Saturday, April 16, 2016

Kebangkitan politik: Bangsa Johor jadi pelupor?

Kebangkitan politik Johor
Posted on Friday, April 15 @ 16:52:31 MYT by paktam
Oleh Hasmi Hashim

Nan diam lebih bahaya dari yang berkocak. Di permukaan meski tampak tenang, arus bawah politik di Johor sesungguhnya sedang berpusar ligat. Johor bukan bangsa yang rela diam. Tidak pula rela tunduk diperbodoh dan diperkotak-katik 

Saya yakin, salahlah sesiapa yang menyangka hati orang Johor boleh dibeli, misalnya dengan rel besi kereta api laju yang akan merentas Johor dari Singapura ke Kuala Lumpur.


Gelojak keresahan orang Johor dapat saya tanggap melalui luahan di banyak tempat. Selain kenyataan wujudnya percubaan menggantikan Menteri Besar, Khaled Nordin (gambar) seperti yang kita dengar kelmarin, saya juga membaca nada penentangan luar biasa kawan-kawan dan saudara mara Johor saya di status Facebook atau Twitter mereka.

Atas kesedaran wujudnya gelora di peringkat akar umbi Johor kala ini, maka perbincangan mengenainya harus dengan jujur. Kita harus berani berterus terang. Watak Johor mungkin seperti watak seorang Onn Jaafar, atau mungkin lebih tepat seperti yang dilakar Usman Awang, “kurang ajarnya tetap santun”. Selalu menikam dengan pantun.

Catatan sejarah selepas merdeka menunjukkan gelombang politik paling kuat membadai Johor adalah ketika krisis dalaman Umno di penghujung 1980-an. Krisis berkenaan membuatkan suasana tegang dan agak berkecamuk bilamana Johor merupakan negeri kelahiran Umno yang menjadikannya tiang seri parti itu.

Perpecahan Umno di peringkat pusat di antara Tim A dan Tim B juga berpanjangan ke kampung-kampung. Tim A pro Dr Mahathir Muhamad. Tim B pula menyokong Tunku Razaliegh Hamzah. Keluarga saya menyokong Dr Mahathir. Jiran saya menyokong Tengku Razaleigh.

Walaupun Tengku Razaleigh putera Kelantan, tetapi calon timbalannya adalah Musa Hitam. Musa merupakan tokoh yang dianggap tokoh terbaik Johor kala itu. Menjadi impian orang Johor, Musa suatu hari nanti menjadi perdana menteri. Harapan itu nampaknya hanya tinggal harapan.

Di bawah Musa ada orang-orangnya. Termasuk Shahrir Samad—anggota Parlimen Tanjung Puteri. Selepas dicabar kerana menang atas tiket Umno-BN dalam pilihan raya umum 1986, Shahrir meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen. Dia kemudiannya bertanding semula sebagai calon bebas dengan logo kunci tiga serangkai.

Shahrir menang. Dia mematahkan calon BN, Mas'ud Abdul Rahman. Majoritinya lebih 12,000. Turut bertanding adalah calon Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), Razak Ahmad yang mengutip 2,260 undi. Kepada saya, Razak tak kurang karismatiknya meski sepanjang hayat politik Razak, nasib tidak pernah menyebelahi allahyarham.

Langkah Shahrir adalah permulaan bagi geng Tim B menjadikan Johor sebagai tapak politik. Umno yang diharamkan pada 4 Februari 1988 menyebabkan kedua kem berkenaan berebut untuk warisi Umno yang asal. Dr Mahathir segera menubuhkan Umno Baru sepuluh hari selepas pengharaman. Tungku Razaliegh pula mendirikan Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) sebagai bayangan kepada Umno lama. Keduanya berorentasi parti bangsa Melayu.

Nasi beriani bertanak-tanak

Ternyata Dr Mahathir lebih cekap. Dengan jenama "Umno Baru", lebih 50 peratus keanggotaan ahli Umno asal dapat didaftarkan semula. Jumlah tersebut membolehkan Umno Baru mendapat hak ke atas semua aset, harta dan kewangan Umno asal. Perkataan “Baru” juga akhirnya berjaya digugurkan.

Ketika Umno di Johor terbelah dua dan krisis berpanjangan, seorang lagi tokoh muda Johor waktu itu, Muhyiddin Yassin memainkan peranan besar. Beliau baru tiga tahun menjadi MB Johor.

Di tengah-tengah perpecahan dan kekeliruan, Muhyiddin (gambar) menganjurkan Perhimpunan Melayu Johor pada 11 Disember 1989. Pada umur 13 tahun, bapa turut mengusung saya ke bandar Maharani, Muar untuk bersama dalam “Perhimpunan Melayu Johor: Kesinambungan Perjuangan Bermartabat”. Di meja-meja makan, dihidang nasi beriani bertanak-tanak banyaknya.

Di pentas, turut berpidato adalah mantan PM ke-3, Hussein Onn. Dia menyeru orang Melayu kembali bersatu. Di situ juga Usman Awang mendeklamasikan puisi “Melayu” yang saya petik di atas tadi.

