Monday, May 2, 2016

Badot-badot ini perlu diajar oleh katak dan lalang?

Biar lebih ramai katak dan lalang
May 1, 2016
Gelaran seperti katak dan lalang adalah perkara yang kecil jika dibandingkan dengan isu masa depan negara kita.
KOMEN
politik-malaysia
Oleh Khairul Naim Rafidi
Terdapat beberapa istilah popular yang ditujukan kepada individu yang tidak tetap pendirian politiknya. Antara yang sering kita dengar adalah seperti lalang, dan katak.
Lalang dan katak ini selalunya merujuk kepada individu yang pendirian politiknya sentiasa berubah. Dalam erti kata yang lain, orang yang tidak tetap pendirian dan sering bertukar pandangan.
Misalnya, minggu lepas sokong parti/pihak x, kemudian minggu hadapan menyanggah parti/pihak x dan menyokong pula parti/pihak y.
Di Malaysia, antara tokoh terkenal yang pernah mendapat gelaran ini adalah Ibrahim Ali, Zaid Ibrahim, Saifuddin Abdullah dan ramai lagi.
Tetapi, nama-nama yang saya sebut itu adalah figura dalam kalangan orang besar dan pemain politik. Isu kita hari ini berbeza sedikit kerana ia adalah tentang rakyat biasa. Rakyat yang tidak tahu hendak ke mana.
Sebagai rakyat biasa, saya tidak malu untuk mengaku bahawa saya juga pernah menjadi ‘tukang label’ atau ‘labelist’ terhadap individu yang tidak tetap pendirian ini. Hal ini kerana pada waktu itu, orang muda sememangnya memerlukan entiti dan pendekatan yang baru.
Tambahan pula, adalah menjadi suatu kemestian untuk seluruh rakyat terutama anak muda bersatu di bawah panji baru untuk masa depan negara ini.
Sehingga sekarang, saya masih berpendapat bahawa prinsip dan pendirian seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya berubah tanpa sebarang alasan yang kukuh dan rasional.
Namun begitu, apabila melihat senario negara kita sekarang saya secara tiba-tiba melihat bahawa negara kita memerlukan lebih ramai katak dan lalang. Kenapa saya begitu mudah berkata begitu?
Jangan main-main dengan kuasa rakyat
Hal ini kerana hampir semua parti/pihak yang terlibat dengan politik di Malaysia menghadapi krisis besar sekarang.
Satu pihak panas dengan krisis tuduhan skandal, rasuah, penyelewengan dan korupsi. Manakala, pihak lagi satu pula mempunyai masalah perebutan kerusi, bergaduh sesama sendiri dan berbagai-bagai lagi krisis dalaman yang pasti menyesakkan.
Saya faham, politik di Malaysia memang memerlukan taktik, pendekatan dan permainan yang licik.
Dalam kata mudah, rukun dan kebiasaan dalam politik kekuasaan memerlukan strategi dan pergerakan yang ligat. Namun, usahlah kita menjadikan taktik dan isu survival ini sebagai suatu alasan untuk bermain-main dengan kuasa rakyat.
Parti/pihak yang terlibat dengan politik harus serius dan tidak boleh sesuka hati melakukan apa sahaja sehingga menolak kepentingan rakyat demi penerusan kekuasaan politik.
Politik ini adalah sesuatu yang berkisar tentang rakyat dan rakyat tidak boleh diketepikan walau seinci pun. Dalam masa yang sama, jangan pernah berselindung di bawah slogan rakyat, tetapi hakikatnya sering bertindak untuk kepentingan si polan dan si polan.
Saya tidak kata menjadi katak dan lalang itu bagus. Tetapi, dalam keadaan seperti ini, apa pilihan yang kita ada apabila orang hanya bermain dengan politik untuk kekuasaan semata dan bukan untuk kesejahteraan sejagat?
Amaran harus diberikan kepada pihak yang suka bermain-main dengan kuasa rakyat. Keadaan kita tenat.
Hak katak dan lalang dilindungi undang-undang tertinggi
Walaupun gelaran katak dan lalang membawa maksud yang agak hina, namun undang-undang tertinggi sendiri memberi perlindungan kepada rakyat yang berbuat sedemikian.
Seperti yang diulang berpuluh-puluh kali, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjadikan rakyat mempunyai kuasa untuk berekspresi, berpandangan dan memilih mana-mana garis politik dan persatuan yang dikehendakinya.
Selain itu, prinsip di dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Ors v Nordin Bin Salleh & Ors [1992] 1 MLJ 697 juga jelas memberi perlindungan kepada seseorang untuk berorganisasi dan berpandangan tanpa sebarang kekangan. Hakim Abdul Hamid Omar menyebut;
“The enunciation of the right to freedom of association in art 10(1)(c) of the Federal Constitution means a citizen’s right to form, to join, not to join or resign from an association. Any restriction to dissociate from an association would make the guaranteed right ineffective and illusory”.
(Peruntukan hak kebebasan berpersatuan di dalam fasal kecil (1)(c) perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bermakna hak seseorang rakyat menubuh, menjadi ahli atau tidak menjadi ahli atau berhenti menjadi ahli sesuatu persatuan. Mana-mana sekatan untuk mendiri dari sesuatu persatuan akan menjadikan hak yang dijamin itu tidak berkesan dan maya”.)
Masyarakat madani
Masyarakat madani atau ‘civil society’ merujuk kepada masyarakat yang mempunyai peradaban dalam membangun dan meneruskan kehidupannya.
Idea masyarakat madani ini banyak diketengahkan dalam bentuk gerakan – gerakan sivil di Malaysia. Secara asasnya, masyarakat madani harus hadir bersama dengan beberapa intipati ; kedaulatan undang-undang, wilayah awam yang bebas, demokrasi, toleransi dan keadilan sosial (natural justice).
Oleh itu, jika rakyat menganggap bahawa menjadi katak dan lalang itu hina dan ‘haram’, berkemungkinan idea dan faham politik yang tersimpan harus dilunaskan melalui gerakan sivil yang sentiasa memperjuangankan pembentukan masyarakat madani dan kehidupan yang sejahtera.
Kesimpulan
Kita sebagai warganegara mempunyai tanggungjawab terhadap negara ini. Gelaran seperti katak dan lalang adalah perkara yang kecil jika dibandingkan dengan isu masa depan negara kita.
Parti/pihak yang bermain dengan politik seharusnya sedar bahawa keadaan rakyat semakin tertekan. Dalam keadaan sebegini, kuasa rakyat tidak harus dimainkan untuk tujuan peribadi demi meneruskan kekuasaan politik.
Rakyat yang tidak sedar dan menganggap politik itu adalah soal kekuasaan semata harus mula bangkit dan menyertai pergerakan-pergerakan untuk memperkasakan negara ini.
Tidak menjadi suatu masalah sekiranya pandangan berubah-ubah dengan menolak idea yang salah dan menerima idea yang benar dan bernas atas prinsip untuk membangun masyarakat Malaysia.
Tidak salah menjadi katak dan lalang kerana kejap ke kiri dan ke kanan. Hakikatnya pegangan rakyat seperti ini utuh di atas bumi dan mempunyai akar yang kuat kerana tahu apa yang mereka mahu dan tahu.
Khairul Naim Rafidi adalah pengasas Sekolah Undang-undang Rakyat (SUUR) dan mahasiswa tahun akhir undang-undang UiTM Shah Alam
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:

Post a Comment