Saturday, December 16, 2017

Siapa agaknya yang layak jadi pengganti PM sekarang?

Mencari pengganti Najib Razak
Izmil Amri · Diterbitkan pada 16 Dec 2017 7:00AM

SEMINGGU lalu, Umno telah bersidang dengan penuh gilang gemilang. Presidennya yang kebetulan juga Perdana Menteri, Najib Razak, dijulang tinggi melambung sebagai keramat hidup, pemimpin agung, rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hatta ada menteri memetik hadis Nabi tentang bagaimana harga barang itu adalah ketetapan ilahi. Namun, Najib sebagai pemimpin agung, ternyata mampu mencari jalan penyelesaian bagi memintas ketentuan Tuhan itu.

"Ini adalah kerana presiden Umno berasakan bahawa untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan keadilan untuk seluruh negara, kita mampu memberikan subsidi melalui barangan keperluan asas," kata si menteri ini.

Orang Umno pun pakat tepuk tangan penuh bangga dan kagum dengan kemampuan presiden mereka berkuntau dengan ketentuan Tuhan. Kalau tidak masakan ada Unit Perancang Ekonomi dan pengumuman naik turun harga minyak setiap minggu. Ini semua upaya kerajaan untuk memintas takdir. Patut lah orang Umno kagum dengan begitu hebat sekali.

Sementara segelintir umat Melayu inzal kekaguman dengan kekuasaan Najib, umat Melayu lain yang berbaki pula seronok berbahas siapakah yang bakal menggantikan suami Rosmah Mansor itu.

Perbahasan soal calon perdana menteri Pakatan Harapan sudah masuk separuh masa kedua, dengan keadaan kekal tanpa jaringan. Penyokong dan ultras masing-masing sudah tersandar di curva. Sorakan sudah reda, gendang sudah tidak dipalu. Stadium Harapan lengang tanpa sebarang aksi.

Dalam keadaan lengang ini, saya kira masanya sesuai untuk membincangkan kebarangkalian tinggi untuk Azmin Ali, melenggang masuk ke gelanggang dan akhirnya duduk di takhta Perdana Menteri, apabila Barisan Nasional sudah habis bersorak mengira jaringan ke gol sendiri.

Mari kita mengimbau kenangan Langkah Kajang, dan bagaimana akhirnya Azmin muncul juara dalam pertarungan itu.

Untuk konteks, perlu disebut bahawa langkah menukar Menteri Besar Selangor itu dibuat bagi menggantikan Abdul Khalid Ibrahim yang menurut partinya sudah tidak lagi menumpahkan wala’ kepada kepimpinan parti. Khalid baru-baru ini ditemukan hadir di acara anjuran Umno, menyatakan kesediaan untuk membantu parti pemerintah itu merampas semula negeri paling kaya di Malaysia daripada tangan parti-parti lawan.

Ketika langkah itu dimulakan, calon gantian yang dicadangkan Parti Keadilan Rakyat ialah tidak lain, Anwar Ibrahim. Alasan yang diberi ialah supaya beliau mempunyai rakam jejak sebagai ketua eksekutif negeri itu, seperti Lim Guan Eng di Pulau Pinang.

Anwar gagal ditabal menjadi Menteri Besar apabila kes mahkamahnya disegerakan, dan Ketua Umum PKR itu terus ke Sungai Buloh. Tidak jadi ke Kajang.

Pilihanraya kecil pun berlangsung dengan menampilkan Wan Azizah sebagai calon gantian. Wan Azizah menang bergaya, namun tersadung langkahnya di tangga istana.

Dipendekken cerita, istana memilih Azmin Ali yang kemudian menerima gelar Datuk Seri. Azmin menang dalam pertarungan itu tanpa perlu menghunuskan kerisnya, setelah habis semua pakat bergelumang dalam lopak darah dan air mata.

Bukan calon ‘legatee’

Ramai sebenarnya yang tidak suka dengan Azmin ini. Isu dan masalah sikapnya berjela-jela. Namun Azmin adalah satu-satunya calon bukan ‘legatee’, atau meminjam bahasa kawan-kawan Telawi, bukan calon politik keponakan, seperti Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar dan mantan menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Azmin juga satu-satunya calon yang memecahkan kebuntuan yang dapat kita lihat melalui pungut suara The Malaysian Insight sendiri. Maklumbalas pembaca rata-rata hampir sama banyak menyokong dan menolak kembalinya ‘Sang Diktator Tua’ ke Putrajaya.

Sebenarnya begitulah sudut pandang saya apabila menilai ciri-ciri bakal calon PM Pakatan Harapan ini.

Bagi saya, calon itu mestilah muda, punya rakam jejak dalam pentadbiran kerajaan, mempunyai tapak sokongan akar umbi yang kuat, punya jawatan tinggi dalam parti dan gabungan, serta disenangi segenap kelas masyarakat (termasuk monarki, ilmuan, pemodal, pasukan pengaman dan sebagainya).

Jika dikeluarkan ‘faktor muda’, maka Dr Mahathir Mohamadlah yang kita temukan mengisi semua syarat itu. Jika ‘faktor muda’ diambil kira, maka tidak lain hanya Azmin Ali yang cukup semua rukunnya.

Anwar Ibrahim sudah berusia 70 tahun. Kalau masih mahu dikira muda, kita sewajarnya segan dengan demikian banyak negara di dunia yang sedang menyaksikan tokoh-tokoh pemimpin muda mengambil alih kerajaan masing-masing.

Katrín Jakobsdóttir, perdana menteri Iceland yang baru, usianya 41. Jacinda Ardern, perdana menteri New Zealand yang baru, usianya 37. Emmanuel Macron, presiden Perancis; 39. Justin Trudeau, perdana menteri Kanada, 43 tahun.

Takkanlah Malaysia hanya punya pilihan antara Mahathir, 92 tahun; Wan Azizah, 65 tahun; dan Muhyiddin Yassin, 70 tahun (sebaya Anwar). Takkanlah kan?

Azmin Ali, bagi kita masih lagi seorang ahli politik yang muda. Pada usia 53 tahun, Azmin punya prestasi yang cukup memberangsangkan. Meski prestasi itu sangat subjektif dan bergantung kepada sudut pandang masing-masing. Prestasi itu memaksa Umno berhempas pulas dalam usahanya menawan semula Selangor dengan bermodalkan Jamal Yunos dan terkini, Azwan Ali.

Azmin tidak akan perlu melobi untuk menjadi calon perdana menteri. Azmin hanya akan perlu menunjukkan hasil kerjanya, dan menanti penuh sabar bagi memecahkan kebuntuan yang bakal menjelma. Sama seperti keadaannya waktu Langkah Kajang dahulu.

Azmin akan menang dalam perlawanan realpolitik ini. Tidak kira lah apa sahaja cara yang beliau gunakan. Semua lawannya akan tumbang. Seperti biasa. – 16 Disember, 2017.

3 comments:

  1. Klau nak cakap kpimpinan org muda dato Azmin ali drp pkr adalah calun pm terbaik mewakili ph.disamping beliau ada mantan pm 2 mantan tpm mantan mb dan lain2.tervaik PH.

    ReplyDelete
  2. Moga johor pahang melaka negeri sembilan terengganu perak kedah kelantan perlis ditadbir pakatan harapan amin ya robbalalamin insyallah

    ReplyDelete