Friday, September 29, 2017

Terdengar seperti "suara penindas" - Mustafa Akyol

Pengawalan agama kikis hormat pada Islam, kata Mustafa Akyol
TMI  -  Diterbitkan pada 29 Sep 2017 12:23AM
Mustafa Akyol berkata pihak berkuasa hanya melemahkan masyarakat, menumbuhkan kemunafikan dan menyebabkan banyak orang hilang percaya atau hormat kepada Islam. – Gambar YouTube, 28 September, 2017.

Usaha pihak berkuasa agama di Malaysia kononnya mahu melindungi Islam sebaliknya menyebabkan masyarakat tidak menghormati mereka, kata Mustafa Akyol yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) awal minggu ini.

"Dengan mengawal agama, pihak berkuasa sebenarnya bukan melindungi agama. 

"Mereka hanya melemahkan masyarakat, menumbuhkan kemunafikan dan menyebabkan banyak orang hilang percaya atau hormat kepada Islam," kata penulis Turki itu dalam sebuah tulisan di akhbar The New York Times.

Menceritakan pengalamannya ditahan di Kuala Lumpur itu, Mustafa berkata itulah kali pertama beliau merasakan bacaan Al-Quran yang diperdengarkan kepadanya semasa ditahan di pejabat Jawi terdengar seperti "suara penindas".

Jelas Mustafa penahanannya itu mendedahkan masalah utama Islam hari ini apabila agama itu cuba dipaksakan ke atas orang lain, dan bukannya dengan hanya berdakwah.

Katanya, hal itu berlaku kerana salah faham umat Islam mengenai tafsiran ayat Al-Quran "tiada paksaan dalam agama" yang dihuraikan sehingga membawa maksud biarpun kitab suci itu mengatakan tiada sesiapa boleh dipaksa menjadi Islam, orang Islam seharus dipaksa mengamalkan agama — mengikut cara yang ditentukan oleh pihak berkuasa.

Menurut Mustafa, beliau melihat perkara ini berlaku di Arab Saudi, dan kini beliau melihatnya juga berlaku di Malaysia.

Dalam tulisannya itu, Mustafa turut mendedahkan beliau hanya disoal siasat selama dua jam, daripada 18 jam tempoh tahanannya, di mahkamah syariah Kuala Lumpur. Katanya lagi, pembebasannya itu dibantu "oleh usaha diplomatik" Turki, terutamanya bekas presiden republik itu, Abdullah Gul kepada "kerabat diraja Malaysia".

Mustafa, pengarang enam buah buku termasuk Islam Without Extreme: A Muslim Case for Liberty, yang telah diterjemah kepada Bahasa Turki dan Indonesia, serta ke dalam Bahasa Melayu dengan judul Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah untuk Kebebasan, pada Isnin dipanggil untuk siasatan oleh Jawi atas dakwaan mengajar tanpa tauliah.

Mustafa berada di Kuala Lumpur atas jemputan Islamic Reinassance Front untuk menyampaikan kuliah berkenaan isu murtad dan demokrasi dalam Islam serta memperkatakan buku terbarunya, The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims.

Mustafa dipanggil untuk siasatan bersama pengarah IRF, Dr Ahmad Farouk Musa.

Mustafa tidak pergi ke pejabat Jawi sebaliknya mengambil keputusan pulang ke Amerika Syarikat. Beliau bagaimanapun ditahan ketika hendak meninggalkan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin malam dan dibebaskan 18 jam kemudian pada tengah hari Selasa.

Beliau dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh Jawi. Mustafa kemudian berlepas pulang ke Amerika dari Kuala Lumpur melalui Istanbul, Turki. – 28 September, 2017.

1 comment:

  1. Katakanlah (hai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya: sekumpulan jin telah mendengarkan (Al Qur'an), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Qur'an yang menakjubkan,

    (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Tuhan kami,

    dan bahwasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, Dia tidak beristri dan tidak (pula) beranak.

    Dan bahwasanya: orang yang kurang akal daripada kami dahulu selalu mengatakan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah,

    dan sesungguhnya kami mengira, bahwa manusia dan jin sekali-kali tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah.

    jin pun ada yang taat pada perintah Allah
    orang Islam mesti dikawal bagi mengamalkan agama Islam mengikut cara yang ditentukan oleh pihak berkuasa Islam yang selari denagn tuntutan dari Allah n Rosul

    kalau orang Islam tak mau ikut ajaran Islam apa mau jadi ? kapir
    jangan cuba nak menyesatkan orang

    ReplyDelete