Saturday, May 14, 2016

Hasrat Pengundi Sungai Besar yang cerdik.......

PRK Sungai Besar: Pengganti perlu juarai isu setempat, disenangi kawan dan lawan
Syah Hairizal Kamalul ArifinAstro Awani |  Mei 13, 2016 15:47 MYT

PRK Sungai Besar: Pengganti perlu juarai isu setempat, disenangi kawan & lawan
PRK Sungai Besar mungkin bakal menyaksikan pertembungan beberapa parti politik yang mahu muncul sebagai pembela masyarakat setempat. - Gambar hiasan
TEMPAT yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Noriah Kasnon di Parlimen Sungai Besar bukan sembarangan kerusi untuk diduduki.

Sesiapapun yang menjadi calon pengganti Noriah, yang minggu lalu terkorban dalam nahas helikopter RPC 6828 di Sebuyau, Sarawak, perlulah terpilih dari klangan individu yang tahu secara menyeluruh tentang denyut nadi masyarakat di Parlimen terbabit.

Jika diikut kepada resam politik dan parti yang diperjuangkan Noriah, penamaan calon seterusnya diramal jatuh kepada Ketua Bahagian UMNO di sesebuah kawasan dan untuk ini, Datuk Jamal Md Yunus adalah individu tepat parti itu jika dilihat secara matematiknya.

Sudah pasti proses melobi kini sedang rancak berlangsung dan kedudukan calon teratas mungkin berubah mengikut sokongan sebenar akar umbi dan ini berlaku kepada setiap parti yang bakal bertanding.

Pertandingan pada pilihan raya kali ini mungkin bakal menyaksikan empat parti bertanding iaitu calon dari Barisan Nasional (BN), PAS, DAP dan PKR dan mungkin akan wujud penyertaan dari Parti Amanah Negara - PAN.

Jika dilihat kepada pola pengundian mengikut kaum, Melayu memiliki peratusan terbesar 66 peratus berbanding Cina kedua 31 peratus dan India ketiga dengan 2 peratus.

Berdasarkan kecenderungan pengundi Melayu di Parlimen itu ketika ini, ditambah pimpinan kerajaan negeri di bawah kerajaan pakatan, BN hanya perlu berdepan DAP, PAS dan PKR, dan ia adalah pertarungan sengit.

Bagi BN mempertahankan kerusi itu di Parlimen Sungai Besar adalah satu tugas wajib dan ia dilihat mampu dilakukan kerana terdapat satu kerusi DUN yang dikuasai BN di Sungai Panjang, diwakili YB Budiman Mohd Zohdi.

Sementara itu, bagi DAP atau Pakatan Harapan, usaha memenangi kerusi tersebut juga dilihat tidak mustahil kerana sebuah lagi kerusi DUN di Parlimen itu, iaitu Sekinchan, diwakili YB Ng Suee Lim.

Kedua-dua YB di DUN terbabit aktif dalam pandangan masyarakat dengan dibantu jentera parti masing-masing, Budiman sering dilabel wakil rakyat yang sentiasa turun padang dan Suee Lim pula dilabel mesra rakyat kerana kepetahannya dalam dialek Melayu termasuk Banjar.

Walau bagaimanapun, keramahan dan keprihatinan pemimpin di kedua-dua kawasan tersebut tidak dapat menolak sentimen Islam dalam kalangan pengundi.

Pesaing terdekat

Bagi PAS, kerusi yang ditinggalkan Noriah pasti tidak hanya akan diintai.

PAS sebelum ini adalah pesaing terdekat BN jika dilihat kepada perbezaan sebanyak 399 undi pada pilihan raya 2013.

Biarpun ditentang hebat parti lawan dalam arena politik, ciri kepimpinan Noriah yang menyantuni semua lapisan masyarakat tidak kira kawan mahupun lawan, perlu diteruskan calon seterusnya.

Umum tahu, Noriah turut disenangi ahli parti lawan terutama dari PAS.

Pastinya pengundi di Sungai Besar akan dahagakan pemimpin seumpamanya malah mungkin lebih lagi terutama yang melibatkan soal yang berkait rapat dengan pembangunan.

Dalam maklum balas yang diterima setakat ini, calon-calon yang bakal bertanding nanti perlu memperhalusi beberapa perkara terutama yang menyentuh soal sikap turun padang oleh pemimpin parti-parti yang bertanding.

Tolak pemimpin bermusim

Menurut seorang pengusaha di Sungai Besar, Norhashimah Mat, 36, beliau tidak mahu pemimpin bermusim yang menonjol seketika dan hanya muncul menjelang pilihan raya.

