Showing posts with label pelajaran. Show all posts
Showing posts with label pelajaran. Show all posts

Friday, February 16, 2018

“Ramai orang melihat kejayaan saya sebagai ketua projek di NASA tetapi......

Kejayaan bukannya mudah, laluan penuh ranjau - Bekas ketua projek NASA
Zaim IbrahimAstro Awani |  Februari 16, 2018 07:22 MYT
Wan Wardatul Amani ketika berkhidmat sebagai ketua projek dalam kajian SporeSat pada tahun 2014 di NASA. -Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Setiap daripada kita pastinya mempunyai cita-cita tersendiri. Akan tetapi, ada kalanya kita mudah berputus asa dek tohmahan dan perkara negatif yang membelenggu diri.

“Kita perlu sanggup bermula daripada bawah," nasihat mantan ketua projek di NASA (National Aeronautics and Space Administration) pertama di Malaysia, Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim kepada anak muda yang bercita-cita tinggi.

Mengimbas kembali pengalaman lampau, di usia 18 tahun pada 1997, beliau mengambil keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat untuk mendalami bidang sains dan teknologi dengan bekerja sebagai pencuci kanta di sebuah makmal sains.

Pengembaraan jauh dari kampung asalnya di Gelugor, Pulau Pinang dengan meninggalkan ahli keluarga nyata berbaloi.

Menurut beliau, ”Dalam Islam kita percaya, seseorang yang bermusafir mempunyai keberkatan.”

Atas semangat itu, beliau mengambil peluang tersebut untuk belajar dan menimba pelbagai pengalaman.

“Kita jangan memandang rendah terhadap diri sendiri jika bermula daripada bawah kerana daripada situ, kita mampu melangkah lebih jauh.

“Pada zaman itu, sistem internet baru sahaja muncul. Pada waktu itu juga, saya mempelajari pelbagai perisian dan berkomunikasi dengan pakar-pakar di NASA.”

Kerana sikapnya yang tidak berhenti belajar selain menonjolkan komitmen tinggi, beliau diberi peluang mengendalikan kajian Gravitat bersama pakar-pakar di NASA.

Bertitik-tolak daripada situ, akhirnya beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Ketua Projek SporeSat pada tahun 2014.

“Ramai orang melihat kejayaan saya sebagai ketua projek di NASA tetapi ramai tidak tahu kesabaran dan jalan yang perlu dilalui sebelum mendapat jawatan tersebut.”

Beliau berkata, minat yang mendalam mampu menguatkan diri apabila berdepan pelbagai cabaran.

Di NASA, segala hasil kajian akan dipersembahkan kepada masyarakat umum untuk meningkatkan pemahaman sains dan teknologi kepada masyarakat.

“Saya paling suka apabila berjumpa dengan masyarakat untuk membentangkan kajian yang telah dilakukan.”

Wan Wardatul Amani kini berkhidmat sebagai pembantu profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan salah seorang jurucakap TEDxKL.

Saturday, January 27, 2018

Sahih ke isu ni?

Satu penyiasatan secara menyeluruh perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri melalui YIK bagi menentukan kesahihan kejadian ini.

Dr Fadli selaku Exco yang bertanggung jawab kepada YIK perlu segera bertindak bagi mengelakkan ISLAM yang digunakan sebagai asas pemerintahan seperti terdakwa tidak tercemar dengan tindakan sebegini yang jika benar mengalahkan KOREA UTARA!

Ambo difahamkan seramai 13 orang murid yang akan mengambil STAM bagi tahun 2018 telah dipaksa menandatangani satu surat akujanji yang difahamkan BUKAN arahan rasmi dari pihak YIK. Difahamkan juga,Ibubapa murid-murid yang terlibat telah menghubungi YIK dan diberitahu:-

YIK tidak pernah mengeluarkan arahan untuk aku janji seperti itu diwujudkan dan YIK tidak bertanggungjawab!

Apa Kesalahan seramai 13 murid-murid tingkatan 6 ini yang bakal menduduki STAM bagi tahun 2018?

Murid-murid ini telah diarahkan menghafal ayat 1 hingga 30 surah Al-Faathir yang kemudiannya murid-murid ini telah gagal untuk fasih/ingat ayat-ayat tersebut. Atas kesalahan ini mereka telah diPECAT dari MAAHAD MUHAMMADI PEREMPUAN JALAN MERBAU KOTA BHARU,KELANTAN.

Difahamkan tindakan ini diambil kononnya untuk menjaga nama sekolah tersebut agar dilihat BIJAK BELAKA!

Difahamkan usaha menemui Mudir yang mengeluarkan arahan berkenaan gagal kerana kerap kali TIADA sewaktu ibubapa datang untuk mendapatkan penjelasan. Mudir ini yang juga BIN DAUD dikatakan salah seorang bakal calon bagi PAS di Kelantan pada PRU 18!

Apa yang menjadi kemusykilan dan pertikaian?:-

1. Murid ini dipaksa menandatangani akujanji TUKAR sekolah tanpa pengetahuan ibubapa dan pihak sekolah gagal mengemukakan pekeliling yang mengesahkan peraturan itu datangnya dari YIK!

