Friday, December 22, 2017

PAS ke mana?

Oleh Lim Hong Siang 

Saya tidak pasti di mana masa depan PAS, tetapi kegemilangan sememangnya terlipat dalam sejarah PAS. Bermula dari serpihan UMNO, parti ini membangun sehingga menjadi pembangkang yang paling menggugat kedudukan UMNO, untuk seketika. Parti pembangkang pertama yang menguasai kerajaan negeri ini pernah kalah teruk dalam pilihan raya umum, dan bertahan dengan hanya satu kerusi parlimen pada tahun 1986, tetapi berjaya bangkit semula untuk menawan kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1990.

Di sebalik jatuh bangun parti ini, jatuh bangun pemimpin tertingginya juga tidak kurang menarik. Haji Ahmad Fuad bin Hassan, Yang Dipertua PAS pertama, melepaskan jawatan nombor satu itu lantaran berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan PAS yang lain. Haji Ahmad Fuad yang lebih akrab dengan Datuk Onn Jaafar ketika itu, cenderung untuk menyokong Datuk Onn yang keluar dari UMNO; tetapi rakan seperjuangannya pula lebih bersedia untuk berunding dengan UMNO. Haji Ahmad Fuad tidak memaksakan pendiriannya ke atas partinya, sungguhpun memegang tampuk kuasa. Haji Ahmad Fuad memilih untuk meletakkan jawatan dan meninggalkan PAS.

Dr Haji Abbas Alias kemudian memangku jawatan Yang Dipertua. Babak ini agak menarik, kerana Dr Haji Abbas Alias sememangnya hanya mahu “memangku” jawatan tertinggi dalam parti itu, dan bukan mengambil alih tampuk kuasa. Lompong kepimpinan ini perlu diisi, tetapi tiada tokoh yang cukup berwibawa untuk bersaing dengan pemimpin UMNO yang setara. Maka Dr Haji Abbas Alias berusaha untuk “meminang” Dr. Burhanuddin Al-Helmy, yang terkenal sebagai nasionalis tulen dan “kiri”, untuk mengemudi PAS.

Agendanya terang lagi bersuluh. Dr.Burhanuddin menyertai PAS pada 14 Disemberi 1956, lantas terpilih sebagai Yang Dipertua dalam pemilihan yang berlangsung pada 23-25 Disember 1956. Insiden ini memperlihatkan bagaimana PAS ketika itu membuka pintunya, bukan sahaja untuk menerima, malah menobatkan pemimpin yang berbakat pada kedudukan yang tertinggi. Soal kesetiaan atau wala tidak timbul. Yang penting, parti ini dipimpin mereka yang berpotensi untuk mengangkat martabat parti.

Keputusan PAS ini dibuktikan tepat. Di bawah kepimpinan Dr.Burhanuddin, PAS berjaya menawan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum pertama setelah merdeka. Sungguhpun dilihat sebagai “orang luar”, apatah lagi dengan latar belakang “kiri”-nya, yang sering disamakan dengan “komunis”, Dr.Burhanuddin tetap meraih sokongan dalam PAS. Beliau bertahan, meskipun dua kali dicabar oleh Profesor Zulkifli Muhammad, “orang dalam” PAS, yang tamat pengajian dari Universiti Al-Azhar, dan menekankan perjuangan Islam. Ia seolah-olah persaingan antara orang kiri dengan ulama dalam pemilihan PAS, tetapi berakhir dengan kemenangan orang kiri.

Kemudian Dr.Burhanuddin di-ISA-kan. PAS memasuki zaman Datuk Asri Muda, yang mengundang pertikaian. Apapun yang dituduh terhadapnya, sejarah mencatatkan bahawa Datuk Asri Muda tunduk kepada tekanan parti dan memilih untuk meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agong PAS. Apa maksud di sebaliknya? Akar umbi PAS berani bangkit untuk mendesak pemimpinnya, di samping pemimpinnya masih “tahu malu” dengan melepaskan jawatan, dan bukan mengamuk untuk mempertahankan kuasa dengan segala cara.

Hakikatnya “letak jawatan” bukan sesuatu yang asing pada zaman itu. Haji Yusof Rawa, pemimpin yang mengambil alih pucuk pimpinan PAS, turut memilih untuk meletakkan jawatan apabila kepimpinan beliau dipertikaikan. Chinese Consultative Council (CCC) yang ditubuhkan pada zaman 1980-an untuk melebarkan sayap PAS kepada masyarakat Cina ketika itu, tidak dibalas dengan sambutan positif. PAS membayar harganya dalam pilihan raya umum, dan pemuda PAS ketika itu mengusul agar CCC dinilai semula. Haji Yusof Rawa menganggap usul itu seolah-olah undi tidak percaya terhadap kepimpinan dirinya, lantas almarhum meletakkan jawatan atas nama “prinsip”.

