Tuesday, July 12, 2016

Isu aurat: Zaid lawan hukum Islam, bawa pemikiran liberal

Posted on Tuesday, July 12 @ 14:48:45 MYT by JackSparrow
 - sumber

PETALING JAYA: Pemimpin PAS Kelantan membidas kenyataan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mempersoalkan usaha kerajaan negeri itu mewajibkan pekerja wanita menutup aurat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia Dan Sukan Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata usaha PAS Kelantan itu selaras dengan kehendak syariah Islam di mana wanita tidak dibenarkan mendedahkan aurat kepada masyarakat umum.

“Arahan menutup aurat ini kita lakukan sejak 1990, sekarang kita ingin memperkasakan dalam bentuk yang lebih harmoni.

“Sehingga kini tidak ada bantahan dibuat berhubung perkara itu. Kebanyakan menyambut baik, malah bukan Islam turut menyokong usaha kerajaan di bawah bidang kuasa PBT melibatkan premis berlesen itu,” katanya kepada FMT.

Selain itu, katanya beliau mengalu-alukan Zaid datang ke Kelantan untuk berbincang dan mereka sedia berhujah berhubung isu itu.

Fattah pada masa sama turut membidas dakwaan Zaid kononnya Kelantan lebih mengutamakan isu menutup aurat berbanding isu lain, sekali gus mencabar beliau memberi bukti masalah lain yang tidak mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Saya minta beliau sebut isu apa yang kita (kerajaan negeri Kelantan) tidak ketengahkan. Kita jaga semua, kita nak rakyat negeri ini selamat di dunia dan akhirat.

“Selagi kita boleh jaga rakyat kita jaga dan antara tempat yang kita boleh jaga ialah tempat berlesen,” katanya.

Zaid sebelum ini berkata langkah Kelantan mewajibkan pekerja wanita Islam di restoran makanan segera dan pasar malam memakai baju berlengan panjang dan menutup aurat menunjukkan pentadbiran PAS di negeri itu terdesak.

Beliau juga menyifatkan peraturan itu tidak adil dan menyeru rakyat negeri itu membantah usaha tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Nik Mazian Nik Mohamad berkata bantahan Zaid menunjukkan beliau sendiri melawan undang-undang Islam dan seakan-akan membawa pemikiran liberal.

“Tindakan dia (Zaid) melawan hukum Islam, kecuali dia boleh bawa dalil ada undang-undang Islam membenarkan membuka aurat.

“Zaid perlu beri bukti tindakan kerajaan itu bertentangan dengan ajaran Islam serta hak dan kebebasan. Kerajaan ada kuasa mewajibkan wanita di Kelantan menutup aurat.

“Saya bukan nak tuduh dia (Zaid) liberal, tetapi kalau dia fikir supaya boleh buka aurat, seolah-olah pemikiran dia menjurus kepada liberal kerana cuba bebaskan diri daripada undang-undang Islam.

“Kenapa nak lawan hukum Tuhan? Majoriti rakyat Kelantan bersetuju bila kerajaan negeri buat macam ini (laksanakan peraturan tutup aurat). Jangan paksa rakyat tolak, itu kehendak rakyat dan rakyat Kelantan hendak Islam, kalau tidak mereka tidak undi PAS,” katanya kepada FMT.

No comments:

Post a Comment