2. Segala yuran-yuran yang telah dibayar telah gagal dikembalikan dengan alasan ianya HANGUS dan diberi alasan NASIBLAH!

3. Apa fungsi sebenarnya sekolah ini? Tidakkah sesebuah sekolah adalah tempat murid belajar dan diajar? Jika kegagalan hafalan diletakkan kesalahannya kepada murid-murid ini sahaja,mana tanggungjawab sekolah yang gagal mendidik mereka agar secerdik yang lain?

4. Apakah peraturan menyimpan wang yuran murid-murid yang dibuang ini HUKUMNYA halal digunakan oleh pihak sekolah setelah mereka DIBERHENTIKAN?

Kesemua hal yang dinyatakan ini memerlukan penjelasan dan penyiasatan yang teliti agar kesahihan penganiayaan ini dibuktikan sebagai BENAR ATAU TIDAK. Lebih mengecewakan lagi, difahamkan juga yang anak-anak kepada mereka yang ada KABEL BESAR tidak diambil tindakan yang sama sungguhpun kesalahan yang sama berlaku kepada murid tersebut

SEMOGA KATA-KATA HJ HADI YANG MENGHARAPKAN BUKAN POLITIK YANG DIGUNAKAN PADA TEMPAT YANG TIDAK SEPATUTNYA BOLEH DIBUKTIKAN OLEH PIHAK PENYIASAT YIK JIKA SIASATAN DIBUAT!

DR FADLI...DO SOMETHING,KESAHIHAN KENYATAAN INI HANYA BOLEH DISAHKAN MELALUI SIASATAN YANG PERLU DILAKUKAN!

-  Koboi Malaya via whatsapp

Tuesday, December 19, 2017

Sapalaa.......makbapak budak ni?

Cikgu Azizan bebas, kes ditarik balik
Asila Jalil, Yasmin Ramlan - Diterbitkan pada 19 Dec 2017 9:47AM
Azizan Manap atau Cikgu Azizan melambai kepada orang ramai yang terdiri daripada guru dan keluarganya ketika di luar Mahkamah Majistret Seremban, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Disember, 2017

SEORANG guru, Azizan Manap yang sepatutnya dibicarakan hari ini atas tuduhan mencederakan anak muridnya, dibebaskan  daripada dakwaan tersebut oleh Mahkamah Majistret Seremban.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas pendakwa raya menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut mengembalikan wang ikat jamin RM500 kepada tertuduh.

Azizan, 44, yang baru bertugas di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai merupakan penolong hal ehwal murid yang bertanggungjawab atas isu disiplin. Dia dituduh mencederakan anak muridnya yang didakwa terlibat dalam kes disiplin berat termasuk menghidu gam.

Kes ini menarik perhatian umum selepas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Jumaat lepas menggesa guru-guru hadir di mahkamah hari ini untuk memberikan sokongan dan solidariti kepada Azizan.

Perkarangan mahkamah hari ini penuh dengan kehadiran guru-guru yang menunjukkan sokongan kepada rakan sejawatan yang mereka sifatkan teraniaya kerana menjalankan tugas, sesuatu yang jarang dilihat dalam beberapa kes saman oleh ibu bapa terhadap guru sebelum ini. – 19 Disember, 2017.

BERKAITAN:
Sokongan moral kepada Cikgu Azizan

Saya maafkan murid saya, kata Cikgu Azizan

Wednesday, November 29, 2017

Sehingga gini dipaksa kunci mulut?

