Surat terbuka kekecewaan mahasiswa terhadap pembangkang
Mengapa kalian suka bersengketa sesama sendiri dan seperti sengaja menimbulkan kenyataan membawa kepada permusuhan?
KOMEN
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Sesungguhnya saya menulis surat ini buat kesemua presiden-presiden komponen parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan PAS yang menjadi tonggak harapan rakyat bagi menggantikan kerajaan sedia ada Barisan Nasional (BN) yang kian bobrok dibawah Najib Razak itu. Saya dengan ini menginsafi bahawa saya hanyalah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang terdiri daripada mahasiswa dan anak muda begitu lelah melihat cakaran di antara komponen pembangkang yang tiada langsung keuntungan buat rakyat Malaysia khususnya.
Yang Berbahagia Presiden-Presiden Parti Pembangkang,
Sudah agak lama kiranya komponen blok pembangkang ini mengalami krisis yang tidak ada kesudahan jelas untuk menumpukan kepada masalah rakyat yang kian tertindas ini. Blok pembangkang lebih dilihat mempunyai ego yang tinggi dan hanya mementingkan kepentingan parti sendiri berbanding isu rakyat. Saya boleh nyatakan beberapa kekecewaan anak muda terhadap blok pembangkang ini :
- Pembangkang gagal untuk mengurus krisis yang melanda sesama mereka bahkan mereka lebih suka mengambil sikap pentingkan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat terutamanya PKR dan DAP, PAS dan AMANAH di Sarawak. Contoh mudah, mahasiswa dan anak muda melihat cara mengurus Pakatan Harapan di dalam penentuan kerusi Pilihanraya Negeri Sarawak yang lepas, mengapa masih terdapat pertindihan kerusi sesama blok pembangkang sedangkan kesepakatan telah dijanjikan bersama untuk berhadapan dengan BN tetapi akhirnya cita-cita itu di bakulsampahkan sebegitu rupa demi kepentingan pengaruh dan politik kesemua parti pembangkang. Anda semua telah mengecewakan kami.
- Pembangkang gagal untuk mengangkat suara anak muda di dalam setiap manifesto yang mereka janjikan. Jika mereka mengatakan anak muda sebagai harapan dan tonggak kepada perubahan, mengapa kepentingan kami diketepikan tanpa sebarang penelitian? Anak muda mahukan kepentingan kami didengari dan sebahagian daripada penentuan polisi tapi malangnya kami ibarat tidak begitu wujud di mata kalian wahai parti-parti pembangkang. Anda semua sekali lagi telah mengecewakan kami.
- Pembangkang gagal untuk bersepakat bersama dalam cita-cita bagi menurunkan Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia yang korup. Bahkan bergaduh dan teragak-agak sesama sendiri samada untuk bersama dalam Deklarasi Rakyat di bawah Mahathir ataupun tidak. Mujur Anwar Ibrahim mengeluarkan suratnya, barulah pembangkang ‘meroyan’ seolah-olah kononnya sinar kebenaran baru sahaja terbit. Soalnya, mengapa kalian seolah-olah menunggu surat dari Anwar? tidakkah kalian boleh bersepakat bersama bagi mengumpul kekuatan menurunkan Najib Razak. Kalian dilihat lemah, sekali lagi telah mengecewakan rakyat.
- Pembangkang lebih syok untuk memanjangkan pergaduhan bahkan seronok untuk disensasikan buat tatapan rakyat. Mengapa kalian suka bersengketa sesama sendiri dan seperti sengaja menimbulkan kenyataan membawa kepada permusuhan? Aktiviti cabar-mencabar, kutuk-mengutuk, dan caci-maki sesama parti pembangkang hanyalah memberikan gambaran kalian tidak serius untuk memimpin Malaysia bagi menggantikan BN yang sudah tidak dianggap releven lagi kini.
Presiden-Presiden Parti Pembangkang yang dihormati,
Atas nama mahasiswa, anak muda, dan rakyat Malaysia, saya sebahagian suara kecil yang tidak begitu penting ini merayu dan memohon kepada kesemua kalian agar kembali bersepakat bersama melakukan langkah yang konstruktif bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang bakal berlaku tidak lama dari sekarang. PRK ini adalah simbol kematangan kalian dalam mengurus dan memberikan harapan kepada keseluruhan rakyat Malaysia sebelum menghadapi PRU 14.
Mahasiswa dan anak muda memberi amaran supaya jangan sekali lagi memberi peluang kemenangan kepada BN dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan pertindihan kerusi sesama pembangkang baik PKR, DAP, AMANAH dan PAS. Kami sudah jelek dengan sikap kalian yang seperti acuh tak acuh sahaja dalam menghadapi BN untuk membina sebuah kekuatan dan menghadapi sebuah kemenangan.
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan aset penting untuk pembangkang miliki kedua kerusi ini bagi memberikan mesej jelas bahawa Najib Razak dan partinya UMNO BN sudah tidak tidak releven lagi dan perlu turun dari terus menjadi Perdana Menteri Malaysia akibat terlalu banyak kebobrokan yang dicipta oleh beliau.
Presiden-Presiden Parti Pembangkang yang dikasihi,
Tidakkah kalian mengetahui, bahawa mahasiswa dan anak muda kini menghadapi ‘Fatigue Syndrome’ yakni sudah letih dan malas untuk mengambil tahu dan bersama-sama dalam segala macam hal yang berlaku di Malaysia ini terutama bab politik? Sedarlah bahawa ini merupakan petanda bahaya yang memungkinkan penurunan peratusan turun mengundi oleh mahasiswa dan anak muda pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta PRU 14 akan datang. Justeru, kalian perlu mewarna sebuah warna-warni harapan buat anak muda Malaysia agar kembali percaya kepada kalian.
Justeru itu, saya mewakili sebahagian daripada mahasiswa, anak muda, dan rakyat Malaysia turut berkongsi aspirasi yang sama menggesa tindakan yang JUJUR dan SERIUS daripada kalian. Prasyarat kepada sebuah kemenangan dan kebangkitan adalah dengan membina sebuah kesatuan demi cita-cita yang ingin digapai. Ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menggantikan BN kepada komponan parti yang konsisten bersama rakyat dan anak muda. Jika harapan ini kalian bakulsampahkan, mahasiswa dan anak muda tidak teragak-agak untuk bertindak sesuatu !
Muhammad Wafiuddin Rosli adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
No comments:
Post a Comment