Tuesday, April 19, 2016

Pembebasan Anwar: Betul ke Mahathir sokong?

Tun M sokong pembebasan Anwar?
pada 19-04-2016 02:04 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar 
PETALING JAYA:  Datuk Khairuddin Abu Hassan yang dipecat daripada Umno, membuat kejutan apabila membayangkan Tun Dr Mahathir Mohamad 'secara tersurat atau tersirat' menyokong agenda PKR menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Justeru  beliau berkata kritikan pemimpin-pemimpin PKR terhadap mantan Perdana Menteri itu harus dihentikan. 

"Jika Mahathir mengambil sikap berterusan menyerang Anwar, sudah tentu beliau tidak akan berkolaborasi dengan semua pimpinan Pakatan Harapan," kata bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu.

"Beberapa program yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH), contohnya yang dianjurkan Rafizi Ramli di Pandan secara terang-terangan merupakan sebuah program untuk membebaskan Anwar. Tetapi Mahathir juga menghadiri program itu. Jadi apa maknanya?

"Fikirkan secara tersurat dan tersirat. Saya minta semua rakyat berfikir. Kita jangan cepat melatah kerana banyak pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memecahbelahkan perpaduan kami hari ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang media Selamatkan Malaysia, di Gerak Budaya, pagi tadi.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR, sebelum ini menyifatkan Mahathir sebagai seorang diktator lapok yang tidak lagi diperlukan oleh negara. 

Presiden PKR dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan muncul sepentas dengan Mahathir meskipun partinya bersekongkol dengan Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi apa yang disebut sebagai Deklarasi Rakyat.

Beberapa hari lalu, Ketua Cabang PKR Balik Pulau, Datuk Halim Hussein mendesak  Mahathir menghentikan segala kritikan terhadap Anwar, dengan menyifatkan tindakan memburukkan pemimpin itu menonjolkan 'percanggahan' dan tidak membantu kepada kejayaan Deklarasi Rakyat.

Ia berikutan temubual antara Mahathir dan akhbar The Australian, apabila mantan perdana menteri itu mendakwa Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya.

Mahathir juga mempertahankan keputusannya memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998 dengan alasan beliau 'tidak bermoral'.

Dalam ceramahnya awal minggu ini, Mahathr enggan memberikan sokongan terbuka kepada pembebasan Anwar dan mendesak semua pihak untuk berhenti mendesaknya memohon maaf.



# Pada aku sosok yang bernama Mahathir ni, selagi tidak kedengaran yang tersurat, agak susah aku nak percaya tambahan lagi dari mulut orang lain umpama ajinomoto bagi menyedapkan gulai

No comments:

Post a Comment