Universiti larang kakitangan, pelajar tunjuk kelemahan kerajaan

  | November 28, 2017
Kakitangan dan pelajar diberitahu mereka tidak boleh memberikan sebarang kenyataan dan penjelasan kepada media tanpa kebenaran menteri.
PETALING JAYA: Pihak pengurusan sebuah universiti awam tempatan terkemuka mengenakan larangan ke atas kakitangan dan pelajar, yang melarang mereka menunjukkan kelemahan dasar universiti atau kerajaan kepada media atau orang ramai.
Tidak diketahui apakah yang menyebabkan universiti mengeluarkan notis itu.
Seorang kakitangan yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT, beliau menerima notis daripada pihak pengurusan minggu ini.
“Nampaknya sekarang tak boleh kritik kerajaan,” katanya, dan menambah itu kali pertama universiti itu mengeluarkan notis seperti itu.
Notis itu dikeluarkan oleh unit integriti pejabat naib canselor.
Notis itu memberi amaran kepada kakitangan dan pelajar bahawa mereka tidak boleh membuat pernyataan awam yang memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan universiti atau kerajaan tentang apa-apa isu.
Mereka juga tidak boleh memburukkan nama universiti atau kerajaan; menunjukkan kelemahan dasar, rancangan atau keputusan; memberikan apa-apa maklumat atau fakta mengenai perjalanan fungsi universiti; dan memberikan apa-apa penjelasan berkenaan apa-apa peristiwa atau laporan mengenai universiti atau kerajaan.
Mereka hanya dibenarkan bercakap jika kebenaran diperolehi daripada menteri yang berkenaan.
Pernyataan awam yang dirujuk dalam notis itu termasuk kenyataan akhbar, ulasan, ucapan dan penerbitan media sosial, secara lisan, bertulis dan apa-apa cara lain.
Notis turut menyatakan notis dikeluarkan mengikut Peraturan 18 daripada Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan Berkanun bawah Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj).
Notis bagaimanapun tidak menyatakan hukuman jika kakitangan atau pelajar didapati bersalah melakukan kesalahan.
Unit integriti universiti itu ketika dihubungi FMT mengesahkan pihaknya mengeluarkan notis itu semalam melalui sistem e-mel universiti.
Unit itu bagaimanapun enggan memberikan alasan mengapa notis sebegitu dikeluarkan.
Aktivis pelajar Anis Syafiqah Mohd Yusof mengkritik notis itu dan berkata tindakan itu cubaab terdesak menghalang pelajar mengkritik universiti dan kerajaan.
“Ini membuktikan universiti dikawal sepenuhnya oleh kerajaan dan ahli politik,” katanya.
Sebelum ini, Anis dan 3 pelajar lain memfailkan saman mencabar kesahan peraturan universiti, yang didakwa melanggar kebebasan bersuara mereka.
Anis digantung selama 1 semester dan didenda RM400 oleh tribunal universiti kerana menganjurkan tunjuk perasaan “Tangkap MO1” pada Ogos tahun lepas.
Seorang lagi aktivis pelajar, Tan Jia You, berkata mengehadkan pernyataan perasaan kakitangan dan pelajar suatu tindakan yang tidak logik.
“Universiti tempat untuk kita belajar bagaimana untuk menyampaikan fikiran kita secara bebas dan berfikir secara kritikal.
“Notis itu melanggar kebebasan akademik,” katanya.
Tan berkata notis itu juga tidak jelas mengenai pernyataan bagaimana yang dianggap boleh menjejaskan nama universiti.
“Jika saya pulang ke rumah dan beritahu ahli keluarga saya tidak berpuas hati dengan kemudahan tertentu, adakah pihak universiti akan mendakwa saya membuat pernyataan awam terhadap fakulti?”

Tuesday, November 28, 2017

Dah puas dengan belit dan dalih, baru mohon maaf akhirnya!

Ku Nan minta maaf
mk      Hari ini, 3:20 pm
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memohon maaf atas kenyataannya mengenai penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kata Tengku Adnan beliau berniat baik ketika menyatakan mengenai institusi pengajian tinggi berkenaan namun kata-kata itu digunakan pihak tertentu untuk melaga-lagakan pihaknya dengan UiTM.

"Saya tiada niat merendahkan mana-mana pihak. Jadi saya minta maaflah kalau saya mengguris hati siapa-siapa yang rasa terguris dalam apa yang saya sebutkan," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sebelum itu Tengku Adnan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM).

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menjadi perhatian ramai apabila dianggap memperlekehkan penuntut UiTM semasa menyampaikan ucapan di PWTC pada 25 Nov lalu.

"Anda dapat masuk universiti, kalau slow learner (boleh) masuk ITM (nama lama untuk UiTM).

"Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti,” katanya kepada sekumpulan pelajar semasa menegaskan mengenai sumbangan Umno kepada golongan muda Melayu di negara ini.

Semasa sidang media itu juga Tengku Adnan secara berseloroh mengakui beliau bermulut celupar dan perlu lebih berhati-hati pada masa depan.

Katanya apa yang ingin ditekankan semasa ucapan Sabtu lalu ialah memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai jasa ditaburkan kerajaan BN sejak 60 tahun lalu.

"Jad saya harap sudah-sudahlah, tak usah bising lagi," katanya.

Beliau juga mendakwa menjadi antara individu yang mendapat manfaat daripada ITM.

"Niat saya hanya nak ingatkan kepada anak-anak saya (generasi muda) supaya mereka sedar betapa pentingnya kita kena ada satu kerajaan yang stabil dan satu negara yang bersatu padu," katanya.

Kaitan: Alumni UiTM kecam kenyataan ‘slow learner’ Ku Nan

Wednesday, November 8, 2017

Cerdik ke.....dah tahu belum berkuasa dah dituduh omomg kosong?

