Friday, September 29, 2017

Potret kem pelarian Rohingya di Bangladesh

Mahen Bala
Diterbitkan pada 29 Sep 2017 8:27AM 

SEJAK keganasan tercetus lagi di Rakhine pada 25 Ogos lalu, lebih 500,000 pelarian Rohingya kini menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar untuk mencari perlindungan di kem Cox’s Bazar.

Kem pelarian itu terlalu sarat hingga menyebabkan sesetengah pelarian terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara yang baru termasuk di Kutupalong, Balukhali, Tengkhali dan Nayapara di mana pondok dibina menggunakan buluh dan plastik.

Keganasan yang berlarutan antara masyarakat Rohingya dan tentera Myanmar di Rakhine mendorong mereka melarikan diri meskipun tahu risikonya tinggi dan bergadai nyawa untuk menyeberangi sempadan.

Kejadian bot terbalik malam tadi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 Rohingya termasuk kanak-kanak mati lemas adalah antara risiko terpaksa dihadapi pelarian. Bila tiba di kem pelarian pun, kehidupan bukannya selesa untuk mereka.

Seluruh dunia bercakap dan mempertahankan Rohingya, dengan pelbagai pertubuhan dunia mendesak Myanmar supaya membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada Rohingya.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut menggesa Kesatuan Eropah (EU) dan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas untuk meringankan penderitaan rakyat Rohingya.

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina juga mencadangkan pembentukan zon selamat yang dipantau PBB di Myanmar untuk melindungi etnik Rohingya.

PBB menggambarkan operasi tentera sebagai “pembersihan etnik” dan Presiden Perancis Emmanuel Marcon, pula menyifatkan ia sebagai genosid (penghapusan bangsa).

Tetapi, pemimpin de-facto Myanmar, Aung San Suu Kyi mendakwa krisis itu diputarbelitkan dengan maklumat yang tidak benar. Pemenang anugerah Nobel itu meminta dunia fahami Myanmar dan akan menyiasat pembantaian yang berlaku terhadap Rohingya.

Biarlah gambar berbicara tentang penderitaan umat Islam Rohingya yang terbuang, terabai dan hidup tanpa negara. – 29 September, 2017.
Kanak-kanak menjadi mangsa paling teruk dalam krisis ini. Tidak menerima pelajaran dan makanan seimbang serta terdedah kepada kekotoran pada fasa paling penting dalam perkembangan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Bukit di Cox’s Bazar jadi rumah untuk ribuan pelarian Rohingya, seperti yang dapat dilihat di Balukhali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Shobbir Ahmed, 25, menunjukkan lukanya, kesan ditembak tentera Myanmar. Dia juga cedera di beberapa bahagian badannya. Dia menerima rawatan di kem Kutupalong sebelum diarah keluar, kerana ramai lagi yang memerlukan perhatian perubatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Nazir Ahmed, 60, berjalan kaki selama lapan hari dari Fetovor Baram, Buthidaung sebelum tiba di Thengkhali. Anak lelakinya yang demam panas kelihatan terbaring saja kerana mereka tidak ada ubat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Terdapat lebih 91,000 kanak-kanak di kem ini yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan. Semua rancangan pembinaan tempat belajar dihentikan kerana kem itu dipenuhi dengan pelarian yang baru tiba. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Lubang ini dikorek untuk dijadikan tandas tetapi ia mengingatkan pelarian tentang lubang seumpama itu yang digunakan tentera Myanmar untuk membuang dan membakar mayat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Hanya ada dua tandas di kem penempatan sementara di Nayapara, dikongsi oleh kira-kira 150 orang. Buat masa ini, tandas dikhaskan untuk wanita saja. Sistem pembetungan yang tidak sempurna menimbulkan isu kesihatan dalam kalangan pelarian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Sewa terlalu mahal (RM52) bagi mereka menyebabkan sebuah keluarga terpaksa berkongsi ruang hanya 20 kaki persegi. Angin kuat kadangkala merobek dinding plastik, dan hujan tempias serta lantai bertukar jadi lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Bila hujan, kem dipenuhi lumpur dan menyukarkan pelarian mendapatkan air bersih. Setiap hari, 1.5 juta liter air disediakan di penempatan sementara. Sejak 25 Ogos lalu, 213 perigi dipasang untuk menyimpan air. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Rehna Begum, 50, dan keluarganya menumpang teduh di penempatan Kutupalong selepas lari daripada keganasan di Naraingkyuang, Maungdaw. Terdapat lebih 176,000 Rohingya di penempatan itu pada masa ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Kem Balukhali kini menjadi rumah sementara bagi kira-kira 45,000 Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Rakhine, Myanmar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.
Abdullah, 65, bersama isterinya sedang membetulkan kedudukan bumbung tempat mereka menumpang di rumah seorang warga tempatan. Seramai 15 ahli keluarganya berteduh di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 29 September, 2017.

2 comments:

  1. Bila pejuang 'tulen' rohingya hj najib dan hj hadi nak bersuara di pentas antarabangsa? Pres perancis yg non muslim pun lebih kehadapan

    ReplyDelete
  2. negara negara islam duk terenyeh sajalah
    tak mampu nak tolong
    sebab lemah ekonomi pertahanan
    yang maju rasuah

    ReplyDelete