Monday, December 18, 2017

Antara hutang produktif, membazir

A KADIR JASIN   -  17 DISEMBER 2017

SEORANG menteri yang tidak perlulah saya sebut namanya, secara langsung dan tidak langsung menjawab tulisan saya mengenai hutang kerajaan yang tinggi sekarang.

Menurut perangkaan Bank Negara, hutang Kerajaan Pusat pada 17 Oktober lalu berjumlah RM687.4 bilion. Anggaran mengatakan hutang pada suku terakhir tahun ini akan bersamaan dengan 54 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Nisbah ini dijangka naik kepada 56 peratus pada suku pertama dan kedua tahun depan iaitu melepasi had tertinggi 55 peratus yang kerajaan sendiri tetapkan. Kerajaan dijangka berhutang dengan banyak bagi menampung Belanjawan 2018.

Tekanan untuk berbelanja besar dalam tempoh itu berkait terus dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang wajib diadakan sekitar pertengahan tahun.

Dalam jawapannya menteri itu, antara lain berkata, hutang kerajaan berbanding dengan KDNK lebih rendah sekarang berbanding tahun 1980-an.

Saya tidak hairan dengan perbandingan itu kerana tujuannya ialah memburukkan zaman lampau, khususnya era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya juga tidak akan menolak atau menelan bulat-bulat hujah beliau kerana beliau mempunyai akses kepada data-data rasmi sedangkan saya menulis berpandukan data umum yang ada di khalayak umum (public domain).

Namun perlu disebutkan yang pihak rasmi sering memanipulasi data-data ekonomi dan sosial untuk kepentingan mereka sehingga kadang kala kebenaran tidak dinyatakan.

Daripada segi perangkaan memang benar dakwaan beliau bahawa hutang kerajaan lebih tinggi pada 1980-an. Tetapi ukuran buruk atau baik hutang kerajaan tidak bergantung semata-mata kepada perbandingannya dengan saiz ekonomi (KDNK). Yang lebih utama adalah produktiviti ekonomi dan keyakinan pihak yang memberi pinjaman.

Tidak syak lagi produktiviti ekonomi pada tahun 80-an lebih tinggi daripada sekarang. Maksudnya bagi setiap ringgit yang kerajaan pinjam, kesannya kepada ekonomi adalah lebih besar.

Ini adalah kerana perbelanjaan ketika itu, termasuk daripada sumber hutang, adalah untuk kegiatan ekonomi yang produktif seperti membina prasarana, memajukan industri petroleum, mewujudkan peluang pekerjaan dan meluaskan pembahagian kekayaan negara.

Jadi tidak hairanlah apabila ketika itu bukan sahaja ekonomi berkembang pesat sehingga melebihi 10 peratus setahun, tapi juga berjaya mengurangkan kemiskinan dan menagihkan kekayaan negara secara yang lebih sama rata.

Hari ini, walaupun hutang kerajaan lebih rendah berbanding KDNK, produktiviti ekonomi juga rendah. Hal ini berlaku kerana banyak sumber ekonomi dibazirkan melalui penggunaan yang tidak cekap, penyelewengan dan rasuah.

Misalnya pembaziran sumber dalam industri pembinaan dan hartanah di mana banyak bangunan tidak dapat dijual atau tidak diguna selepas dijual.

Bank Negara sendiri mengakui yang ketidakseimbangan di antara permintaan dan bekalan hartanah telah meningkat sejak tahun 2015. Hartanah kediaman yang tidak laku dijual berada pada tahap paling tinggi dalam masa 10 tahun.

Paling banyak unit yang tidak laku dijual berharga RM250,000 ke atas. Ini secara langsung membuktikan bahawa kemampuan kelas menengah semakin merosot akibat kenaikan upah yang kecil dan kos sara hidup yang melambung.

Berbalik kepada menteri tadi, memang benar nisbah hutang kerajaan memuncak pada tahun 1990 kepada 80.7 peratus KDNK, tetapi selepas itu ia turun secara berterusan kepada yang paling rendah dalam sejarah iaitu 31.8 peratus pada tahun 1997.

Hutang kerajaan naik dengan banyak mulai tahun 2009 akibat dasar dan rancangan perangsangan ekonomi yang dilaksanakan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebaik saja beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun itu. Hutang kerajaan melonjak daripada 41.24 peratus pada tahun 2008 kepada 51.8 peratus tahun 2009 dan 54 peratus sekarang.

Kesimpulannya kita boleh berhutang, tetapi haruslah berpatutan dan untuk tujuan yang produktif. Ujian mutakhir sama ada hutang itu bermanfaat atau tidak ialah keupayaannya menjana pertumbuhan ekonomi supaya apabila sampai masa membayar balik hutang, negara ada duit bukan untuk menunaikan janji dan bukan mengambil hutang baharu untuk membayar hutang lama.

Tetapi inilah yang berlaku dengan banyak negara sehingga akhirnya terpaksa menyerahkan projek yang dibina dengan duit hutang kepada negara yang memberi hutang.

Misalnya pada 9 Disember lepas, Sri Lanka secara rasmi menyerahkan pengendalian Pelabuhan Hambantota kepada China melalui urus niaga AS$1.12 bilion (kira-kira RM4.6 bilion) dengan hanya mendapat bayaran AS$292 juta (RM1.2 bilion) setelah gagal membayar balik hutang. Hal yang sama telah berlaku di Zimbabwe dan beberapa buah negara lain yang berhutang dengan China. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara

No comments:

Post a Comment