Pendidikan percuma PH cuma ‘omong kosong’, kata BN Selangor

  | November 7, 2017
Adun Sungai Panjang berkata Selangor sepatutnya menjadi negeri pertama menyediakan pendidikan percuma melalui IPT seliaannya.
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor berkata ketiadaan “pendidikan percuma” dalam Belanjawan Selangor 2018 menunjukkan cakap-cakap Pakatan Harapan (PH) melaksanakan pendidikan percuma di negara ini cuma omong kosong.
Adun Budiman Zohdi (BN-Sungai Panjang) berkata sekiranya PH benar-benar mahu melaksanakan cakap-cakap itu, Selangor patut jadi negeri pertama menyediakan pendidikan percuma melalui institusi pengajian tinggi seliaan kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).
“Saya mahu bertanya adakah bajet kali ini mempersoalkan apa yang berlaku kepada 2 institusi pendidikan kerajaan negeri sedia ada?” kata Budiman di sesi perbahasan Belanjawan selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
“Saya ingat pada 2013, mereka menguar-uarkan memberi pendidikan percuma namun selepas berjaya perintah negeri, satu pendidikan pencuma pun tidak diberikan.”
Adun Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) bangun mencelah mempertahankan kerajaan negeri dan berkata pendidikan percuma hanya akan dilaksanakan selepas gabungan pembangkang menawan Putrajaya.
“Adakah Yang Berhormat (Budiman) sedar pendidikan adalah (bawah kuasa persekutuan) dan negeri tidak ada kuasa penuh dalam pendidikan di Selangor.
“Kita dapat universiti itu hanya SCR negeri, dan kita boleh beri seandainya kita maju ke Putrajaya,” kata Yaakob.
Budiman bagaimanapun menjawab parti pemerintah untuk tidak menyebarkan dongeng pendidikan percuma jika tidak mampu melaksanakannya.
“Sebab itu saya sebut jangan banyak dongeng soal pendidikan pencuma dan saya memberi hujah yang mudah: Jika mereka mendapat sebuah negeri dan mempunyai 2 universiti, mengapa tidak universiti mereka berikan pendidikan pencuma sebelum dia memberi pembohongan dan janji manis itu untuk orang lain?
“Soal pendidikan pencuma ini jangan jadikan mainan politik, jangan jadikan pendidikan seperti janji politik. Kerana rakyat negeri ini dahagakan pendidikan percuma,” katanya.
Sementara itu Adun Mohd Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras) turut bengkit mencelah dan membidas Budiman kerana pentadbiran BN tidak menguruskan isu pendidikan dengan baik.
“Teori yang dibawa Sungai Panjang terlalu teori tapi saya rasa BN tidak ada rekod yang baik dalam pendidikan,” katanya.

Tuesday, September 19, 2017

Kutip sikit manafaat bagi pengguna kereta: RON 95 vs RON 97- Mana lebih baik?

RON 95 vs RON 97, Yang Mana Lebih Bagus Untuk Kereta Anda
Oleh Mohd Farhan Alias   •  Automotif  •  September 18, 2017
RON adalah akronim merujuk kepada Research Octane Number atau keupayaan petrol untuk beroperasi pada tekanan dan suhu yang tinggi pada enjin sebelum dinyalakan oleh spark plug. Petrol jenis ini biasanya digunakan pada enjin berprestasi tinggi seperti BMW M, Suzuki Swift Sport atau Honda Type R.

Sebagai contoh Suzuki Swift biasa dengan enjin 1.4 dan compression ratio (CR) yang rendah hanya menghasilkan 94hp. Tapi Suzuki Swift Sport dengan enjin 1.6 dan CR 11.1:1 akan menghasilkan 136hp. Enjin ini memerlukan RON 97 untuk beroperasi pada keadaan optimum.

Memahami Compression Stroke dalam operasi enjin
Dalam enjin petrol, udara dan petrol akan dipadatkan semasa proses compression cycle dan secara tidak langsung suhu campuran tadi akan meningkat. Sekiranya suhu terlampau tinggi, campuran tadi akan auto-ignite tanpa pencucuhan dari spark plug.

Proses ini dinamakan knocking dan akan merosakkan komponen enjin. Pada keadaan ideal, combustion spark plug akan mengeluarkan percikan eletrik bagi memulakan pembakaran dan power stroke.

Enjin – enjin moden terkini mempunyai sensor yang mengesan knocking dan menghantar isyarat pada ECU enjin bagi mengubah parameter bagi menghalang knocking berlaku.

Perbezaan kuasa enjin berprestasi tinggi berbanding enjin biasa
Enjin prestasi tinggi seperti Suzuki Swift Sport biasanya akan menggunakan CR yang tinggi bagi meningkatkan kecekapan thermodynamic dan menghasilkan lebih kuasa berbanding enjin biasa.

Oleh itu RON 97 digunakan dalam enjin ini kerana RON 97 mengurangkan risiko knocking dan mampu beroperasi pada suhu yang tinggi dan menghasilkan kuasa berbanding RON95. Enjin ini mampu menghasilkan lebih kuasa disebabkan dua faktor:

1. Enjin yang mempunyai CR yang tinggi
2. Penggunaan petrol RON 97 yang tahan knocking

Minyak petrol manakah yang lebih bagus?
Seliter RON 95 mungkin akan mempunyai kandungan tenaga yang sama dengan seliter RON 97. Menggunakan RON 97 dalam enjin yang biasa tidak akan menambah power sesuatu enjin kerana kandungan hidrokarbon dalam kedua dua petrol adalah sama.

Tapi menggunakan RON 95 dalam enjin prestasi tinggi akan menyebabkan enjin mengalami masalah pengurangan kuasa dan kecekapan disebabkan masalah knocking tadi.

Sekiranya RON 95 digunakan dalam enjin prestasi tinggi, knocking akan berlaku. Knock sensor akan mengesan knocking dan menghantar signal pada ECU dan melambatkan pencucuhan dari palam pencucuh. Walaupun proses ini mengelakkan masalah knocking, pada masa yang sama ia mengurangkan kuasa dan kecekapan enjin.

