JKOAK rayu hentikan pembalakan hutan di Kelantan
Dendi berkata, pekerja syarikat pembalakan mengugut akan membawa polis dan tentera, jika pihaknya terus cuba menghalang mereka daripada menebang pokok-pokok
PETALING JAYA: Kaum Temiar merayu pihak berkuasa dan orang ramai berganding bahu menghentikan pemusnahan hutan di Kelantan.
Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asal Kelantan (JKOAK), Dendi Johari berkata, sebuah syarikat pembalakan mendakwa mendapat kelulusan Menteri Besar Kelantan untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan hutan seluas 400 ekar di Kampung Berig, dekat Gua Musang.
Manakala sebuah lagi syarikat pembalakan mendakwa memperoleh konsesi pembalakan di tanah seluas 100 ekar di Kampung Jader, dekat Gua Musang.
“Kami telah cuba menghalang pencerobohan pembalak-pembalak itu, tetapi gagal. Pekerja syarikat pembalakan mengugut akan membawa polis dan tentera, jika kami terus cuba halang mereka daripada menebang pokok-pokok.
“Setiap hari, kita menangis melihat beratus-ratus pokok berdiameter setinggi seorang lelaki dibawa traktor dan lori. Banyak tumbuhan dan pokok telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, aktiviti pembalakan itu adalah punca banjir besar melanda Kelantan, dua tahun lalu, manakala tahun ini, negara berdepan cuaca panas melampau dan musim kering.
“Sungai kami telah dicemari mendapan daripada penarahan bukit dan ladang kelapa sawit. Ramai kanak-kanak dan orang tua jatuh sakit, selepas meminum air sungai yang tercemar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu orang ramai turut serta dalam usaha melindungi khazanah sumber asli yang menjadi milik rakyat Malaysia, demi manfaat bersama.
Ada org nak upgrade keta baru la tu..
ReplyDelete