Monday, April 25, 2016

Hanya ini jalan penyelesaian politik Terengganu.....

Hanya undi tak percaya jalan penyelesaian, kata pakar perlembagaan
24 April 2016 | HAZAYANI ZAKARIA
Abdul Aziz Bari

Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu perlu menerima usul undi tidak percaya yang dibawa pihak tertentu terhadap menteri besarnya bagi menamatkan segera krisis yang melanda negeri itu, kata pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, tindakan speaker Dun Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong tidak membenarkan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman adalah salah kerana menghalang proses perlembagaan.

“Di sisi perlembagaan hayat kerajaan yang memerintah ditentukan oleh sokongan dalam dewan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Pada 8 Mac lalu, bekas menteri yang juga Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said membuat usul tidak percaya kepada Razif namun ditolak usul itu oleh Zubir.

Penolakan usul itu menyebabkan kerajaan negeri terus bergolak kerana jumlah Adun kerajaan dan pembangkang hampir sama. 

BN kini tinggal 14 Adun, PAS (14) manakala PKR (1) dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.

Menurut Abdul Aziz, jika kerajaan negeri yang ada tumbang oleh undi tidak percaya, kerajaan yang baharu perlu dilantik melalui perlantikan menteri besar baharu.

“Oleh kerana kerajaan perlukan sokongan mandat rakyat saya fikir menteri besar baru ini perlu memberi komitmen untuk memohon pembubaran dewan dari Sultan (setelah dilantik jadi MB) supaya rakyat negeri itu boleh memilih parti mana yang mereka mahu untuk mentadbir negeri,” katanya sambil menyimpulkan undi tidak percaya adalah langkah pertama untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil melalui pilihan raya. 

Tambah beliau juga, sekiranya pilihan raya diadakan, Terengganu sama juga seperti Sarawak , tidak perlu mengikut tempoh pembubaan parlimen atau negeri lain.
Semalam, sumber dari Terengganu memberitahu, negeri itu besar kemungkinan akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRN Sarawak apabila berlaku krisis Razif dengan istana.

Menurut sumber, kata sepakat hampir dicapai agar PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut yang ada di negeri itu.

Namun, Ahmad Razif dikatakan tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya ini.

Mengulas perkara ini, Abdul Aziz berkata, dari segi prinsip Sultan perlu melantik sebuah kerajaan yang stabil dan mampu menguruskan negeri tanpa diganggu undi tidak percaya.

“Selagi itu boleh dilakukan dalam konteks Dun yang ada tidak perlu pilihan raya umum negeri diadakan.

“Tetapi nampaknya kerajaan yang ada sentiasa diganggu oleh undi tidak percaya dan ini tidak boleh dielakkan selagi kerajaan yang ada itu mempunyai majoriti sokongan yang kecil,” katanya yang juga pensyarah Universiti Selangor (Unisel).

1 comment:

  1. Hadi marang akan wala pd najib sebab dedak yg ditaburkan.
    Jgn harap hadi marang akan arahkan pas sokong usul undi tak percaya pd umno

    ReplyDelete