Sunday, April 10, 2016

Adakah Najib pak turut atau pak pandir?

Hazlan Zakaria      
ULASAN Arakian sesuatu yang kita perlu teliti dan fikir, jika benar Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak bersalah dalam kelompongan dan kelemahan pentadbiran syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad ataupun ringkasnya 1MDB, nescaya adakah bermakna beliau seorang Pak Turut atau Pak Pandir?
Sayugia selepas saja keluarnya laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (JKA) tentang kemelut itu, maka berpusu-pusulah gerangan pengikut setia si perdana menteri melaungkan yang "Najib tidak bersalah".
Maka bertempiklah si pahlawan Melayu jati Sabah, teuku dari Indonesia, akak senteng tangan dan angkat kain, peng-Tweet tersohor dari Kota Belud dan mereka yang sewaktu dengannya membuka langkah dan tari silat.
Namun adakah mereka fikir yang jika berlandaskan laporan JKA terbabit, Najib memang sah dan tidak was-was lagi, adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Ia semestinya halal dan toyyiban.
Arakian walaupun bukan seakan tuan penasihat dalam cerita klasik P Ramlee Tiga Abdul, yang mendapat dua puluh lima peratus hasil dari putar belit saudagar penipu Sadik Sigaraga, jawatan tersebut disebut, katanya, sebanyak 39 kali dalam laporan JKA.
Ya tiada nama Najib Abdul Razak dalam laporan itu, tapi ada disebut jawatan pengerusi lembaga penasihat, walaupun bukan tuan penasihat dua puluh lima peratus.
Tapi Datuk Seri Najib yang ada dua perpuluhan enam billion dalam akaun peribadi adalah perdana menteri dan sekaligus pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Melainkan ada seorang lagi Datuk Seri Najib, seorang kembar seiras yang jahat mungkin? Tapi ini benar-benar, dan bukan dugaan cerita hindustan atau opera main sabun, jadi tentulah tidak.
Dan lebih penting lagi perlu diingatkan yang Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB juga, seperti dilaporkan oleh JKA itu menyatakan yang segala aktiviti dan polisi syarikat termasuklah pelaburan dan pinjaman yang telah menjerat dan menjerut leher firma terbabit perlu mendapat kebenaran bertulis dari si perdana menteri.
Sekali lagi perlu diingatkan yang istilah perdana menteri pada masa ini dan ketika pelaburan dan pinjaman 1MDB dilaksanakan, hanyalah menuding kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak. Dia belum lagi letak jawatan atau kalah pilihanraya dulu dan kini, adapun adakah untuk selamanya, itu soalan yang belum pasti lagi.
Berbalik kepada isu pokok, jika Najib meluluskan pelaburan 1MDB yang kini menjerut kerajaan dan rakyat tanpa terpalit sebarang unsur kesalahan, maka hanya ada dua jawapan yang mungkin.
Pertamanya, Najib ini Pak Turut yang ikut telunjuk pihak penasihat beliau ataupun pihak pentabdiran 1MDB kerana dia hanya meluluskan apa yang mereka cadangkan tanpa elemen penyalahgunaan.
Adakah Pak Turut Najib ini sesenang itu ditipu mereka yang berniat serakah?
Najib tidak bersalah
Tapi perlu diingatkan yang "Najib tidak bersalah".
Dan jika Najib tidak bersalah, adakah beliau seperti Pak Pandir yang kurang cerdik dalam hal menguruskan kewangan, walaupun secara peribadi beliau sudah tersohor dengan kebolehan mengendalikan wang RM2.6 billion dalam akaun peribadi?
Walhal takkanlah beliau akan meluluskan pelaburan dan pinjaman yang merbahaya kepada 1MDB dan negara jika beliau arif hal kewangan dan bukan Pak Pandir ataupun berniat yang kurang seciput dari baik?
Tapi perlu saya ulangi "Najib tidak bersalah".
Jadi kepada mereka yang melaungkan dan bertempik melepaskan Najib dari kesalahan, perlu bertanya kepada diri mereka, adakah mereka berkata yang Najib ini seakan Pak Turut atau Pak Pandir?
Mungkin mereka ada penjelasan bernas, dan saya sebagai manusia biasa tanpa kedudukan dan kesenangan seperti mereka, saya hanya boleh berserah kepada kepandaian mereka untuk menjelaskan segalanya, kerana sesungguhnya mereka tahu semuanya macam Nujum Pak Belalang.
Wallahualam

No comments:

Post a Comment