Saturday, June 10, 2017

Data Ekonomi: Berhentilah kelirukan rakyat

BERHENTILAH MENGELIRUKAN RAKYAT DENGAN MEMANIPULASI DATA EKONOMI

Kenyataan Media | 09 Jun 2017

Saya berasa lucu apabila membaca kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selaku Menteri Jabatan Perdana Menteri yang begitu yakin bahawa Malaysia boleh menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Dengan sekali lagi hanya menggunakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebagai petunjuk ekonomi.

Rahman Dahlan masih tidak serik cuba mengelirukan rakyat dengan memanipulasi data ekonomi semata-mata untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap Umno BN yang imejnya kian tercemar dengan budaya pembaziran, rasuah dan tatakelola yang buruk.

Dengan menjaja nama Bank Dunia yang membuat unjuran bahawa pertumbuhan KDNK Malaysia akan berada pada paras 4.3 peratus, angka ini sebenarnya tidak cukup untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju atau negara berpendapatan tinggi.

Mengikut pengiraan atlas, Bank Dunia mendefinisikan negara berpendapatan tinggi iaitu apabila KDNK per kapita (jumlah tahunan KDNK dibahagikan bilangan penduduk Malaysia) mencecah USD 12,475 atau lebih kurang RM53,181. Sedangkan pada tahun 2016, KDNK per kapita Malaysia sekadar mencecah sekitar RM37,104 sahaja.

Dengan suasana ekonomi yang muram, ditambah lagi meningkatnya pengangguran dan inflasi. Negara akan semakin sukar untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Seperkara lagi adalah peningkatan dan kejatuhan kadar matawang ringgit Malaysia yang mempengaruhi pengiraan KDNK.

Amalan boros dan pembaziran kerajaan Umno BN dapat dilihat dalam dasar fiskal yang diamalkan. Acapkali pembentangan bajet tahunan, Kerajaan Persekutuan akan mengusulkan belanjawan defisit iaitu jumlah perbelanjaan akan melebihi pendapatan.

Meskipun Rahman Dahlan menyatakan bahawa jurang defisit semakin menguncup, hakikatnya Malaysia mempunyai pertambahan hutang negara yang semakin tinggi hingga menyebabkan Najib Razak terpaksa mengusulkan belanjawan tambahan.

Kenaikan kos sara hidup, pertumbuhan gaji yang rendah, jurang kaya-miskin yang melebar dan bertambahnya bilangan penerima bantuan kebajikan jelas menunjukkan bahawa data ekonomi yang digemburkan adalah retorik semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

Saya sarankan Umno BN untuk berhenti mengelirukan rakyat dengan mengemukakan data-data ekonomi yang kononnya mengandungi angka-angka positif sedangkan rakyat secara realitinya berhadapan dengan suasana yang sukar.

Kerajaan Umno BN seharusnya menggubal polisi ekonomi yang mengutamakan kebajikan rakyat dan bukannya melebihkan poket kroni, kleptokrat dan hartawan yang sekian lama telahpun memiliki kekayaan yang lebih banyak berbanding rakyat kebiasaan.

Dato’ Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung
Parti KEADILAN Rakyat

No comments:

Post a Comment