Friday, September 15, 2017

Tragedi menyerah kepada takdir

Noor Azam Shairi
Diterbitkan pada 14 Sep 2017 7:58PM
Anggota bomba menjalankan pemeriksaan di bahagian tingkat atas Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 September, 2017

KEMALANGAN memang berlaku di mana-mana tetapi ada sesuatu yang luar biasa tentang kemalangan dalam dunia Islam, yang kadang-kala sulit untuk kita fahami — seperti tragedi kebakaran di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur yang membunuh 23 pelajar dan gurunya awal hari ini.

Kemalangan, nahas, bencana dan musibah yang terjadi selalu diterima dengan pasrah dan penuh penyerahan sebagai takdir. Begitulah umat Islam dituntut untuk percaya bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah ketentuan yang sudah ditetapkan Allah. Ia satu daripada enam rukun keimanan bagi seseorang yang mengaku beragama Islam.

Sememangnya, sebagai Maha Pencipta, tiada apa yang terlepas daripada kuasa-Nya, daripada sekecil-kecil kejadian sehinggalah kepada hal-hal yang besar. Tetapi adalah sangat tidak wajar pula untuk menyerahkan segala-galanya bulat-bulat kepada Tuhan — sebagai semata-mata takdir — dan melepaskan semua tanggungjawab dan beban yang menyebabkan sesuatu itu terjadi.
Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur awal pagi hari ini meragut 23 nyawa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2017.

Itu sangat biadab dan tidak adil.

Dalam beberapa reaksi yang ternampak daripada tragedi kebakaran di sekolah tahfiz hari ini, semacam ada penyerahan yang sepenuhnya bukan saja dalam kalangan keluarga yang terlibat tetapi masyarakat umumnya, yang menerima kehilangan anak-anak yang masih muda remaja itu sebagai takdir yang tidak dapat dielak.

Apabila dimasukkan pula perhitungan syurga neraka, dan mereka yang mati dalam keadaan menuntut ilmu itu dianggap mati syahid, bertambah-tambahlah pula penyerahan itu — mutlak, bulat dan penuh pasrah.

Betulkah sikap yang begitu? Menyerahkan segala-galanya kepada takdir sehingga tanpa sedar membiarkan sikap tidak bertanggungjawab semua pihak yang terlibat, termasuk kerajaan yang memerintah, terlepas begitu saja.

Kalau tidak esok, lusa atau minggu depan atau bulan depan atau beberapa bulan akan datang, satu lagi tragedi berulang — asrama terbakar, tanah runtuh, bas kemalangan — dan kita menerimanya sekali lagi sebagai takdir yang tidak dapat dielak-elak lagi.

Kemalangan dan bencana, apalagi kematian memang tidak dapat dielak. Tidak ada orang yang lari daripada mati. Mati itu sendiri berlaku atas kehendak Ilahi. Tetapi penyebab kematian — termasuk juga kemalangan, nahas dan bencana — adalah hal-hal yang boleh dielak, dan manusia selalu berusaha mengelak ketentuan daripada berlaku.
Keadaan tingkat atas bangunanPusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2017.

Itulah hak, tugas dan tanggungjawab manusia — usaha. Kerja manusia berusaha; berhasil atau tidak usaha itu, Allah yang menentukan. Adalah tidak wajar pula untuk kita berusaha dan yakin dengan penuh keyakinan bahawa usaha itu akan mengelak kejadian. Jangan, itu belum tentu berlaku kerana hak manusia hanya berusaha tetapi hak Tuhan yang menentukan.

Usaha manusia bukanlah untuk mengubah takdir tetapi usaha itu adalah semata-mata kerana sebagai manusia, dengan segala kekurangan, kita tidak tahu apakah yang ditakdirkan oleh Tuhan ke atas kita.

Apakah ada orang yang mahu menerima sebagai takdir semata-mata kalau misalnya rancangannya menunaikan umrah terbantut kerana agensi yang menguruskan tidak berbuat apa-apa untuk mendapatkan visa dan sebagainya? Apakah kerana soal takdir juga maka tidak usah lagi kita kunci rumah atau kereta dan biarkan begitu saja? Apakah kerana menyerah kepada takdir maka kita melintas jalan tanpa perlu tengok kiri dan kanan?

Tidak keterlaluan kalau dikatakan penyerahan yang mutlak, bulat dan penuh pasrah itu selalunya untuk menutup kelemahan, kesilapan dan adakalanya, kebodohan manusia.“Takdir Tuhan” selalu jadi alasan untuk menyembunyikan perancangan yang tidak teliti, pelaksanaan yang terburu-buru serta sikap malas dan cuai serta tidak bertanggungjawab.

Ini bukan masalah umat Islam di Malaysia. Ini masalah umat Islam di mana-mana pun di serata dunia. Ini masalah umat Islam masa kini — dalam setiap musibah, bencana dan tragedi.

Setiap perkara tidak elok yang berlaku, kita pindahkan bebannya menjadi “takdir Tuhan”. Atas setiap sesuatu yang berjaya sebaliknya, kita tampil mendakwa ia hasil kepandaian dan kecekapan kita — manusia.
Ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan sebak selepas menerima berita yang menimpa orang yang tersayang.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2017.

Adilkah begini?

Itulah sebabnya jangan ada apa-apa yang melembutkan kita daripada mendesak satu tindakan tegas diambil terhadap tragedi di pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat,Kuala Lumpur itu.

Tindakan tegas ini mestilah yang menyeluruh termasuk semakan dasar kerajaan mengenai sekolah tahfiz kerana ini bukan kejadian pertama melibatkan pusat tahfiz atau sekolah agama. Ini sudah berlaku banyak kali.

Setiap kali berlaku tragedi seperti ini, masyarakat Melayu-Islam menerimanya sebagai takdir dan jauh dalam hati, terbit rasa bahagia kerana yakin dengan sesungguh percaya mereka yang jadi korban ditempatkan di syurga. Esok lusa, hidup kembali seperti biasa.

Wajar lagikah begini, menyerah kepada takdir semata-mata?

Dalam apa juga musibah, bencana dan tragedi, tidak ada sesiapa yang harus dibenarkan berselindung di sebalik takdir dan tidak mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku.– 14 September, 2017.

* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . 
E-mel: azam@themalaysianinsight.com

1 comment:


  1. Pokoknya mengapa kita mudah CAYA?

    Mngapa mudah CAYA dgn ostad2 tahfiz??

    Kita sume dah tau IQ ostad2 ni very2LOW!

    Ostad2 tahfiz ni klu amik SRP/LCE grenti failed!!

    Ostad2 nih sume FAILED Maths Sains Pengurusan dll!

    Nabi SAW suruh baca baca baca & BACA bukannya HAFAL!!

    Klu boleh buat "survey", hampir 100% budak2 TAHFIZ hanya tau mngHAFAL dgn bebal..takde sorang pon yg tau betul2 mndlm apa yg mrk HAFAL!

    Kita pasti dpt meRAMAL apa akan jd klu kita mudah CAYA kpd org2 yg ver2LOW IQ @ BODOH!?

    Mrk pasti tidak akan tau memberi JAWAPAN, selain hanya tau beri ALASAN2 BODOH yg sgt2 mengecewakan!

    Takyah gi jauh2..coba tengok klu geng lobai2 mmberi alasan, malangnya mrk tetap RASA mrk hebat lg pandai!

    Ha ha..kat Marang dulu pon dah peronah terbakor kan?

    ReplyDelete