Sungguhpun dipujuk untuk menarik balik keputusan itu, tindakan Haji Yusof Rawa memperlihatkan bagaimana pemimpin tertinggi PAS ini tidak ragu-ragu untuk mengundur diri dari kedudukannya.

Tempoh kepimpinan ustaz Fadzil Noor memahat kegemilangan PAS pada zaman serta kekurangan, berbanding hari ini. Bangkit dari 1 kerusi parlimen dalam PRU7 tahun 1986, PAS menawan semula kerajaan negeri Kelantan dengan gandingan bersama Semangat 46. Ustaz Fadzil Noor tidak memilih untuk “berkecuali” ketika UMNO berpecah pada zaman 1990-an. Ustaz Fadzil Noor mencari kesempatan untuk melonjakkan partinya tatkala musuh politik dilanda krisis. PAS menambah kerusi Dewan Rakyat dari 7 kepada 27, dan menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU10 tahun 1999.

Sungguhpun PAS hari ini bukan berada pada kedudukan paling lemah dalam sejarahnya, tetapi kita tidak jelas ke arah mana parti ini menuju. “Wala” ditekankan, anggota akar umbinya membisukan diri sungguhpun merasai sesuatu yang tidak kena pada saf pimpinannya. Pimpinannya pula enggan berundur. Kini ada pula yang memilih untuk “berkecuali”, pada detik saat di mana sejarah baru boleh dilakar. Jadi, ke mana PAS selepas ini?

7 comments:

  1. Selepas ini PAS sudah pastinya akan ke kubur politik.

    ReplyDelete
  2. Nakhoda pas dan sekelian juragan telah mabuk laut. Kapal terkonteng tak tentu haluan. Akhirnya menuju kapal umno nakhodanya najibun mo1. Kedua kapal ini sangat tua dan uzur. Hanya tunggu karam. Annuar musang sabda umno pas punya dna yg sama. Nah apo lagi. Ayuh bergabung demi melayu islam. Kleptokrat pon okey demi melayu. Aduhh ini islam drp nabi ker. Nauzubillah

    ReplyDelete
  3. Nakhoda pas dan sekelian juragan telah mabuk laut. Kapal terkonteng tak tentu haluan. Akhirnya menuju kapal umno nakhodanya najibun mo1. Kedua kapal ini sangat tua dan uzur. Hanya tunggu karam. Annuar musang sabda umno pas punya dna yg sama. Nah apo lagi. Ayuh bergabung demi melayu islam. Kleptokrat pon okey demi melayu. Aduhh ini islam drp nabi ker. Nauzubillah

    ReplyDelete
  4. Ke mana awak tanya....arah tuju kami jelas sekali....kami sedang mengikuti "money trails".... menghidu jejak guni dedak yang diangkut Najib...
    Seterusnya destinasi akhir kami adalah ke neraka bersama ulama-ulama "su"

    ReplyDelete
  5. Pas sesat tk tau nk pi mana. Sbb hadi dah mabuk ketum atau pil kuda. Sejak selepas pru 2008. Dia cadang nk ug dgn umno di perak dan selangor. Tp nasib baik dia tk hadir dlm mesy rahsia dgn paklah dan khir toyo. Pas diwakili oleh nasha mustapa ali dan khalid samad. So projek ug dgn umno batal. Hadi disokong kuat oleh harun din. Tp projek ug ini dibantah keras oleh nik aziz. Tp hadi dan harun tk putus asa. Bila nik aziz mati maka hadi naik tocang lah. Jeng jeng. Kemaruk nk gabung dgn umno. Ini rahsia besar. Ahli pas dibawah tak tau. Jd mereka walak buta. Walaun ni pon bukan baca harakah. Cuma dgr ceramah saja pong pang. Sbb tu harakah tak laku ahli tk beli. Sbb tu husam dipecat awal spya ahli pas tk terpengaruh dgn husam. Ni strategi kotor hadi n nik amar. Mb mad yakob hanya patung saja. Daeng sanusi hanya barua hadi. Sekian. Minta walaun pas jawab. Hahahs

    ReplyDelete
  6. Pimpinan mengeteh bersama Najib di Kota London.

    ReplyDelete
  7. Pimpinan tu pi minom teh tarik di london bsama jamil khir bahrum menteri ehwal islam. Dio ialah din audi q7 khairudin aman razali ajk pas pusat n mp kuala nerus. Pi sana hanya utk terangkan ruu 355. Hampehhh. Patut nya ruu 355 ni bahas dlm parlimen. La ni tk tahu bila nk bahas di parlimen. Ashik tangguh oleh hadi awang. Kesian ahli pas ditipu hadi awang dan kuncunya. Hihi

    ReplyDelete