Sunday, September 24, 2017

Tentang berita palsu, sudut pandang Najib dan Trump

The Malaysian Insight
Dikemaskini kira kira 30 minit yang lalu · Diterbitkan pada 24 Sep 2017 9:59PM
Pengumuman ‘besar’ hujung minggu lepas, spekulasinya lebih banyak dibuat media arus perdana dan akhirnya hanyalah soal seorang ahli politik emas yang sudah melepasi zaman gemilangnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2017.

JIKA kita masih tertanya-tanya sama ada Perdana Menteri Najib Razak “tebal kulitnya” seperti Presiden Donald Trump, pertanyaan itu sudah terjawab. Ya, kulit mereka sama tebal.

Hari ini, Najib memberitahu wartawan Malaysia untuk berhenti menyebarkan “berita palsu”, mengatakan ada kenyataan yang disalah tafsir serta sengaja disebarkan untuk mengelirukan rakyat Malaysia.

"Kita berdepan dengan apa yang istilah dipopularkan - fake news, terutama sekali dalam online yang menjadi media alternatif banyak mempengaruhi rakyat dalam negara ini termasuk terutama golongan muda.

"Dan kita mesti bertindak tangkas dalam menangani fake news yang disebar dengan sengaja melalui online dan kebanyakan telah dirancang untuk menimbulkan kebencian di kalangan rakyat terhadap kerajaan atau sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat (tentang) tujuan sebenarnya," katanya di hadapan kira-kira 100 wartawan wanita ketika majlis minum petang di Kuala Lumpur.


Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada pertemuannya dengan Trump di White House pada 12 September lalu.

Dalam kenyataan yang boleh didengar dalam video White House, Najib berkata Malaysia akan membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat melalui pelaburan dan perdagangan.

“Saya beritahu saya datang sini (Amerika) untuk kukuhkan ekonomi, tetapi bila saya kata sedemikian, maksudnya saya bukan kata kita sebagai penyumbang dana kepada ekonomi US tanpa kita menerima perubahan dalam ekonomi AS.

Maknanya kita bukan menuntut, bukan meminta sedekah tetapi kita hadir sebagai negara berjaya yang boleh jadi pelaku global yang signifikan," kata Najib.

Jadi bahagian mana yang dilaporkan itu satu kepalsuan, adakah tentang Malaysia akan mengukuhkan ekonomi AS? Ya, video White House boleh mengesahkan perkara itu.

Adakah soal pelaburan itu akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia, tidak, tiada kenyatan seperti itu sehinggalah tadi. 

Malah media AS sendiri tidak melaporkannya, adakah kerana Trump juga menggelarkan media negara itu sebagai “berita palsu” juga?

Mari lihat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula, tuan. Bahagian mana yang palsu?

Adakah tentang rompakan atau salah guna kuasa berlaku dalam syarikat pelaburan milik negara? Atau tentang Tuan Low Taek Jho yang merupakan rakan rapat perdana menteri Malaysia? Atau soal anak lelaki tirinya adalah penerima manfaat daripada dana yang dicuri daripada 1MDB?

Yang mana satu palsu, tuan?

Kerana ada laporan tentang penyelesaian antara syarikat produksi milik anak lelaki tiri tuan, Red Granite dengan Jabatan Kehakiman Negara (DoJ) mengenai dana yang didakwa diperolehi daripada 1MDB.

Adakah pengumuman besar hujung minggu lepas juga satu kepalsuan, tuan? Kerana itulah yang lebih banyak dispekulasikan media arus perdana berbanding media atas talian. Mereka buat seolah-olah ia perkara yang sangat besar, atau mungkin Trump akan kata “gempak”.

Kerana di akhirnya, ia hanyalah tentang seorang ahli politik emas yang sudah melepasi zaman gemilangnya mahu lompat parti. Mungkin itu adalah perkara besar untuk tuan.

Tetapi hakikatnya ia tidak besar langsung, ia hanya sebuah berita palsu. – 24 September, 2017

Palsu juga?Sandiwara sebuah RCI sudah berakhir

No comments:

Post a Comment