Mengapa bila naik bukit, enjin terasa semput?
Apabila mendaki bukit dengan 5 penumpang dan barang penuh di dalam bonet seperti mendaki bukit ke Cameron Highland, biasanya kita akan memaksa enjin untuk beroperasi pada RPM yang tinggi.

Keadaan ini dipanggil high load operation. Sekiranya RON 95 digunakan, knocking mungkin akan terjadi. Enjin akan memberikan kuasa yang konsisten sekiranya RON 97 digunakan dan enjin tidak terasa semput.

Bagi saya, sekiranya perjalanan saya hanya melibatkan lebuh raya, saya akan isi RON 95. Sekiranya ada melibatkan pendakian seperti ke Cameron Highland, saya akan guna RON 97. Nak campur RON 95 dan 97 pun boleh, enjin tak akan meletup.

Baca lagi: 7 Mitos Kecekapan Minyak Kereta, Auta Atau Fakta

Artikel di atas disumbangkan oleh Mohd Farhan Alias. Beliau merupakan seorang bekas pelajar jurutera otomotif serta pernah berkhidmat sebagai jurutera di perodua. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Sunday, September 17, 2017

'Sesudah selut di kakiku kering...'

 Anne Muhammad      16 Sep 2017, 9:57 malam      Hari ini, 3:21 pagi
Untuk dua tiga hari ini ada wartawan yang tidak mendapat tidur yang biasa. Mereka - seperti aku - ditakdirkan membuat laporan mengenai kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu mengorbankan 23 orang, dan sejumlah yang lain cedera.

Letih dan lesu sebu menjadi satu.

Semuanya bermula pada pagi Khamis lalu. Aku sepatutnya ke pejabat pada hari seperti selalu. Tidak ada tugasan khusus pada pagi itu.

Tapi, awal pagi itu tidurku dikejutkan dengan panggilan daripada editor yang meminta aku pergi ke pusat tahfiz tersebut.

“Siap-siap jurugambar, ramai yang mati,” katanya.

Pesanan itu membawa aku bingkas bangun, bersiap seadanya dan segera ke tempat kejadian.

Jarak antara rumah dan tempat kejadian hanya 16 kilometer tapi disebabkan keadaan trafik pagi, aku terpaksa mengambil masa lebih 40 minit untuk tiba.
Jenazah sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Apa yang tinggal ketika aku sampai di situ hanya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sedang membuat penyiasatan, polis yang mengawal keadaan dan ahli keluarga mangsa.

Aku terpaku melihat bangunan tiga tingkat itu. Paling atas kelihatan rosak teruk dimakan api. Mataku berkaca, hatiku marah. Bagaimana ia boleh berlaku?

Aku masuk ke surau bersebelahan pusat tahfiz bagi mencari keluarga mangsa. Pandanganku tertumpu ke arah seorang seorang wanita berbaju oren, bertudung kelabu di sudut paling hujung.

Dia menangis sendirian.

Tanpa berfikir panjang, aku menghampiri dan menyapanya.

Wanita itu, Norhayati Karim, bercerita anak lelakinya Amiel Ashraf Abd Rasid adalah salah seorang pelajar yang maut pagi itu.

Suara hati anak

Tapi yang paling terkesan baginya ialah, Amiel Ashraf mengirimkan pesanan kepadanya kurang 12 jam sebelum itu. Maka jadilah ia nota terakhir daripada Amiel Ashraf untuk ibunya.

Antara kandungan nota itu, Amiel meluahkan rasa sayangnya kepada kedua ibu bapa, serta tujuan dia masuk ke tahfiz adalah membantu mereka ke syurga.
“Ibu ayah, Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu ayah, Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini.

"Amiel tak tahu macam mana nak balas jasa budi ayah dan ibu, hanya ini sahaja yang Amiel mampu (iaitu) masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga firdaus,” kata Amiel.

Tulisan anak berusia 11 tahun ini bukan sahaja membuatku runtun, mataku juga tak dapat ditahan daripada berkaca.

Aku juga sempat menemu ramah beberapa mangsa yang terselamat termasuk pengetua pusat tahfiz itu, Muhammad Zahid Mahmod, menyifatkan kesemua pelajarnya yang maut dalam kebakaran berkenaan sebagai mati syahid.

Sedang aku leka menulis hampir empat berita mengenai kejadian itu, aku sempat menjeling ke arah tingkat tiga pusat tahfiz itu. Kelihatan anggota bomba sedang membawa dua anjing pengesan ke arah dua tong gas masak berwarna kuning.

“Eh, tong gas datang dari mana?” soalku kepada rakan-rakan wartawan lain yang sedang leka menulis berita.

Kami semua terpaku. Ya kami akan tanya bomba selepas ini mengenai kemunculan dua tong gas itu.

Pondok Pak Ya

Bomba mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu bukan berpunca daripada litar pintas serta mengesahkan mengenai penemuan dua tong gas.

Hujan mulai turun. Aku menghabiskan sisa-sisa akhir tulisan pada hari itu dan pada jam 6 petang, aku pulang dengan rasa lesu.
Malam itu, aku caj sehingga penuh segala kelengkapan elektronik kerana esok adalah hari panjang dan kes ini nampaknya masih lama.

Jam 1.30 pagi. Biasanya aku sudah masuk ke mimpi yang kedua, namun malam itu tidurku tidak lena kerana masih terkenangkan kejadian yang menimpa anak-anak yang tidak berdosa.

Jumaat, 15 September: Pagi itu, seawal jam 9 tugasanku bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pulapol, Kuala Lumpur dalam acara Transformasi Nasional 50 (TN50).

Seperti biasa, dalam sidang media dipenuhi dengan ramai pengamal media dari merata agensi yang ingin bertanyakan mengenai kejadian di pusat tahfiz itu.

Zahid menjadi tumpuan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengadakan lawatan di AS.

Kata Zahid kerajaan persekutuan tidak boleh mengambil alih sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat  kerana ia di bawah bidang kuasa negeri dan ia dihormati.
Selain itu Zahid berkata laporan dan syor yang pernah dikemukakan kepada kerajaan mengenai kebakaran di Yan, Kedah 28 tahun lalu boleh dijadikan panduan untuk mengelak lebih banyak tragedi menimpa pusat tahfiz

Pada 22 September 1989, sebuah bangunan asrama perempuan Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah dijilat api dan mengorbankan 27 pelajar.

Selesai menemui Zahid, aku memandu ke tahfiz itu semula bagi melihat keadaan. Ternyata pada hari kedua keadaannya masih sama – dikunjungi orang ramai, pihak keselamatan dan pengamal media.

Dan tentu sedihnya tetap ada di mana-mana.

Aku fikir, tidak ada banyak berita yang aku akan dapat lalu aku mengambil keputusan untuk ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Taman Batu Muda, di ibu negara.


Aku dimaklumkan, kesemua jenazah sudah dikenal pasti dan 11 daripadanya akan dikebumikan di situ.

Hujan mulai turun, namun tanah perkuburan itu tetap dikunjungi ahli keluarga, orang awam serta pengamal media.

Pada jam 6.25 petang, jenazah Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri adalah yang pertama tiba, tidak lama kemudian jenazah-jenazah yang lain tiba.

Azan Maghrib pun berkumandang, urusan pengebumian tetap dijalankan dan semuanya tamat pada jam 8.04 malam.

Hari itu, kasutku penuh dengan selut dari tanah perkuburan, melekat pada seluar dan pakaianku.

Tapi itu bukanlah perkara besar buatku apabila melihat banyak hati yang hiba dan menangis sayu mengenangkan insan tersayang pergi sekelip mata.

Seorang lelaki turut kelihatan memeluk erat batu nisan, manakala disatu sudut seorang ibu curi-curi mengelap air matanya. Sungguh, hatiku tersentuh.

Dalam diam aku berdoa mereka kekal tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Hujan terus turun - di luar dan di dalam. Yang diluar membasahkan bumi, dan di dalam menenggelamkan hati.

Kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah: Luahan pilu seorang jiran

'Maafkan saya tak mampu tolong'
WARTAWAN SINAR HARIAN  -  17 SEPTEMBER 2017
Norhayati Abdul Halim

KUALA LUMPUR - Seorang jiran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, yang terbakar Khamis lalu, berasa amat terkilan kerana tidak dapat membantu menyelamatkan pelajar yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.

Norhayati Abdul Halim, 46, meluahkan perasaan sedih itu ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

“Saya nak minta maaf kepada semua ibu bapa pelajar yang terkorban.

“Saya tidak mampu buat apa-apa melainkan menjerit meminta tolong kerana kejadian berlaku dengan begitu pantas.

"Saya juga gagal masuk ke tahfiz sebab api sedang marak di bahagian pintu,” katanya sebak.

Ibu enam anak itu mengakui masih terbayang lambaian tangan pelajar-pelajar di tingkat tiga pusat tahfiz tersebut meminta tolong.

“Bila berseorangan, saya teringat detik itu dan masih terngiang-ngiang jeritan kuat mereka minta tolong.

“Saya rasa bersalah pada diri sendiri, setiap masa saya menangis kerana teringat pada mereka,” katanya.

Norhayati yang menjalankan perniagaan dobi serta menjual pisang goreng bersama salah seorang anaknya di hadapan rumah berkata, pelajar-pelajar tahfiz itu sememangnya rapat dengannya dan anak-anak.

“Mereka selalu beli pisang goreng dan keropok lekor dengan saya. Ada antara mereka panggil saya mama, ibu.

“Mereka suka bergurau dan sakat saya selain kerap pinjam telefon untuk hubungi keluarga. Mereka umpama anak sendiri,” katanya.

Petang sebelum kejadian, katanya, tiga daripada pelajar terkorban tiba-tiba meminta untuk mengait mangga jiran sebelah rumahnya.

“Saya pelik sebab mangga tu muda, tapi mereka kata teringin sangat nak makan dengan nasi. Jadi kami kait mangga bersama-sama selepas mereka selesai beriadah di taman berdekatan.

