Tuesday, May 24, 2016

Penangan 1MDB.......

Dana 1MDB tak terkesan dengan tindakan S'pura, Switzerland
mk - Hari ini, 6:30 petang
1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengesahkan dana-dana pelaburan milik firma itu tidak terkesan dengan sebarang pengumuman oleh pihak berkuasa perundangan asing yang dibuat hari ini.

Dalam kenyataannya, 1MDB berkata, pihaknya juga tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa asing berkaitan perkara itu yang bersangkut paut dengan firma tersebut.

"1MDB tetap komited untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa perundangan asing, tertakluk kepada nasihat dari pihak berkuasa perundangan tempatan yang relevan, dan sejajar dengan protokol tadbir urus antarabangsa," jelas firma itu lagi.

Hari ini, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura telah mengarahkan BSI Bank, yang sedang disiasat berhubung urusannya dengan 1MDB supaya ditutup.

Menurut Reuters, bank pusat Singapura menarik semula status bank saudagar yang diberikan kepada bank Switzerland di kota itu.

Alasan-alasan yang diberikan termasuk "pelanggaran serius atas keperluan anti pengubahan wang haram, pengawasan operasi pengurusan bank yang lemah dan salah laku keterlaluan oleh beberapa kakitangan bank.

Tindakan seumpama itu belum pernah diambil oleh pihak berkuasa Singapura sejak tempoh 32 tahun.

“Ini adalah kali pertama Pihak Berkuasa Kewangan Singapura menarik semula kelulusan kepada bank saudagar sejak tahun 1984, apabila Jardine Fleming (Singapore) Pte Ltd ditutup untuk kesilapan serius dalam kerja penasihat," dipetik laporan itu.

Sementara itu, Channel News Asia melaporkan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura memberi jaminan bahawa ia akan memastikan bank berkenaan ditutup dengan cara yang teratur.

"Pelanggan BSI Bank diberi jaminan bahawa bank itu masih mampu bayar dan mempunyai aset melebihi liabiliti dan komitmennya.

"Ia juga mempunyai sokongan penuh daripada bank induknya, BSI SA, di Switzerland.

"Pihak Berkuasa Kewangan Singapura sedang bekerjasama rapat dengan Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland (Finma), pengawal selia BSI SA untuk menyelaras penutupan teratur BSI Bank di Singapura," petik laporan itu.

BSI Bank telah beroperasi di Singapura sejak 2005.

No comments:

Post a Comment