan tradisi, ada Salafi, dan anda juga akan temui golongan modernis. Ini kerana selepas era Reformasi 1999, anda akan temui mereka yang tidak mengaitkan diri dengan mana-mana orientasi Islam sertai PAS kerana parti itu dilihat sebagai suar reformasi.
“PKR lebih kecil berbanding PAS dan PAS memiliki akar umbi yang kuat dan mantap, jadi anda akan temui kepelbagaian dalam parti itu.
“Hadi, selaku presiden, dijangka akan mengekalkan perpaduan dalam parti dan itu termasukkan tidak meminggirkan kumpulan atau orientasi dalam parti yang tidak sekutu dengan ajaran Islamnya yang tersendiri.”
Hadi sebelum ini pernah dikritik sesetengah pihak kerana menghadiri persidangan di Iran.
Beliau juga merupakan sebahagian Kesatuan Ulama Antarabangsa (IUMS) yang baru-baru ini diserang beberapa negara teluk yang bersekutu dengan Riyadh.

1 comment: