Sunday, April 10, 2016

Dr. MAZA gesa Hadi tukar amanat lama (qaul qadim) dengan pendirian baru (qaul jadid)

Tiba masa tukar Amanat Hadi dengan 'qaul jadid'nya, kata Dr. Maza
10 April 2016 | MALAYSIA DATELINE
Dr Maza di forum Politik Takfiri di Kota Bharu

Telah tiba masanya Amanat Hadi atau Amanat Banggol Peradong yang menjadi pegangan kebanyakan pengikut  Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditukar dengan pendirian baru (qaul jadid) beliau.

"Saya tertarik dengan penjelasan Dr. Asyraf Wajdi yang memberitahu Presiden Pas berucap dalam parlimen untuk perkasakan perlembagaan negara khususnya perkara 3 yang menyebut Islam sebagai agama persekutuan dan rasanya telah tiba masa untuk beliau tukar amanat lama (qaul qadim) dengan pendirian baru (qaul jadid) ini," kata Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abdidn semasa menjadi ahli panel Forum Politik Takfiri di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu, malam tadi.

Amanat Hadi, yang beliau hafal sejak zaman sekolah itu katanya, adalah jelas menganggap perlembagaan negara sebagai perlembagaan jahiliyah dan oleh kerana itu penyokong politik yang menyebelahi kerajaan sekarang dianggap terbatal Islamnya.

Menurut beliau budaya mengkafirkan musuh politik telah wujud sejak zaman awal Islam lagi tetapi jelas ia bertentangan dengan al- Quran, Sunnah dan amalan sahabat-sahabat yang muktabar.

"Begitu banyak contoh-contoh di zaman Nabi s.a.w., zaman khalifah awal yang menunjukkan Islam amat berhati-hati untuk menerima tuduhan kafir kepada mereka yang telah melafazkan syahadah (menganut Islam)," kata beliau.

Politik Islam kata beliau adalah ditetapkan melalui dasar-dasar umum berasaskan ketetapan dalam al-Quran dan Sunnah tidak serupa sama sekali dengan amalan ibadat seperti solat yang telah ditetapkan secara terperinci dalam ajaran Islam.

"Dalam perkara politik, ulama boleh berijtihad tentang kefahaman mereka mengenai kaedah politik semasa asalkan tidak bersalahan dengan kehendak agama," katanya.

Maksud politik Islam kata beliau bukan menetapkan hanya satu kumpulan tertentu atau satu kaedah tertentu sahaja yang dianggap Islam manakala yang lain terkeluar dari Islam.

"Yang menentukan Islam atau tidak ialah individu yang menyertai politik bukan parti dan kaedah pilihannya," kata beliau.

Mengenai pendirian Pas kebelakangan ini, beliau gembira kerana parti itu kini lebih realistik dan tidak lagi mudah menggunakan cara lama dalam berhadapan dengan orang lain.

Sementara itu ahli panel daripada Pas, Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad turut bersetuju bahawa parti itu kini mengambil pendekatan baru dalam berpolitik.

"Memang sekarang kita baru sedar bahawa ada ruang besar untuk Islam dalam perlembagaan, mungkin zaman lapan puluhan dulu kita belum sedar," katanya.

Turut mengambil bahagian dalam forum itu ialah Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki manakala moderator forum ialah pendakwah terkenal Ustaz Wan Ji Wan Husin.

# Rupanya selama ini Hadi pakai tektik kuno!
    Ada yang melenting ke?

1 comment:

  1. Tawar hati untuk berjuang dipihak parti sendiri merupakan penyakit baru ahli dan penyokong PAS.
    Mereka melihat perjuangan mereka telah dikhianati oleh pimpinan parti sendiri dan bersedia untuk bertindak dalam PRU14.
    Perubahan besar dalam dasar perjuangan PAS, sehingga mereka sanggup mematikan Pakatan Rakyat disebabkan 10% undi penyokong UMNO yang dijangka akan lari kepada PAS.
    PAS menjangkakan akan menarik 10% penyokong UMNO yang tidak berpuashati dengan pimpinan UMNO dan terkesan dengan isu-isu semasa. Namun mimpi PAS tidak akan menjadi kenyataan, walaupun mereka ditiduri sambil didodoi oleh Tuan Guru Datuk Ibrahim Ali.
    10% penyokong UMNO ini kelihatan tidak akan memihak kepada PAS setelah Mahathir membuka gelanggang bersama Pakatan Harapan dalam usaha mengguling najib.
    Mahathir menolak mentah-mentah perlawaan PAS untuk berjuang bersama mereka, bahkan Mahathir berkata "PAS sebuah parti yang tidak boleh dipercayai".
    Setelah PAS dianggap pengkhianat oleh kawan-kawan mereka dalam Pakatan Rakyat.
    Sekali lagi PAS terpaksa membuat conggak politik yang terbaru, dimana PAS membuat lawak bodoh apabila menubuhkan blok ke tiga dengan parti IKATAN.
    Ahli dan penyokong PAS terpaksa menanggung malu apabila IKATAN yang diwar-war sebagai parti politik, yang sebenarnya parti politik tanpa ahli.
    Bala bertimpa-timpa yang dialami PAS tidak akan terhenti selagi ejen UMNO dalam PAS diberikan ruang.

    ReplyDelete