Saturday, September 16, 2017

Siapa biayai kos rombongan keluarga PM ke New York?

Husin Mahat -  September 15, 2017 4:08 am 
Banyak perkara menarik didedahkan ekoran kunjungan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat untuk bertemu presiden Donald Trump, antaranya penginapan ahli rombongan beliau di Menara Trump, New York.

Menara Trump atau Trump Tower bukanlah sebuah hotel tetapi menawarkan kondominium mewah yang boleh disewa atau dibeli.

Carian dilakukan naib presiden PKR Rafizi Ramli mendapati sewa kondominium mewah di Trump Tower bermula pada harga USD6,000 (RM25,000) semalam bagi kondominium satu katil dan USD9,000 (RM37,000) semalam bagi kondominium dua katil.

Trump Tower juga, ujar Rafizi terletak berhampiran gedung-gedung membeli belah mewah yang terkenal di New York seperti Bergdorf Goodman dan Tiffany’s.

Malah beliau dberitahu, pertemuan di antara keluarga Najib dan Presiden Trump diadakan di Trump Tower.

“Dalam keadaan Trump Tower menawarkan kondominium mewah yang sesuai bagi keluarga dan membolehkan apa-apa pertemuan berlaku tanpa tumpuan media Amerika Syarikat, tiadanya penafian atau kenyataan menguatkan lagi kredibiliti maklumat yang diberikan oleh sumber sulit itu mengenai pertemuan di antara keluarga Datuk Seri Najib dan Presiden Trump,” ujar Rafizi.

Beliau turut mendedahkan kehadiran seorang individu yang dikenal pasti pernah memasukkan sejumlah RM2 juta ke akaun peribadi isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah di dalam delegasi Malaysia itu.

Individu bernama Roslan Sohari itu, ujar Rafizi pernah dikaitkan dengan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan 1MDB pada 2015.

Sehubungan itu beliau menuntut perdana menteri mengesahkan mengenai pertemuan peribadi di antara keluarga beliau dan Rosmah dengan Presiden Trump di Trump Tower; mengesahkan sama ada satu kondominium mewah telah disewa di Trump Tower bagi tujuan itu dan berapa kos sewaan keseluruhannya dan siapa yang menanggung kos itu; mengesahkan siapa lagi ahli keluarga beliau dan Rosmah yang ikut serta; siapa yang menanggung keseluruhan kos lawatan ahli keluarga Najib dan Rosmah; dan kenapa Roslan Sohari menyertai delegasi ini sehingga sebuah limosin ditempah khusus untuk beliau.

“Saya pasti timbulnya kembali individu bernama Roslan Sohari ini membolehkan rakyat membuka kembali kes bagaimana RM2 juta wang tunai dimasukkan ke akaun Datin Seri Rosmah yang belum mendapat sebarang penjelasan memuaskan dari Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah,” katanya.

1 comment:

  1. Kan najib ni god's gift to malaysia. He'll get away with anything.....for now. Masa dia akan tiba......tak lama lg. Byk rci dok tunggu

    ReplyDelete