“Saya tak dapat dengar lagi suara mereka mengaji dan berzikir beramai-ramai setiap pagi dan malam.

“Malah anak, Mohd Ikhwan Muslim, 7, dan cucu, Muhamad Erfan Budi Arman, 9, juga hilang sahabat ajar mereka mengaji,” katanya.

* Aktiviti Terakhir Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (video dari YouTube)

Saturday, September 16, 2017

Hilang jeritan, timbul kematian: Aku yang membaca ni pun gugur air mata!

Hilang jeritan, timbul kematian
Diterbitkan pada 15 Sep 2017 7:00AM

Tahfiz schools: the story so far oleh themalaysianinsight

ANGGOTA bomba muda itu melabuhkan punggung pada kerusi plastik dan kemudian menyapu “habuk” dari butnya. Matanya merenung kosong bangunan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Dia baru saja selesai mengeluarkan mayat 23 pelajar dan guru tahfiz yang terbunuh dalam kebakaran di tingkat tiga bangunan itu beberapa jam sebelumnya.

Di bawah bahang matahari awal petang semalam, anggota bomba itu, Mohd Osman Aziz bermandi peluh tetapi badannya yang melekit dan bajunya yang basah tidak sedikit pun mengganggunya.

Dia lebih nampak terganggu dengan habuk yang berbuku pada but dan menyelaputi lengannya, melekat kerana bercampur peluh.

“Ini bukan habuk. Ini abu daripada mayat yang terbakar yang saya pungut tadi. Muda-muda lagi semuanya,” kata Osman.  

Dia cuba hendak bertenang tetapi bayangan tubuh-tubuh rentung terkujur yang diangkatnya keluar satu persatu mengingatkannya kepada adik lelaki di kampung.

Adiknya, anak keempat daripada tujuh beradik, sekarang belajar di sebuah sekolah tahfiz di Terengganu.

“Saya tengok mayat-mayat itu, saya teringat pada adik saya. Kacau betul. Tapi kita kena tenang sebab nak buat kerja,” kata Osman.

Foto-foto sekitar kejadian

Anggota bomba berumur 25 tahun merupakan sebahagian daripada pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat yang dikejarkan ke tempat kejadian awal pagi semalam.

Dia dan rakannya Rahim Mohd Rashid, 26, bergegas ke bangunan itu sebaik tiba untuk menyelamatkan beberapa pelajar yang hendak terjun dari tingkat dua bangunan yang sedang dijilat api. Aras dua bangunan itu menempatkan asrama tempat 23 mayat rentung tersebut ditemui.

Selepas menyelamatkan lima remaja, termasuk seorang bayi, anggota bomba itu naik ke asrama selepas diberitahu ada pelajar masih terperangkap.

“Tempat itu gelap, sangat gelap. Asap tebal. Bau daging terbakar menyengat hidung,” katanya.  

Menurutnya lagi, api dapat dikawal lebih kurang pukul 6 pagi. Sewaktu dia naik ke asrama di lantai dua itu, bahangnya masih lagi terasa tetapi dia meredahnya juga.

“Kemudian saya nampak mayat-mayat yang rentung. Saya tak ingat di bahagian mana dan berapa banyak. Nampak berlonggok. Nampak macam mereka berpelukan sebelum ajal datang. Ada yang nampak bertindih. Ada juga beberapa mayat lagi di satu sudut lain.”

"Saya tak usik apa-apa, tunggu forensik datang,” katanya.
Saya cuma boleh bayangkan ketakutan mereka. Apa yang saya boleh saya hanyalah menguruskan mayat-mayat itu dengan penuh hormat. Mereka sudah meninggal dunia, kata Rahim Rashid anggota bomba yang antara pertama tiba di tempat tragedi. – Gambar The Malaysian Insight, 15 September, 2017

Ingatan rakan sekerjanya Rahim lebih jelas lagi. Pakaian seragamnya juga berselimut abu. Berkali-kali dia menepuk dan menguis lembut pakaiannya, membuang abu yang melekat.

“Bohonglah kalau saya kata tak ada rasa apa-apa. Saya manusia juga. Boleh tak kita bayangkan melihat mayat mangsa yang semuda itu begitu? Ramai pulak tu. Saya tengok semuanya pagi tadi. Ada rasa sebak di dada tapi tak keluar air mata. Sedih? Tentulah rasa sedih,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian pada petang semalam.

Dia menceritakan bagaimana dia melihat beberapa mayat dalam keadaan berpelukan di bawah katil dekat dinding, selonggok lagi di satu sudut lain asrama juga dalam keadaan berpelukan.

“Saya cuma boleh bayangkan ketakutan mereka. Apa yang saya boleh saya hanyalah menguruskan mayat-mayat itu dengan penuh hormat. Mereka sudah meninggal dunia. Saya cuma boleh sedekahkan doa sambil angkat mayat-mayat itu keluar,” katanya.

Penyelianya Hamzah Aziz berkongsi sentimen yang sama.

“Ada orang tanya, apakah saya tak lali tengok apa yang saya nampak. Tidak ada orang yang boleh kata hatinya tidak tersentuh. Semua orang yang masuk ke bilik itu menitiskan air mata,” katanya.

