Sunday, April 10, 2016

Panama Papers: David Cameron mangsa seterusnya?

David Cameron akan letak jawatan?
Agensi   April 09, 2016 15:00 MYT
Panama Papers: Giliran PM Britain, David Cameron akan letak jawatan?
Sementara itu, satu kajian mendapati 56% rakyat percaya Cameron tidak bersikap telus dalam isu cukainya. - Foto AFP
MUNGKINKAH Perdana Menteri Britain David Cameron, mengikut jejak Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson meletak jawatan susulan pendedahan Panama Papers?

Ini kerana Cameron dikatakan sudah hilang kepercayaan daripada rakyat.

Dakwaan itu dinyatakan pemimpin parti Buruh, Jeremy Corbyn atas alasan pengakuan Cameron menimbulkan persoalan berhubung isu integriti.

Tegas Corbyn, pendedahan Cameron menimbulkan salah tanggapan kalangan umum.

Alasannya, Cameron mengambil masa sehingga lima hari untuk mengakui beliau mendapat manfaat daripada akaun luar pesisir.




Dalam kenyataan dimuatnaik di Twitter, Corbyn mengecam Cameron yang disifatkan 'cakap tidak serupa bikin'. [Nak baca twitter berkenaan sila ke sini]

"Selepas bertahun-tahun mendesak ketelusan cukai dan mengecam syarikat yang beroperasi di luar pesisir, sebagai tidak bermoral, Perdana Menteri sendiri jelas sekali mendapat manfaat langsung dari pelaburan di luar pesisir,"

"Sekali lagi beliau umpama memberi mesej wujud dua jenis undang-undang, satu untuk golongan kaya dan satu lagi untuk golongan rakyat,"

"Pendedahan Panama Papers bukan sahaja mengenai tindakan mengelak cukai, dan soal integriti Perdana Menteri, tetapi juga kegagalan kerajaan pimpinannya untuk bertindak ke atas mereka yang mengelak cukai," tegas Corbyn.

Sehubungan itu, Corbyn menuntut Cameron mendedahkan semua urusan kewangan peribadinya di Parlimen.

Selain kecaman daripada Corbyn, desakan supaya Cameron meletak jawatan turut dinyatakan beberapa pemimpin parti Buruh  yang lain.

Barisan menteri kabinet Britain juga dituntut menerbitkan penyata cukai masing-masing, bagi menyelesaikan pertikaian soal ketelusan.

Sementara itu, satu kajian mendapati 56 peratus rakyat percaya Cameron tidak bersikap telus dalam isu cukainya.
Pada Jumaat, Cameron mengakui memiliki kepentingan bernilai 30,000 pound Sterling atau kira-kira RM166,539 dalam dana luar pesisir yang diasaskan bapanya.

Pengakuan dibuat ketika sesi temubual di saluran televisyen ITV pada Jumaat.

Cameron bagaimanapun mengakui menjual pegangan saham amanah itu pada 2010, empat bulan sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri.

Awal bulan lalu Sigmundur David Gunnlaugsson, 41, meletakkan jawatan berikutan protes awam besar-besaran dibuat sejurus namanya didedahkan terlibat dalam akaun luar pesisir seperti yang dibocorkan Panama Papers

No comments:

Post a Comment