“Kebanyakan pemimpin suka menonjol di media sosial sehingga lupa bahawa pengundi di Sungai Besar bukanlah semua yang berkemampuan untuk memliki komputer atau telefon bimbit mahal untuk melihat perkembangan mereka.

“Saya bimbang bagi mereka yang mengikuti pemimpin dari mana-mana parti dengan hanya merujuk di media sosial, tanpa mengambil kira aspek pembangunan yang konkrit.

“Banyak perkara lain yang perlu dilihat terutama isu pendidikan, pembangunan dan yang berkaitan pertanian.

“Semua tersedia tapi tak terjaga, jika terjaga pula tidak ditambah baik," ujarnya yang ditemui di premis perniagaannya di Sungai Besar baru-baru ini.

Hasil pertemuan bersama Norhashimah dan beberapa pengundi di Sungai Besar baru-baru ini turut menemukan beberapa perkara serius yang perlu dititikberatkan.

Ia bukan saja perlu diberi perhatian oleh calon parti bertanding, malah memerlukan campur tangan pihak berwajib.

Isu pendidikan

Antara isu terbabit adalah isu pendidikan bagi golongan belia. Selain pendidikan asas yang disediakan, pengundi mendakwa sejak sekian lama hanya Pusat GiatMara yang dilihat sebagai pilihan belia di Parlimen itu.

Jelas mereka, kolej komuniti dan politeknik yang berada di daerah tersebut pula diisi pelajar luar yang akhirnya tidak menyumbang balik kepada belia di situ.

Selain peluang pendidikan atau program latihan berterusan untuk golongan tersebut, Parlimen itu juga memerlukan kawasan perindustrian yang menawarkan peluang pekerjaan, hasil tarikan pelaburan luar ke daerah itu.

Dengan kewujudan perkara seumpamanya, belia di daerah itu tidak hanya akan merancakkan sektor pertanian yang sudah mula diceburi golongan itu, malah akan lebih berdaya saing untuk pembangunan sahsiah diri.

Penekanan kepada isu belia ini dilihat tidak hanya refleksi pada sesebuah daerah malah negeri secara keseluruhan tanpa sebarang pilih kasih.

Hartanah dan nasib nelayan

Penduduk Sungai Besar bertambah dari tahun ke tahun dan tentunya hal memiliki kediaman menjadi perkara penting dalam senarai mereka.

Dalam isu projek perumahan, timbul rengusan dalam kalangan penduduk setempat yang resah mengenai harga rumah yang tinggi.
Penduduk mendakwa harga RM300,000 hingga RM400,000 bagi sebuah rumah adalah tidak sepadan dengan pendapatan penduduk dan mendakwa harga terbabit diletakkan atas keputusan kontraktor dan bukannya kerana nilai tanah yang tinggi.

Isu nelayan Melayu juga perlu dititikberatkan dan ia bukanlah isu baharu.

Perlu dilihat siapa peraihnya, bagaimana perbezaan harga jika nelayan bukan dari kalangan kumpulan peraih.

Di pasar, perlu juga dilihat secara keseluruhan prosesnya yang bermula dari peraih, pemborong hinggalah kepada peruncit dan peniaga.

Isu pengagihan kawasan memukat ikan di laut turut disuarakan penduduk yang akhirnya menjuruskan kepada soal kesamarataan.

Secara keseluruhan, kesemua isu yang dibangkitkan hanyalah menyentuh di permukaan isu sebenar yang dibangkitkan penduduk.

Sebagai cadangan, apa kata calon-calon yang bertanding dekati juga golongan petani dan pesawah yang selama ini keluhan mereka mungkin terlepas pandang.

Dekatilah semua lapisan masyarakat, kerana mereka bukan sekadar pengundi yang hanya diperlukan mengikut musim.

Kepada bakal calon yang akan dinamakan nanti pada 5 Jun, perlulah melihat semua itu sebagai keutamaan dan tanggungjawab untuk duduk di kerusi yang dihormati.

* Syah Hairizal Kamalul Arifin ialah wartawan Astro AWANI yang memantau situasi politik di Parlimen Sungai Besar.

1 comment:

  1. Ssorang pdngunxi mesti bijak mengapa dia mengundi.untuk memilih pengurusyang bolih mengurus dengan betul amanah tiada berkepetingan sendiri. Sekira tak bijak maka akan
    Menderita selama yd dipilih jtu
    Pilih lah calon dari organasi yg betul membantu rakyat mLaysia. KAlau anda salah pilih rakyat malaysia akan terinaya.jangan penting diri sendiri.kalau anda memang senang skg
    BuT hendakundi suka hati hati aku lah.memang anda seorang insan yg....

    ReplyDelete