Thursday, April 14, 2016

Mahathir pernah tawarkan Muhyiddin jawatan PM

Muhyiddin akui Mahathir pernah tawarkannya jawatan Perdana Menteri
14 April 2016 | DALIA ISMAIL

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau pernah ditawarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad agar mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri selepas BN kalah teruk dalam Pilihanraya Umum ke 12 lalu.

Beliau berkata tawaran oleh Tun Mahathir itu dibuat setelah mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu Timbalan Perdana Menteri tidak menunjukkan beliau berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden Umno untuk membolehkan mengantikan Tun Abdullah.

“Saya pergi ke pejabat Najib selepas seminggu pilihanraya pada 2008 berbincang bagaimana pandangan beliau mengenai Pak Lah selepas PRU12.

“Bacaan politik saya jika Pak Lah ketika itu terus kekal dalam keadaan isu kepimpinannya, kemungkinan kita tidak mungkin dapat bertahan sehingga PRU 13 lalu setelah BN kalah teruk pada PRU12.

“Saya gesa Najib buat begitu (desak Pak Lah lepaskan jawatan) jika hal itu tidak berlaku, saya takut Umno akan kalah dalam pilihan raya.

“ Bukan saya bercita-cita nak jadi timbalan perdana menteri kalau Najib naik, ketika itu saya naib presiden tidak terlintas pun.

“Sebab itu saya jumpa Najib untuk beliau berjumpa Pak Lah supaya berundur. Apa yang saya dan rakan-rakan faham, Najib ni ambil lebih masa untuk buat sesuatu keputusan 'slow' tapi `slow and steady'.

“Sehingga Tun Mahathir panggil saya kerana tidak sabar untuk menunggu jawapan Najib.

“Saya pula diminta bersedia untuk bertanding jawatan Presiden Umno kalau Najib tidak buat keputusan boleh jadi kita, kata Tun, tidak suruh Najib bertanding.

“Sebaliknya saya pula desak dia buat keputusan segera untuk ambilalih kepimpinan negara dari Pak Lah,” cerita Muhyiddin ketika berucap dalam majlis Mencari Kebenaran anjuran Gabungaan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) di Puchong malam tadi.

Desakan untuk seorang Perdana Menteri melepaskan jawatan ujarnya lagi, bukanlah satu perkara baru dalam sejarah kepimpinan negara ini, ia telah berlaku sejak dari zaman tiga perdana menteri terdahulu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

“Peristiwa yang berlaku itu adakah ia menyebabkan tumbang kerajaan BN.

“Sewaktu mana saya terlibat secara langsung (agenda menukar pemimpin) bila Pak lah undur Najib ambil alih dia jadi PM, masih tidak mengubah kerajaan sedia ada pun.

“Kenapa hari ini bila saya mengulangi semula desakan itu untuk mendesak Najib pula berhenti kerana masalah moral dan krisis kepimpinannya, kita pula dianggap melakukan kesalahan dan menuduh menumbangkan kerajaan pula.

“Kalau di pihak pembangkang mereka memanglah nak tumbangkan kerajaan, itu biasalah.

“Kita tandatangan deklarasi untuk desak Najib berundur,untuk selamatkan negara. Jika dia berundur di pihak Umno, MT boleh buat keputusan.

“Ada orang tanya saya Tan Sri ke yang akan ganti? Takpa jika takda rezeki... takdalah rezeki, kalau Datuk Seri Zahid Hamidi pun takpa... sesiapa saja.” luahnya.
Muhyiddin (tiga dari kanan) ketika hadir dalam program anjuran GKCM di Puchong malam tadi.

Najib turun tidak yakin rakyat kembali sokong BN

Bagaimanapun Muhyiddin meramalkan walaupun berlaku pengunduran Najib beliau tidak menyakini rakyat akan kembali menyokong kerajaan BN.

“Saya tak pasti. Kenyataan yang dibuat oleh pasukan anak muda Challenger yang diketuai Syed Saddiq misalnya menyebut  90 peratus golongan muda menentang kerajaan saya tidak suka dengar cerita itu.  Tapi inilah realiti dan malah  kajian pusat strategi di tempat lain juga menyatakan perkara yang lebih kurang sama yang telah banyak kali saya sebut.

“ Dalam keadaan biasa selalunya 55-60 peratus bumiputera/ bukan bumiputera sokong BN kini sudah inggal 30 peratus.

“ Kebimbangan kita bagaimana nak selamatkan keadaan ini.

“Takpalah saya jadi mangsa kalau boleh membantu membuat perubahan dan memulihkan keyakinan dan sokongan rakyat... saya tidak tahu sama ada usaha ini akan berjaya atau tidak,” ujar Ahli Parlimen Pagoh ini.

Menurut Muhyiddin sama ada Najib melepaskan jawatan atau tidak terserahlah pada Presiden Umno itu.

Namun ujarnya, rakyat berhak menyuarakan pandangan, tidak boleh berdiam diri untuk terus bersuara menyelamatkan parti dan Umno berbanding berdiam diri seolah mengizinkan seorang perdana menteri menyalahgunakan kuasa yang ada padanya.

“Saya bukan lagi timbalan perdana menteri, timbalan presiden parti, hanya ahli Umno

“Saya bersuara untuk pertahankan Umno. Di kalangan Majlis Tertinggi dan  ketua bahagian Umno takanlah mereka tak tahu apa berlaku.

“Kalau mereka ambil satu pandangan betapa seriusnya keadaan yang ada pada hari ini, PM harus ambil kira jika ada desakan ini dilakukan dari dalam.” ujarnya.

Malah Muhyiddin menegaskan ahli MT mempunyai kuasa dalam perhimpunan agung Umno jika sepakat untuk mendesak Najib turun.

:“Saya diberitahu mereka sudah makan dedak sebab itu tidak ada satu suara meminta PM turun. Desakan untuk PM berundur bukan kuasa pada ‘presiden’ tetapi kuasa itu pada majlis tertinggi, tetapi mereka tidak berani.

“Saya yakin sebahagian rakyat sedar masalah yang mereka hadapi masa kini iaitu kes 1MDB. Laporan PAC masih tidak lagi boleh dikatakan telah selesai.

“1MDB masalah besar . Jika tidak buat sesuatu akan menjejaskan parti dan negara,” tegasnya dihadapan lebih 500 penyokong malam tadi.

1 comment:

  1. Sekarang ni apa yang pasti, Malaysia dibawah pimpinan UMNO akan hancur, tak kira jika Najib undur dan pemimpin UMNO lain yang ambil alih. Maka jalan penyelesaian yang paling logik adalah menyerahkan kepimpinan negara kepada selain dari UMNO. Walaubagaimanapun, kepimpinan negara mestilah ada ditangan orang2 yang arif, bijaksana serta amanah lagi bertanggungjawab, ciri2 yang takde pada orang2 UMNO dan juga lebai2 PAS. Maka, pilihannya hanyalah kepada PH. Kepimpinan negrara dibawah UMNO dan PAS kedua2nya ibarat memberi bunga kepada beruk.

    Nick.
    Cape Tiger.

    ReplyDelete