Sejak perhimpunan berkenaan, Semangat 46 makin lemah. Ibarat terkena semburan berpuaka.

Parti itu juga tidak lagi dilihat sebagai wadah yang boleh diharap oleh orang Melayu walaupun kempennya pernah begitu agresif pada pilihan raya umum 1990. Semangat 46 pelan-pelan terpandang hanya sebagai “parti Tunku Razaleigh” dan para pengikutnya yang berhati hampa ketika berhadapan dengan kubu Dr Mahathir.

Sejarah membuktikan Tengku Razaleigh dan agennya di Johor iaitu Musa dan Shahrir, kalah dalam pertarungan dengan tim A, baik di Johor mahupun dalam skala nasional. Tidak hairanlah, Dr Mahathir sampai hari ini masih sangat popular di serata pelosok Johor.

Gelora penghujung 80-an sehingga pertengahan 90-an itu adalah gejolak yang memunculkan penentangan secara nyata. Geloranya juga terasa lebih besar ketimbang pilihan raya kecil parlimen Batu Pahat pada Disember 1957 di mana pendiri Umno yang mewakili Parti Negara, Onn Jaafar ditentang calon Umno-Perikatan, Syed Esa Alwee. Persaingan sengit menyaksikan Onn kecundang dengan majoriti lebih 6500 undi.

Batu Pahat sudah sebati dengan Umno. Usaha menewaskan Umno Batu Pahat memang bukan mudah. Onn sendiri sebagai mantan pegawai daerah Batu Pahat pun gagal untuk menelan kembali Umno yang dia juga tubuhkan pada 1946.

Bukan lagi Umno Datuk Onn

Hari ini kita hanya boleh membayangkan bagaimana takutnya Tunku Abdul Rahman yang mengambil alih Umno dari Onn. Seratus biji kereta dikerah mengangkat pengundi bagi memastikan Onn tumpas di kampung halaman dan negerinya sendiri. Onn perlu dihina sehabis-habisnya.

Seraya tiba PRU ke-13 lalu, Parlimen Batu Pahat yang menjadi tapak psikologi dan moral Umno Johor berjaya digamit PKR. Faktor calon yang diletakkan PKR iaitu orang lama Angkatan Belia Islam (ABIM), Idris Juzi memberi isyarat luar biasa di mana orang Batu Pahat yang pernah bersama mendirikan Umno, kini orang Batu Pahat jualah yang telah memulakan langkah untuk menghabisi parti itu.

Kemenangan di Batu Pahat juga adalah batu tanda kepada kebangkitan sepenuhnya rakyat Johor yang mahu membuka lembaran baru politik tanah air. Tanpa kemenangan keseluruhannya di Johor, politik Malaysia amnya tidak akan dapat berubah banyak.

Dalam waktu sama, Johor sudah tentu tidak mahu tercicir dan ketinggalan ketika Melayu khususnya di negeri-negeri lain di Semenanjung tampak sudah mengorak langkah meninggalkan Umno-BN. Senario di Lembah Klang, misalnya, menjadi kayu ukur dan cerminan kepada rakyat Johor bahawa reformasi juga akan membawa berkat dan manfaat kepada rakyat dan negeri.

Perubahan juga memungkinkan dapat dikembalikan kuasa kepada rakyat; kuasa yang di dekad-dekad akhir ini dibolot golongan elit pemerintah. Apabila kuasa yang diambil daripada elit itu dapat dipulangkan ke pundak rakyat, dengan sendirinya ketidakadilan, penindasan dan korupsi yang kian membuncit dapat terhindar.

Perasaan ingin berubah semakin kuat apabila rakyat menyaksikan kepincangan kepimpinan Putrajaya yang lepas satu, satu sehingga seolah-olah tanpa tapal batas. Orang Johor juga mulai terfikir bagaimana anak watan mereka dipancung secara politik seorang demi seorang.

Mula-mula Onn. Selepas itu Musa. Baru kelmarin Muhyiddin pula disingkirkan begitu sahaja daripada jawatan kedua tertinggi apabila hanya kerana dia mempersoal hutang besar 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun Perdana Menteri Najib Razak.

Pemecatan Muhyiddin mungkin tidak banyak beri kesan kepada jalan politiknya seorang Muhyiddin. Pemecatan Muhyiddin telah lebih membuatkan watan Johor kembali berfikir, apakah bentuk politik yang mahu mereka karang dan gubah mulai detik ini demi masa depan nusa dan bangsa?

Sesiapa pun yang ada Putrajaya kalau tetap dari parti yang sama, bukan lagi harapan. Melayu Johor sendiri diam-diam mulai menginsafi bahawa Umno semasa bukan lagi Umno Datuk Onn yang mereka kenal. Umno hari ini adalah Umno yang tidak lagi demokratik. Nama “Melayu” hanyalah barang jualan politik murahan.