Dua puluh satu pelajar dan dua guru tahfiz terbunuh dalam kebakaran itu. Empat lagi pelajar berjaya menyelamatkan diri.

Seorang penduduk setempat, antara yang awal tiba di lokasi kejadian, berkata dia mendengar jeritan mangsa meminta tolong namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana pintu bangunan itu sudah dijilat api. Katanya, dia nampak beberapa orang pelajar terjun dari bangunan manakala beberapa lagi yang lain menggelungsur melalui saluran paip.

Empat pelajar dalam keadaan kritikal sementara tiga mengalami cedera ringan, semuanya dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Sehingga malam tadi, sekurang-kurangnya dua mayat sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga, lapor agensi berita Bernama. Kementerian Kesihatan memaklumkan proses pengecaman identiti menggunakan ujian DNA sedang dijalankan dan keputusannya dijangka akan diketahui lewat hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, api dipercayai bermula pukul 5.10 pagi di tingkat atas bangunan yang menempatkan asrama.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata siasatan pihaknya turut bertumpu pada kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat. – 15 September, 2017.

“bodoh” dan “tidak bertanggungjawab”

Kanak-kanak mangsa kebakaran paling menderita, kata Zaid kepada Noh Omar

  | September 15, 2017
Sikap "tidak apa" pihak berkuasa nampaknya hanya terpakai kepada sekolah agama, kata bekas menteri undang-undang.
PETALING JAYA: Pihak yang paling menderita dalam peristiwa kebakaran sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ialah kanak-kanak yang terperangkap dalam bangunan terbakar itu, kata Datuk Zaid Ibrahim kepada Menteri Tan Sri Noh Omar yang semalam mengumumkan tindakan mungkin tidak akan dkenakan terhadap pihak sekolah kerana penderitaan mereka ketika ini.
Zaid menyifatkan kenyataan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu sebagai “bodoh” dan “tidak bertanggungjawab”, Zaid berkata sikap “tidak apa” pihak berkuasa itulah yang membolehkan kejadian seperti itu berlaku.
Sikap itu nampaknya hanya terpakai kepada sekolah agama, kata Zaid.
“Ingat lagi tak budak di Johor yang mati selepas dipukul di sebuah sekolah tahfiz?
“Dalam kes itu pun tidak ada inkuiri yang sebetulnya diadakan untuk menyiasat apa yang terjadi. Sebaliknya kematian dipersalahkan ke atas keadaan kesihatan yang didakwa dideritai anak itu,” kata Zaid kepada FMT.
Bekas menteri undang-undang itu merujuk kepada kes seorang pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang mati April lalu selepas dibawa ke hospital dengan kecederaan pada tubuh.
Seorang pembantu warden sekolah itu ditahan dan disiasat kerana membunuh, tetapi dibebaskan tidak lama kemudian.
Kematian kanak-kanak itu kemudian dilaporkan bukan akibat trauma atau kecederaan kerana dipukul, tetapi leptospirosis (kencing tikus), dirumitkan dengan nekrosis kulit dan pembekuan darah mikro atau microthrombi, yang menjejaskan saluran darahnya.
Zaid berkata orang ramai keberatan untuk mengambil tindakan setiap kali sesuatu kejadian itu membabitkan kumpulan Islam.
“Peraturan yang sama mesti dikenakan ke atas semua sekolah, sama ada aliran agama atau bukan.
“Kamu mesti sangat tegas dalam hal ini, kerana melibatkan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan sekolah.
“Berapa ramai lagi kanak-kanak yang mesti mati sebelum kita sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem itu?”
Noh Omar berkata sekolah tahfiz itu tidak mempunyai permit sah dari bomba untuk menduduki bangunan itu.
Akibatnya, sekolah itu hanya mempunyai 1 pintu keluar dan bukannya 2 pintu, yang menyebabkan mangsa yang terperangkap dalam kebakaran sukar melepaskan diri.
“Mudahnya untuk Noh Omar kata sekolah itu sudah cukup menderita, kerana anaknya tidak berada di situ. Adakah beliau akan berkata demikian kalau anaknya bersekolah di situ?” kata Zaid.
“Kanak-kanak itu yang paling menderita. Kamu harus berlaku kepada mereka dan pastikan kanak-kanak lain tidak menderita nasib yang serupa.
“Pihak berkuasa harus ambil tindakan terhadap sekolah. Mereka harus didakwa kerana kecuaian.”
Kebakaran yang meragut 21 pelajar dan 2 guru Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung berlaku awal pagi semalam.
Pihak berkuasa pada awalnya mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas.
Bagaimanapun, bomba sedang menyiasat kemungkinan kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat, berdasarkan kepada bukti dan keterangan saksi.
Unit anjing pengesan bomba turut menghidu kesan kimia di kawasan terbakar, dan sampel dihantar ke makmal untuk dikaji.
Mereka yang terselamat dilaporkan memberitahu pihak berkuasa mereka tidak dapat melepaskan diri dari bilik asrama melalui pintu kerana dia silider gas berada di kawasan itu.