Thursday, June 1, 2017

Stafoc tembak mati tiga lelaki tanpa pengenalan diri

Insiden Berbalas Tembakan, Stafoc Tembak Mati Tiga Lelaki
Diterbitkan: Khamis, 1 Jun 2017 5:13 PM
Oleh: NADIA SHAIFUL BAHARI
PETALING JAYA: Gerak-geri mencurigakan seorang pemandu kereta jenis BMW dan dua penumpang berakhir dengan tragedi berdarah apabila mereka ditembak mati oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

Insiden tersebut berlaku dalam satu kejadian di Muar, Johor pada pagi Khamis.

Mengikut laporan polis yang dikongsikan dalam laman Facebook Kemalangan Ekstreme Kebakaran, Banjir Dalam & Luar Negara oleh pemilik akaun bernama Samuel Adams pada petang Khamis, pasukan polis telah menghampiri kenderaan tersebut dan mengarahkan agar ia berhenti.

Namun, sebaik sahaja pasukan polis keluar dari kenderaan dengan memakai vest bertulis polis dan menjerit perkataan 'polis' ke arah pemandu kenderaan itu, tiba-tiba beberapa das tembakan dilepaskan oleh lelaki dari dalam kenderaan itu.

Anggota Stafoc kemudiannya turut membalas tembakan ke arah penyerang itu bagi tujuan mempertahankan diri.

Insiden tersebut berterusan sehingga tiada lagi ancaman keselamatan dilakukan terhadap pasukan polis.

Difahamkan, pemeriksaan taktikal telah diambil oleh pasukan polis ke atas lelaki berkenaan.

Setelah pemeriksaan rambang dibuat, polis mendapati terdapat tiga lelaki yang berada di dalam kenderaan itu ditembak mati.

Ketiga-tiga mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan polis turut menemui dua pucuk pistol yang tiada nombor siri.

Pemeriksaan lanjut akan dijalankan oleh pasukan forensik Johor.

Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota dari Stafoc dan Bahagian Siasatan Khas D9 Bukit Aman telah membuat rondaan di kawasan tersebut sekitar pukul 9.50 pagi Khamis.

Pasukan tersebut terserempak dengan kenderaan jenis BMW berwarna silver dalam keadaan mencurigakan di Persimpangan Parit Bunga menghala ke Muar.

No comments:

Post a Comment