Monday, December 18, 2017

Lagi RM161 bilion hilang?

Bersatu buat laporan polis kehilangan RM161 bilion
W SAIDATUL NAJEMUDIN 17 DISEMBER 2017
Razali bersama dengan ahli-ahli Bersatu, wakil PKR dan NGO melihat laporan polis dibuatnya di luar perkarangan IPD Kuala Terengganu, di sini, hari ini

KUALA TERENGGANU - Bersatu Terengganu membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat ‘kehilangan’ wang sebanyak RM161 bilion berikutan dakwaan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) antara tahun 2013 hingga 2015.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, kehilangan tersebut yang didedahkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa bagi menyiasat samada berlaku sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan oleh mana-mana pihak di dalam pengurusan rezab tersebut.

“Bersatu Terengganu memandang serius kedudukan rezab antarabangsa Malaysia yang jelas boleh mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi Malaysia.

“Kita harap pihak kerajaan tidak boleh memandangkan remeh tentang kehilangan wang sebesar itu,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Beliau turut memberitahu Bersatu bahagian Kuala Nerus dan Kemaman juga turut membuat laporan polis mengenai perkara yang sama petang tadi.

Mengulas lanjut, sekiranya kerugiaan dalam urus niaga perdagangan asing (forex) yang berlaku 30 tahun lalu ketika di zaman Mahathir diselongkar kembali pihak berkuasa, beliau tidak menolak siasatan terhadap kerugian yang berlaku antara 2013 hingga 2015 bukanlah perkara yang sukar.

Jelasnya, ia adalah perkara yang besar kepada rakyat memandangkan kerugian tersebut adalah tujuh kali ganda lebih tinggi daripada dagangan Forex yang telah pun menjalani siasatan melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Apakah dengan kerugian tujuh kali ganda ini, kerajaan akan berdiam diri? Bersatu Terengganu turut mencadangkan agar kerugian yang berlaku tiga tahun kebelakangan ini disiasat dengan mendalam dan jika perlu, tubuhkan RCI untuk menyiasat kekurangan hasil negara ini,” katanya.

Beliau turut berharap siasatan dapat dilakukan secara menyeluruh dan bukan hanya menyelongkar isu-isu ketika di zaman Mahathir seolah-olah sengaja mahu memalukan bekas Perdana Menteri itu; bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Adalah pelik apabila kerajaan lebih berminat dengan hal yang terjadi 30 tahun lalu tapi gagal bertindak terhadap kerugian dan kesusutan rizab negara sejak tiga tahun lalu.

“Kami amat yakin Polis Diraja Malaysia mampu menyiasat dan membuat cadangan-cadangan bernas ke arah membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meminta PDRM menyiasat samada benar rezab BNM tersebut digunakan bagi mempertahankan mata wang ringgit daripada jatuh merudum memandangkan ia menjadi kebimbangan rakyat, peniaga dan ahli ekonomi dalam dan luar negara ketika ini.

No comments:

Post a Comment