Harapan pada kereta usang

Kata-kata pemimpin sudah jadi wahyu. Perlakuan pemimpin Umno yang bobrok itu pula hanya menjadi teladan buruk kepada generasi muda. Rasuah bagaimana besar sekalipun adalah halal apabila dilakukan atas nama parti dan bangsa.

Melayu tidak sebangsat itu. Terus bergantung harap kepada Umno ibarat bergantung harap kepada kereta usang. Ketika ini, Umno tidak boleh lagi dipersalahkan kerana kereta ia sememangnya kereta lama berkuasa kuda 1.3 sahaja. Terus bergantung harap kepada Umno bukan masalah Umno. Kalau orang Melayu terus bergantung harap kepada Umno, itu adalah salah dan masalah orang Melayu itu sendiri.

Saya yakin Melayu Johor sedar sangat perkara ini. Hanya yang menjadi persoalan, apakah wadah atau parti yang boleh disandarkan harapan dan nasib mereka kalau bukan Umno-BN?

Bagi saya, Onn sudah pun menunjukkan wajah parti masa depan itu lama dahulu ketika beliau meninggalkan Umno. Ketika beliau endirikan sebuah parti berbilang kaum.

Parti berbilang kaum yang ditunjukkan oleh Onn harus pula tetap menjadikan Melayu sebagai terasnya. Parti berbilang kaum tanpa majoriti Melayu tidak akan diterima orang Melayu kerana ia tidak mewakili realiti geopolitik Malaysia. Tidak ada gunakan sebuah parti yang mendakwa sebagai berbilang kaum, tetapi dengan kaum minoriti menguasai sehingga 90 peratus keanggotaan dan jawatan tertinggi.

Kegagalan memahami realiti inilah yang membuatkan banyak parti gagal untuk menggantikan Umno. Terutama apabila tidak menarima kenyataan Johor adalah sebuah negeri tradisionalis yang berjaya. Parti yang membawa roh “kaum muda”, walaupun bercorak agama, juga terbukti tidak diterima di Johor.

Bagi orang Johor, Johor bukan sahaja Arab Saudi, bukan India dan Pakistan. Johor juga bukan Aceh. Meskipun sebagai negeri tradisionalis, payah pula orang mahu menafikan bahawa pendidikan agama di Johor telah berjalan dengan baik. Tidak menjadi masalah untuk anak Johor selepas Isyak berlatih ghazal pula.

Hal ini sekali gus menjadi tamparan kepada kaum muda yang mahu membawa perubahan kepada corak dan wajah agama orang Melayu apabila di tempat atau negeri lain, belum tentu sistem pendidikannya sesistematik dan sebaik Johor.

Kekuatan Islam di Johor adalah apabila agama orang Melayu itu dapat bersekali larut dengan aspek kebudayaan dan tradisi. Bahkan Islam tidak pernah menjadi musuh pembangunan. Melayu Johor dengan jelas dapat memisahkan antara Islam dengan budaya Arab, tanpa dalam masa sama tidak perlu pula memusuhi bangsa Arab.

Melayu punya budayanya sendiri. Tidak menerima budaya Arab bukan bererti memusuhi bangsa Arab. Bahkan ramai sekali orang Arab yang menjadi saudagar besar baik di Singapura mahupun Johor.

Pihak yang mahu membawa Islam yang melekat bersekali dengan nuansa Timur Tengah, India dan Pakistan misalnya tidak akan mendapat tempat di Johor. Begitu juga parti yang dengan panji-panji Islam yang asing daripada Islam yang sudah ratusan tahun bertapak di Johor, juga sukar diterima.

Islam sederhana

Oleh kerana Islam di Johor adalah tradisionalis, maka ia menjadi sangat sederhana. Sudah terbukti ia sesesuai sekali dengan jiwa Johor itu sendiri.

Dalam penilaian inilah, Johor sedang menentukan politik barunya. Baru dari sudut kepartian, tetapi bukan kebudayaan. Baru dari sudut tekad menolak kejahatan, kezaliman dan penindasan, tetapi bukan menjadi keliru sehingga tak kenal akar bangsa.

Saya yakin, orang Johor tidak akan mudah-mudah termakan umpan apapun di saat mereka juga tahu bahawa parti tua yang sekian lama memerintah negeri dan negara ini sedang di ambang hujung kuasa. Tiada gunanya menyalakan api pada pelita yang sudah kering minyaknya.

Gelora dan pusaran di dalam hati orang Johor dapat saya rasa. Ia lebih hebat daripada saat yang paling getir ketika gelombang politik pasang tinggi pada penghujung 80-an dulu sekalipun.

Seperti sejarahnya Johor, watan Johor akan bertindak dengan kekuatannya sendiri. Tanpa mengharap dibantu. Terutama dari luar. Hanya kala mana rakyat Johor sedia berubah, maka perubahan di peringkat kebangsaan akan menjadi lengkap dan benar-benar bererti. Pada ketika itu, kepada Allah berserah selepas segala ikhtiar telah kita gubah.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi

No comments:

Post a Comment